HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 September 2021

Usaha memburukkan UMNO gagal, rakyat kembali sokong kami: Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa istilah ‘kluster mahkamah’ merupakan propaganda yang dicetuskan bertujuan untuk memburukkan pemimpin parti itu.

Bagaimanapun, Zahid berkata selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) rakyat sudah hilang keyakinan terhadap parti yang mereka sokong sebelum ini dan langkah ‘pembunuhan karakter’ tersebut tidak berjaya apabila rakyat kembali menyokong UMNO sekarang.

“Istilah ‘kluster mahkamah’ direka oleh pasukan propaganda sebagai usaha berterusan memburuk-burukkan sebilangan pimpinan UMNO selepas PRU-14.

“Ia ‘character assassination’ yang seterusnya selepas menyaksikan sebilangan besar rakyat mula hilang keyakinan terhadap parti politik yang mereka dokong dan kembali menaruh harapan kepada UMNO,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Jelasnya lagi, terdapat segelintir bekas pemimpin UMNO yang mahu menyelamatkan diri daripada terjerumus sama dilabel ‘kluster mahkamah’ dengan bertindak lompat parti dan cuba buat-buat lupa.

“Namun mereka buat-buat lupa bagaimana sebahagian daripada pemimpin parti politik mereka menyelamatkan diri daripada momokan ‘kluster mahkamah.

“Mereka ini terlepas daripada momokan Kluster Mahkamah dengan meninggalkan perjuangan parti dan melompat kepada parti yang menang PRU-14,” katanya lagi.

Zahid memuji beberapa pemimpin UMNO lain yang masih berani dan setia bersama parti untuk mempertahankan perjuangan mereka walaupun dilabel dengan gelaran tersebut.

“Hanya pimpinan UMNO yang berani dan setia kepada perjuangan parti sanggup bertahan dan menentang walaupun dilabel sebagai ‘kluster mahkamah.

“Justeru mereka yang lompat parti sebenarnya tiada ‘moral standing’ untuk memberi pandangan terhadap individu yang konon mereka gelar sebagai kluster mahkamah,” katanya lagi.

Untuk rekod, Zahid kini sednag berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi jenayah pecah amanah, lapan bagi tuduhan rasuah dan 27 bagi tuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit wang milik Yayasan Akalbudi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyifatkan pertuduhan terhadapnya adalah bermotifkan politik.

Tiada ulasan: