HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 September 2021

68 MP pembangkang berhimpun langgar SOP diberi diskaun kompaun

 

Semua 68 Ahli Parlimen (MP) pembangkang yang berhimpun dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa menghadiri perhimpunan di Dataran Merdeka pada Ogos lalu mendapat diskaun kompaun.

Pengurangan diskaun tersebut diberikan kepada semua MP yang didapati bersalah menghadiri perhimpunan tersebut dan sudah menjelaskan bayaran kompaun, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Sama seperti rakyat lain, mereka yang langgar SOP dikenakan kompaun dan mereka minta diberikan diskaun.

“Kita bersetuju untuk beri diskaun kepada mereka,” katanya semasa sidang media hari ini di Kementerian Dalam Negeri.

Terdahulu pada 2 Ogos lalu, seramai 68 ahli Parlimen berkenaan disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ini berikutan tindakan mereka yang berkumpul di Dataran Merdeka, terdiri daripada sekumpulan MP pembangkang, antaranya daripada parti Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang, Parti Muda dan Parti Warisan dihalang menuju ke Parlimen melalui Jalan Parlimen dari Bulatan Dato Onn oleh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Susulan perhimpunan itu, polis memanggil semua MP dan individu yang terbabit dalam perhimpunan terbabit untuk direkodkan percakapan.

Ia bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.


Tiada ulasan: