HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 September 2021

Ahmad Jazlan dilantik Pengerusi FELCRA


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub yang melepaskan jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) awal tahun ini, dilantik sebagai Pengerusi FELCRA Berhad.

Pelantikan itu dikongsi oleh Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said di Facebooknya hari ini yang mengucapkan tahniah kepadanya.

“Semoga menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik. Selamat maju jaya,” katanya dalam catatan itu yang disertakan gambar Ahmad Jazlan menerima dokumen, dipercayai watikah pelantikan daripada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Ahmad Jazlan dilantik sebagai Pengerusi MPOB di bawah kerajaan terdahulu pada 8 April tahun lalu, menggantikan Mohd Bakke Salleh yang berkhidmat sehingga 31 Mac 2020.

Tetapi, beliau meletak jawatan pada Januari lalu sebagai bantahan terhadap kegagalan pentadbiran Muhyiddin Yassin membubarkan Parlimen.

Ketua Umno Kelantan itu turut menyuarakan pendirian tidak sedia bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional.

“Sudah pasti saya ada maruah, saya ada prinsip. Saya tidak mahu hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

“Kalau saya tarik diri, saya akan sertakan sekali (surat) peletakan jawatan. Saya tidak pentingkan jawatan, saya pentingkan maruah,” katanya pada awal tahun ini.

Tiada ulasan: