HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 September 2021

Pas Selangor sambut baik RUU355 akan dimuktamadkan

KUALA LUMPUR – Pas Selangor menyambut baik keputusan kerajaan pusat mempergiatkan usaha merangka Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2021 atau RUU355.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya baru-baru ini menyatakan, draf RUU itu akan dibentang kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil setelah dimuktamadkan nanti.

Menurut beliau, RUU yang dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kira-kira empat tahun lalu merupakan Rang Undang-undang Persendirian.

“Ini bukan pencapaian Pas, tetapi kemenangan seluruh umat dan masyarakat Islam di Malaysia yang mahu memartabatkan agamanya agar menepati sebagaimana diperintahkan Allah.

“Jika tidak pun sempurna sekurang-kurangnya umat Islam berusaha dan berikhtiar ke arah itu melalui RUU ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, cadangan RUU itu turut mendapat izin kerajaan Barisan Nasional (BN) bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini, malah UMNO turut mengalu-alukan pembentangan itu sebagai meraikan tuntutan umat Islam.

Hari ini, katanya, sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri kesembilan, RUU itu akan diteruskan dan kerajaan sentiasa mengambil langkah untuk memperkasa serta memartabatkan kedudukan mahkamah syariah agar setanding dengan mahkamah sivil.

“Sejarah membuktikan, sejak Akta 355 ini diluluskan 52 tahun lalu, belum pernah ada seorang bukan Islam didakwa kesalahannya di bawah mana-mana Mahkamah Syariah negeri-negeri.

“Oleh itu, kita harap masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang implikasi cadangan pindaan itu kerana tiada seorang warga bukan Islam yang akan disabitkan atas apa-apa kesalahan jenayah syarie di bawah Akta 355 ini.

“Usul ini melibatkan sebuah akta peringkat Persekutuan dan ini bermakna ia masih tertakluk kepada persetujuan pemakaian kepada negeri-negeri kerana ia di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut Roslan, segala urusan agama Islam dan pelaksanaan hukum di bawah Mahkamah Syariah terletak di bawah kuasa negeri-negeri, di bawah kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan-sultan dan Raja-raja selaku Ketua Agama Islam Negeri.

Kerana itu, katanya, Ahli Parlimen termasuk yang bukan Islam diminta tidak menyekat atau mengganggu proses meluluskan RUU itu kiranya ia bangkit kembali di Parlimen.

“Mengganggunya bermakna mengganggu hak masyarakat Islam yang merupakan penduduk majoriti dalam negara dari mengamalkan agama mereka.

“Hiduplah dengan toleransi menghormati agama lain sebagaimana masyarakat berbilang kaum dalam negara kita sebelum ini hidup rukun dan damai tanpa menyentuh isu yang membabitkan agama dan kepercayaan yang lain,” kata beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: