KUALA SELANGOR: Pimpinan UMNO yang berada dalam kerajaan diharapkan supaya dapat memberikan tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat ketika negara masih lagi bergelut dengan krisis pandemik Covid-19.
Walaupun terdapat ura-ura dan cadangan supaya pemilihan parti diadakan pada awal tahun hadapan, namun berharap situasi itu tidak mengganggu perancangan dan pelaksanaan dasar kerajaan kepada rakyat.
Hal demikian dijelaskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar yang memaklumkan beliau tidak menolak jika resolusi Mesyuarat MKT memutuskan untuk mengadakan pemilihan sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.
“Saya ingat perkara ini biarlah MKT yang menentukan, saya sebagai ahli parti akan akur apa juga keputusan yang dibuat.
“Pendirian akar umbi di Tanjong Karang pun akan akur. Tetapi pada saya, kita sebagai kerajaan kena lupakan dahulu soal politik sama ada dalaman ataupun luar,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Program Prestij Pembelajaran, di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, pimpinan dan ahli UMNO di peringkat akar umbi tidak menolak keputusan di peringkat MKT untuk mengadakan pemilihan lebih awal daripada penangguhan yang diputuskan selama 18 bulan sejak Jun lalu.
Pemilihan peringkat cawangan, bahagian dan MKT yang sepatutnya diadakan pada Ogos dan September tahun ini ditangguhkan berikutan kebimbangan terhadap penularan Covid-19 yang tinggi ketika itu.
Keputusan itu dibenarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 iaitu MKT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, bahagian dan cawangan, namun penangguhan itu tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.
Walau bagaimanapun, Pengerusi Perhubungan UMNO itu dilihat enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, manakala pemimpin lain seperti Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pula dilihat secara terbuka mula menawarkan diri untuk bertanding.
“Saya minta semua orang bekerja untuk membantu rakyat yang baharu hendak bernafas bila sudah ada kelonggaran sekarang. Jadi itu lebih baik kita fokuskan.
“Wajar atau tidak (pemilihan) sebelum atau selepas PRU-15 itu biarlah ditentukan oleh MKT,” ujarnya.
Sebelum ini Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Adnan Seman menyarankan pemilihan UMNO yang masih ditangguh wajar dilaksanakan pada suku pertama tahun hadapan sebelum PRU-15.
Langkah itu juga disifatkan akan menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan