HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 September 2021

Khalid buka mulut berhubung dakwaan terlibat pindah lot tanah


Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad membuka mulut berhubung dakwaan penglibatannya dalam membantu syarikat swasta mendapatkan kelulusan pemindahan satu lot tanah ketika menjawat jawatan tersebut.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata tidak dapat memberi penjelasan lanjut berhubung pendedahan portal tersebut memandangkan ia tidak menyatakan secara terperinci kandungan surat yang dikatakan dilihat oleh mereka.

“Jika diberikan butiran secara terperinci tentang surat (sokongan) itu, saya boleh memberikan respons ke atas dakwaan itu dan memberikan penjelasan mengenainya.

“Saya memohon mereka mendedahkan secara terperinci tentang surat itu supaya dapat saya respons,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid berkata setakat pengetahuannya tidak ada memberikan sebarang sokongan atau kelulusan kepada sebarang projek atau kontrak seumpama itu.

Terdahulu, pada 24 September lalu, sebuah portal mendedahkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan minit sokongan kepada sebuah syarikat pemaju swasta untuk mendapatkan kelulusan bagi memindahkan plot tanah pada 2019.

Portal itu mendakwa Menteri tersebut yang juga seorang Ahli Parlimen secara peribadi memastikan surat rayuan daripada pemaju tersebut ditangani sendiri oleh pembantunya dan datuk bandar.

Pemaju tersebut dikatakan menulis surat kepada Menteri itu memohon untuk mendapatkan sebuah plot tanah Kuala Lumpur bagi tujuan pembangunan bercampur.

Surat tersebut didakwa menulis surat rayuan kepada Menteri sekitar Disember 2018.

Terdahulu, permohonan tersebut sudah diluluskan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan pada Disember 2017 tetapi dibatalkan pada November 2018.

Persoalan timbul memandangkan permohonan Menteri tersebut dilakukan ketika kerajaan PH berkata tidak mahu mengamalkan budaya menulis surat sokongan oleh ahli politik bagi permohonan tender atau projek.

Tiada ulasan: