HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 September 2021

PAS perlu berperanan seperti MCA, kerusi menteri satu, minta 1,000

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

PAS jangan buat kerja senyap-senyap, hanya Allah Yang Tahu, zaman sekarang kena beritahu, rakyat nak tahu, transparent

TAHNIAH! Kepada semua pemimpin PAS yang telah terpilih, bergelar menteri dan timbalan. Peluang ini harus digunakan sepenuhnya, melakukan pecutan prestasi dalam 100 hari yang ada. Buktikan bahawa tok lebai boleh buat kerja, jauh lebih baik daripada yang tidak berlebai. Jika ini menjadi kenyataan, pasti PAS akan dipandang tinggi dan saham PAS akan mencanak naik.

Di samping tugas-tugas kawasan dan parti, saya senaraikan beberapa perkara asas yang perlu diberikan perhatian:

Pertama, ingat, prestasi pada zaman tanpa sempadan diukur oleh rakyat atas semangat dan sumbangan kenegaraan yang ada, semangat kepartian itu boleh dikecilkan. Kadangkala kita lihat, semangat kepartian itu terlalu tinggi sehingga menimbulkan ketaksuban.

Begitu juga dalam kalangan pemimpin bawahan, masih ramai dalam kalangan ahli-ahli PAS ini begitu taksub dengan parti dan tokoh parti, sehingga berpuak-puak. Ditambah dengan semangat kenegerian. Ada yang terikut menjadi pengadu domba. Mudah ‘trigger’ dengan berita yang belum pasti, tetapi sudah disebarkan. Dalam kata lain, jangan begitu angkuh dan menghina orang yang tidak sependapat dan sebagainya.

Semua ini hanya akan melemahkan PAS, meskipun sebahagian pemimpin telah cuba melakukan yang terbaik ketika berada dalam kerajaan.

Kedua, elakkan sebarang kontroversi peribadi, terutama melibatkan isu yang selalu saya sebut, tiga “TA” harta, wanita dan takhta. Bekerjalah sekuat-kuatnya seolah-olah kamu akan mati esoknya. Tunjukkan kepada rakyat, kamu tidak ada kepentingan peribadi, yang ada hanya kepentingan agama, bangsa dan negara.

100 hari itu tidak lama, sementara menunggu PRU15. Benar, saya tahu, kamu sedang menunggu mandat yang baharu, untuk mendapat lebih banyak kerusi daripada 18, yang sedia ada. Sekiranya kamu berjaya tunjukkan, tidak mustahil, PRU15 nanti, kamu akan mendapat lebih kerusi dan boleh minta lebih banyak lagi demi maslahah ummah.

Ketiga, pastikan kamu tidak pro kepada mana-mana kem parti rakan apatah lagi parti lawan. Jadilah PAS yang benar-benar tulen. Ketulenan PAS adalah semangat juang yang tinggi yang memartabatkan agama, bangsa dan negara, tanpa terpalit dengan salah laku, salah guna kuasa, korupsi, rasuah dan sebagainya

Ketulenan inilah yang menjadi pelengkap kepada parti-parti lain. Kalau PAS kelihatan terlalu pro parti lain, hanya kerana mengharapkan sesuatu tidak semestinya pasti, tak payahlah jadi PAS. Orang akan kata, apabila PAS berada dalam kerajaan, sama sahaja pak lebai ini, kemarukkan dunia.

Hari ini mungkin kamu tersepit antara dua, UMNO dan PPBM, MN atau PN. Lakukanlah moderasi yang terbaik untuk menjaga hati-hati mereka, tanpa menampakkan sifat berat sebelah yang keterlaluan.

Keempat,pilihlah penasihat-penasihat berkesepakaran sebagai syarat utama, manakala berkesepartian itu adalah perkara kedua. Kadangkala kita terlalu memilih yang separtian sehingga tidak dapat menilai, sama ada mereka boleh buat kerja atau tidak. Yang tidak separtian pun bagus jika mereka ikhlas, tetapi bukan dalam kalangan yang menyamar untuk merosakkan dari dalam, seperti NGO yang selalu saya sebut itu.

Kelima, PAS mesti menunjuk keyakinan dan prestasi bahawa PAS mampu memimpin bukan masih malu-malu dan naif tanpa demand dalam persefahaman politik yang terjalin.

Cuba bandingkan dengan MCA, satu sahaja kerusi mereka yang ada, tetapi demand tetapi besar walau apapun keadaan. Dapat satu, demand seribu. Strategi ultra kiasu ini sangat licik, minta atau demand sebesar-besar atau sebanyak-banyak, dia tahu kerajaan tidak akan beri permintaan yang ekstrem itu. Tetapi dia tahu, kerajaan akan beri sedikit. Sedikit yang diberi itulah kemenangan terbesar kepada MCA. Itulah ultra kiasu namanya. Ingat strategi itu. Sematkan dalam hati, jangan lupa.

Bila saya suruh ikut MCA, bukan suruh tiru dia, tetapi kelicikan cara bekerja secara berstrategi.

Zaman sekarang kena buang sifat malu-malu atau alim-alim kucing. Zaman sekarang semuanya, ‘transparent’ bukan seperti dahulu. Jika masih malu-malu dan alim-alim kucing, kamu akan ketinggalan. Jika sesuatu perkara itu benar-benar memberikan kesan kepada agama, bangsa dan negara, segera ke hadapan, kena berani. Berani kerana benar.

100 hari untuk PAS ini sangat bernilai pada mata rakyat berhadapan PRU15 akan datang. Apa trademark PAS kalau bukan Islam Berdaulat, Melayu Muafakat, Negara Berkat.

Keenam, saki baki puak-puak NGO yang bekerja secara “sir” atau rahsia, seperti gerakan bahawa bawah tanah yang masih ada dalam kerajaan, perlu segera dibersihkan, kecuali mereka yang ikhlas. NGO ini amat bahaya, tengoklah baru-baru ini apabila NGO mengeluarkan video pendek, sempena merdeka, bersama sebuah akhbar Bahasa Melayu yang sekepala dengannya.

Apabila dikritik netizen, video pendek tersebut telah ditarik balik. Nampak tak agenda liberal dan jahat mereka, sengaja memburuk-burukkan orang Melayu dengan persepsi negatifnya kepada kaum lain.

Walhal, ini bukan perkara baharu, kaum lain pun banyak persepsi negatif terhadap Melayu. Kenapa tidak ditonjolkan, kenapa hanya buruk Melayu? Ini satu agenda yang sangat jahat dan licik, bagi menjadi jaguh kepada bangsa lain, untuk mendapatkan undi proksi parti mereka..

Akhirnya, khusus kepada sahabat saya, Menteri di JPM (Hal Ehwal Islam), perbetulkanlah penampilan TV Hijrah dan radio IKIM.TV hijrah, penampilannya seolah-olah seperti sebuah stesen media yang dipunyai oleh sebuah NGO liberal yang bertopeng dan berselindung di sebalik sifat alim, tetapi di dalamnya berselirat dengan sifat kemunafikan. Orang-orang ini sedang bersembunyi dan melancarkan serangan dari dalam untuk melumpuhkan pasukan yang telah sedia kuat. Apakah PAS sudah lupa ketika membawa masuk pimpinan mereka ke dalam jemaah PAS? Ingat, sejarah pasti akan berulang jika PAS lupa.

Radio IKIM pula, sudah mula lari daripada tujuan asal, untuk menabur ilmu dan menyebarkan maklumat yang benar. Kadangkala naik mual juga mendengarnya, tidak jauh bezanya dengan stesen radio lain, ditambahkan dengan siaran iklan yang tidak mencerminkan nilai ilmu sebenar. Radio IKIM perlukan pengisian ilmu mantap dan santai, di samping kreativiti dan inovasi.

Ingatan juga kepada parti-parti sepakatan seperti UMNO dan PPBM, janganlah cuba kuasai PAS sama seperti dengan apa yang cuba dibuat oleh DAP dan PKR dulu. Ingat, setahu saya, walaupun PAS ini dilihat bertindak agak perlahan kerana terlalu berhikmah, tetapi sekali dia bertindak, akan sentap. Tidak mustahil terjadi semula macam sentapnya kumpulan dalam PAS yang keluar menubuhkan PAN.ISMA WEB

Tiada ulasan: