HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 September 2021

‘Kurangkan bunga, banyakkan buah’ tegur Azhar pada wakil rakyat

“KURANGKAN bunga, banyakkan buah.”

Demikian teguran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menegur sikap beberapa Ahli Parlimen yang meleret-leret bertanya soalan sehingga membuang masa sidang sewaktu sesi pertanyaan jawab lisan pagi tadi.

Sebelum itu, Azhar turut menegur Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mengajukan soalan tambahan disifatkan tidak selari dengan isu dijawab Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith.

Eddin Syazlee ketika itu menjawab pertanyaan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Bachok) berhubung langkah kerajaan memperkasa inisiatif digitalisasi ekonomi sebagai kesinambungan fasa reformasi ekonomi negara.

Ketika bangun untuk bertanyakan soalan tambahan, Hassan bertanyakan soalan mengenai sistem digital e-lelong yang mengakibatkan kerugian kepada lebih 2,000 pelelong berlesen seluruh negara.

“Pasir Gudang, saya rasa soalan itu tak berkenaan dengan soalan yang asal. Timbalan Menteri boleh bagi jawapan bertulis,” kata Azhar.

Cara Eddin Syazlee menjawab soalan turut dikritik apabila Dr. Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) bangkit mencelah mengatakan tidak faham dengan apa yang diucapkan Eddin Syazlee sewaktu beliau menjawab soalan Nik Mohamad Abduh.

“Saya daripada Kota Marudu (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili) dan Kuala Pilah (Eddin Syazlee), saya tak tahu orang lain tapi kami tak faham apa yang mereka cakap dan tak dengar.

“Saya kira sepatutnya bagi pihak menteri menjawab, perlu jelas jawapannya kerana kami yang bertanya nak dengan jawapan jelas.

“Jika tidak, diberikan jawapan bertulis ataupun diwakilkan kepada menteri atau timbalan menteri. Kami menghabiskan berpuluh-puluh minit hanya untuk mendengar dan melihat tetapi tak faham yang diperkatakan,” katanya.

Nik Mohamad Abduh yang bangun selepas itu juga mengakui tidak jelas dengan jawapan Eddin Syazlee dan meminta jawapan bertulis.

“Saya faham mungkin Timbalan Menteri tak sihat, saya mohon jawapan bertulis,” katanya.

Tiada ulasan: