
PETALING JAYA: Langkah terbaik untuk mengembalikan semula semangat perjuangan asal Umno adalah dengan mengejutkan “Umno lama” yang masih dalam “koma”, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau berkata, tindak tanduk kepimpinan Umno sekarang tidak disenangi ramai pihak, justeru langkah tersebut wajar diambil jika sudah tidak ada pilihan atau cara lain untuk memperkuatkan semula kepimpinan parti.
“Semua orang boleh buat parti baharu, tetapi Umno ini mempunyai
sejarah dan dokongan yang ramai. Bagi saya kalau tidak ada pilihan kita
nak cari langkah yang baik adalah membangkit semula semangat ‘Umno
lama’, bila dikejutkan ‘Umno lama’ ini daripada koma ia seolah-olah
parti baharu.
Veteran Umno itu berkata, ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli mungkin menjadi punca kekalahan Umno dalam pilihan raya lalu sekali gus membuktikan ramai meninggalkan parti dan tidak mengundi.
“Ramai orang Umno dulu tak mengundi, ini mungkin ada ketidakpuasan hati. Saya tidak pasti kalau mereka sudah hilang roh perjuangan,” katanya.
Tambahnya, “Umno lama” yang diharamkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) ketika era pentadbiran bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad “tidak pernah diharamkan” kerana JPPM tiada kuasa untuk berbuat demikian.
Jelasnya, “Umno lama” yang mewakili mewakili tiga juta lebih ahli di tanah air kita sejak sebelum merdeka, tidak melakukan sebarang kesalahan yang menyebabkan ia diharamkan.
“Walaupun dah diharamkan, ia tidak melakukan sebarang kesalahan atau melanggar mana-mana undang-undang yang menyebabkan ia mesti diharamkan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan