KUALA LUMPUR – UMNO menyambut baik kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk harga kit ujian kendiri Covid-19 akan dijual pada harga lebih rendah menjelang akhir bulan ini.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, desakan agar kit ujian kendiri Covid-19 dijual pada harga munasabah adalah antara yang dicadangkan beliau sebelum ini.
Kata beliau, penurunan harga yang akan diumumkan sebelum sesi persekolahan pada 3 Oktober ini akan memudahkan orang ramai terutama yang mempunyai ramai ahli keluarga untuk membuat ujian saringan.
“Kita sambut baik pengumuman kerajaan ini kerana ia juga antara yang saya syorkan kepada kerajaan beberapa hari lalu supaya menurunkan harga kit ujian kendiri Covid-19 secepat mungkin.
“Seperti saya katakan, tidak wajar tunggu sehingga penghujung tahun untuk turunkan harga memandangkan sektor sosial dan ekonomi telah pun dibuka, namun kes jangkitan masih tinggi,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Timbalan Menteri PDNHEP, Datuk Rosol Wahid dalam kenyataannya hari ini, memberi jaminan harga kit ujian kendiri Covid-19 akan lebih murah menjelang akhir bulan ini supaya mampu dimiliki oleh semua golongan.
Beliau dilaporkan berkata, harga baharu dijangka diumumkan dalam masa terdekat selepas perbincangan antara pembekal dan peniaga.
Menurutnya, walaupun penurunan harga belum muktamad, namun jumlahnya lebih murah terutama bagi keluarga yang ada ramai anak bersekolah.
Kit berkenaan kini dijual pada harga RM16 borong dan RM19.90 runcit bagi satu set.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berharap, penurunan harga itu benar-benar mudah milik supaya tidak perlu disemak berulang kali yang akhirnya tetap membebankan rakyat.
Katanya, perlu dipastikan juga penurunan harga kit ujian kendiri Covid-19 sama sekali tidak menjejaskan kualiti produk dan ia bukan sesuatu yang boleh dikompromi.
“Negara masih dalam perang melawan virus berbahaya sama ada pada fasa pandemik mahupun endemik. Kit ujian kendiri Covid-19 antara senjata menghadapinya.
“Bekalannya juga perlu dipastikan sentiasa mencukupi dan mudah diperoleh di pasaran pada setiap masa memandangkan satu kit ujian hanya boleh digunakan untuk satu individu,” katanya.
Selain itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mencadangkan agar kit ujian dijual di banyak tempat dan bukan sahaja di farmasi.
“Memang benar bahawa farmasi adalah tempat terbaik untuk membeli kit ujian kendiri Covid sebab ahli farmasi akan dapat mendidik masyarakat mengenai kaedah penggunaan, penyimpanan dan pelupusan kit-kit berkenaan, serta mengambil tindakan susulan dan menyediakan kaunseling setelah keputusan diperolehi.
“Tapi permintaan terhadap kit ujian kendiri ini akan menjadi lebih
besar dan ianya juga akan menjadi beban kos bulanan bagi setiap rumah
tangga dan perniagaan pada zaman norma baharu ini.
Sebab itu, farmasi tidak boleh menjadi satu-satunya sahaja tempat untuk membeli kit ujian.
“Kit ujian ini patut diedar di mana-mana supermarket, 7-11, kedai runcit dan sebagainya untuk memudahkan Rakyat dan untuk menggalakkan persaingan yang lebih meluas demi menurunkan harga,” katanya dalam Facebook hari ini.
Menurut Najib, pembelian online secara terus dari pengedar dan pengeluar juga patut dibenarkan seperti pernah disenarai dalam applikasi MySejahtera da nasihat dan panduan penggunaan kit perlu diberi dalam bentuk video-video tutorial oleh pengedar dan pengeluar masing-masing.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan