HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 September 2021

Akur jika pemilihan UMNO diadakan awal tahun depan, kata Noh


Seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar tidak membantah sekiranya pemilihan parti itu diadakan awal tahun depan namun ia perlu mengambil kira faktor keadaan semasa ketika negara masih berdepan krisis kesihatan.

Noh berkata keputusan tersebut akan diputuskan Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan sekiranya perkara tersebut dipersetujui, akar umbi perlu menghormati keputusan yang ditetapkan.

“Saya ingat perkara ini biarlah MT yang menentukan, saya sebagai ahli parti akan akur apa juga keputusan yang dibuat.

“Pendirian akar umbi di Tanjong Karang pun akan akur. Tetapi pada saya, kita sebagai kerajaan kena lupakan dahulu soal politik sama ada dalaman ataupun luar,” katanya lapor sebuah portal hari ini.

Terdahulu, Noh yang juga Menteri Usahawan dan Koperasi menghadiri Majlis Perasmian Program Prestij Pembelajaran di Kuala Selangor.

Jelasnya, keutamaan sekarang yang sepatutnya menjadi tumpuan semua pemimpin adalah soal membantu rakyat yang terjejas dan apabila krisis kesihatan sudah reda baharu lah tumpuan dalam pemilihan parti boleh dibincangkan.

“Saya minta semua orang bekerja untuk membantu rakyat yang baharu hendak bernafas bila sudah ada kelonggaran sekarang. Jadi itu lebih baik kita fokuskan.

“Wajar atau tidak (pemilihan) sebelum atau selepas PRU-15 itu biarlah ditentukan oleh MKT,” ujarnya lagi.

Pemilihan peringkat cawangan, bahagian dan MKT yang sepatutnya diadakan pada Ogos dan September tahun ini ditangguhkan berikutan kebimbangan terhadap penularan Covid-19 yang tinggi.

Keputusan itu dibenarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 iaitu MT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MTT, bahagian dan cawangan, namun penangguhan itu tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

Tiada ulasan: