HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 September 2021

DAP desak SPRM, polis beri penjelasan kehilangan wang tunai USD6 juta

MGF21122020_GUAN-ENG-MAHKAMAH06
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis memberi penjelasan mengenai kehilangan barang kes rasuah yang melibatkan wang tunai berjumlah USD6 juta.

Pada masa sama, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menyifatkan, tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mempertahankan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebagai bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata, tindakan itu juga bertentangan dengan urus tadbir yang baik, ketelusan, integriti dan akauntabiliti awam.

“Azam mendapat tekanan daripada orang awam supaya mengambil cuti rehat bagi memastikan tidak ada campur tangan dalam siasatan SPRM berikutan penangkapan tiga pegawai kanannya.

“Penangkapan itu dibuat kerana berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berhubung kehilangan barang kes berjumlah USD6 juta (RM25 juta) milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia, Datuk Hasanah Abdul Hamid.

“Ini mencetuskan persepsi negatif dan kecurigaan orang awam terhadap campur tangan tahap tertinggi ketika pegawai itu direman 12 hari, SPRM hanya mengeluarkan kenyataan rasmi setelah tempoh reman berakhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, ini berbeza amalan SPRM yang sengaja dan cepat mendedahkan maklumat kepada media mengenai ahli politik pembangkang yang menolak untuk menyokong kerajaan, bahawa mereka telah ditahan atau akan didakwa di mahkamah di kemudian hari.

Atas sebab itu, kata beliau, Azam perlu mengambil cuti rehat ketika dia dilihat sebagai batu penghalang terhadap siasatan yang bebas dan mengikut lunas undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih serta bebas dari sebarang campur tangan.

Katanya, bagaimana SPRM boleh dipercayai untuk menyiasat dirinya sendiri di atas kesalahan jenayah tersebut?

“Perkara ini juga perlu dikendalikan oleh polis apabila kes kecurian tidak berada di bawah bidang kuasa SPRM, tetapi dikendalikan oleh polis.

“Sekiranya demikian, SPRM tidak mempunyai hak untuk menyiasat kes rasuah polis yang perlu diserahkan kepada polis untuk menyiasat dirinya sendiri,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, skandal USD6 juta itu semakin mengukuhkan dan menambah kurangnya keyakinan orang awam terhadap integriti dan kredibiliti SPRM untuk menjalankan siasatan kes rasuah secara bebas tanpa campur tangan.

Ini katanya, disoroti pula oleh rekod suram SPRM mengenai kegagalan berulang untuk bertindak terhadap tuduhan rasuah oleh ahli politik yang menyokong kerajaan, sementara sanggup dijadikan senjata sebagai alat untuk menganiaya ahli politik pembangkang.

“Sementara kita menunggu perbincangan Wan Junaidi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai status Azam, kedua-dua pihak iaitu SPRM dan polis perlu memberi penjelasan mengenai kehilangan barang kes rasuah yang melibatkan wang tunai USD 6 juta,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: