HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 September 2021

Ku Li dan rancangannya

Tengku Razaleigh Hamzah - Halaman Utama | Facebook

Umum kenali Tengku Razaleigh Hamzah sebagi Ku Li. Putera raja Kelantan yang memilih arena politik sebagai gelanggang pertaruhannya. Beliau menjadi ahli Umno pada 1962. Kekal dalam Umno sehingga 1988 apabila beliau menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 berikutan keputusan mahkamah mengharamkan Umno. Semangat 46 dibubarkan pada 1996 dan Ku Li pulang ke pangkuan Umno, yang ketika dah ada perkataan “Baru” dihujung namanya.

Tengku Razaleigh masih dalam Umno walaupun sudah letak jawatan sebagai pengerusi Jemaah Penasihat Umno. Surat letak jawatannya bertarikh 20 Sept diserahkan kepada pimpinan parti. Peletakan jawatannya berkuatkuasa serta-merta.

Menurut Tengku Razaleigh, jawatan pengerusi Jemaah Penasihat yang disandang tidak “berperlembagaan”. Dalam erti kata lain tidak ada peruntukan dalam perlembagaan parti berhubung jawatan berkenaan.

Beberapa komen di media sosial dipercayai daripada ahli Umno pro-Ku Li menyatakan sokongan beliau melepaskan jawatan itu kerana “nasihat pengerusi penasihat tidak didengar Umno”.

Ramai, dan mungkin juga Tengku Razaleigh sendiri, berpendapat jawatan itu diberi kepada beliau sekadar untuk “mengambil hati” seorang pemimpin veteran.

Ku Li seolah olah menggambarkan nasihatnya selaku pengerusi penasihat tidak diendahkan. Menerusi surat peletakkan jawatannya, beliau antara lain menyatakan rasa kecewa tentang rupa bentuk kerajaan pimpinan Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob yang menampilkan ramai muka lama daripada “kerajaan gagal” Muhyiddin Yassin, walaupun “rakyat dan akar umbi Umno tidak setuju”.

Kata beliau, jelas penampilan bekas anggota kerajaan Muhyiddin dalam kerajaan Ismail direstui pimpinan Umno.

Tengku Razaleigh sememangnya mahu Umno memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional terutama Bersatu, konsisten dengan keputusan sebulat suara Perhimpunan Agung Umno Mac 2020.

Di Parlimen, Ku Li mengambil langkah duduk di blok pembangkang walaupun tidak menyokong mereka. Ini bagi membuktikan beliau tidak mahu ada kena mengena apa pun dengan kerajaan.

“Ku Li wajar buat keputusan tinggalkan Umno sekarang dan kemungkinan beliau boleh dipecat,” menurut pemerhati politik Dahlan Maamor. Beliau antara orang paling awal membuat hantaran di Facebook surat peletakan jawatan Tengku Razaleigh.

Sehari sebelum surat itu didedahkan kepada khalayak, Tengku Razaleigh selaku Ahli Parlimen Gua Musang (beliau Ahli Parlimen paling lama berkhidmat iaitu selama 47 tahun) ketika berucap di Dewan Rakyat membidas Umno yang katanya sekarang sudah bersifat seperti “perusahan komersial, tamak haloba, dan akhlak hancur”.

Saya tidak bercadang mengulangi kritikan pedas beliau ke atas Umno. Tetapi sekadar nyatakan walaupun kecewa dengan Umno, Ku Li menegaskan jiwanya masih setia bersama Umno yang asal. Maknanya bukan Umno yang ada masakini.

“Saya tidak sekali-kali berhenti dan meninggalkan Umno asal,” kata beliau. Ketika menubuhkan Semangat 46 dahulu beliau kerap menegaskan langkah itu ialah untuk “mengembalikan” Umno asal. Angka 46 yang digunakan mengambil sempena 1946 iaitu tahun Umno ditubuhkan.

Sekarang Ku Li merancang untuk menghidupkan kembali “Umno asal” yang diharamkan pada era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri buat kali pertama dahulu.

Jalan yang membawa kepada pengharaman Umno sememangnya panjang dan berliku bermula daripada detik Mahathir menang tipis ke atas Tengku Razaleigh dalam perebutan jawatan presiden pada pemilihan Umno April 1987.

Ringkasnya pada 1988 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengikut perundangan mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangannya yang tidak didaftarkan (pada ketika pemilihan parti diadakan tahun sebelumnya) dan dianggap tidak sah mengikut Akta Pertubuhan.

Bagi Ku Li, “pembatalan pendaftaran (Umno asal ) oleh pendaftar pertubuhan tidak mengikut Akta Pertubuhan. Malah beliau mendakwa penghakiman Mahkamah Tinggi juga di luar bidang (kuasa).

Lantas beliau mahu hidupkan semula Umno asal dan katanya isu ini dibangkitkan sekarang kerana ia melalui proses penyelidikan undang-undang yang panjang.

Bagi Dahlan, “apa matlamat Ku Li nak usaha hidupkan Umno 1946 kerana beliau sudah membubarkan Parti Semangat 46 yang ditubuh dan diketuainya”. Seperti yang dikatakan tadi, parti itu usaha Tengku Razaleigh menghidupkan semula Umno asal.

Namun saya rasa Tengku Razaleigh akan teruskan hasratnya menghidupkan Umno asal meskipun beliau masih ahli Umno yang ada sekarang. Daripada apa yang diperkatakannya, nampak beliau sudah bersedia. Mungkin untuk mendapatkan semakan kehakiman sebagai permulaan?

Saya mendapatkan komen Tawfik Ismail, kenalan rapat Tengku Razaleigh. Beliau bekas Ahli Parlimen Umno kawasan Sungai Benut (kini Parlimen Simpang Renggam).

Tawfik ialah anak Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu Ismail Abdul Rahman. Semasa pemilihan Umno 1987 beliau menyokong Team B yang diketuai Ku Li menentang Mahathir yang mengepalai Team A. Apabila Umno diharamkan, Tawfik isytihar dirinya Ahli Parlimen bebas .

Menurutnya, gesaan Ku Li menghidupkan Umno asal wajar diberi perhatian ramai kerana mengikut undang-undang, jika cawangan yang tidak berdaftar, cawangan lah yang diisytihar tidak sah dan bukannya badan induk keseluruhannya.

“Ramai ahli Umno yang masih hidup tahu sejak 1987 ada yang tidak kena apabila Mahathir akur Umno diharamkan dan rampas atau ‘hijack’ nama dan aset parti (untuk tubuhkan Umno Baru),” kata Tawfik.

Kata beliau lagi, bagaikan “pergerakan tangan dalam silap mata” perkataan “baru” digugurkan dan wujudlah Umno seperti yang ada sekarang.

Tawfik melihat apa yang cuba dilakukan Tengku Razaleigh sesuatu yang “historically correct”.

Menurutnya, ucapan Ku Li di Parlimen tempoh hari yang terkandung dalam Hansard ialah rakaman sejarah untuk generasi akan datang di mana “penipuan ke atas bangsa Melayu didedahkan”.

Kata Ku Li, “Saya nak hidup balik Umno. Kalau ada orang berminat nak ikut sama, amat dialu-alukan”. Kata seorang yang saya anggap penggemar politik menerusi catatan di Facebook: “Ku Li kini keseorangan terutama dalam Umno”.

Ada benarnya kata-kata itu. Namun jika ditakdirkan beliau berjaya dan Umno asal hidup semula, apa akan jadi dengan Umno sekarang? Atau mungkin kah nanti ada dua Umno di negara ini?

Tiada ulasan: