HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 September 2021

DPPS desak Tengku Zafrul tarik balik kebenaran kekerapan cabutan khas nombor ramalan

Mohamed-Sukri-Omar
Mohamed Sukri Omar

KUALA LUMPUR – Pas masih tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung tindakan kerajaan memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini.

Walaupun telah didesak oleh sayap parti Pas peringkat pusat, namun Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS) turut memberi tekanan kepada menteri berkenaan supaya menarik semula keputusan yang dibuat itu.

Timbalan Ketuanya, Mohamed Sukri Omar mempersoalkan kepada Tengku Zafrul, berapa ramai jumlah mereka yang bertambah-tambah miskin dan melarat akibat judi berbanding kaya dengan perbuatan haram itu?

Tegas beliau, judi bukan solusi bagi masalah ekonomi, tetapi menjadi punca rakyat semakin tertekan.

“Malah, ianya turut menjadi punca keganasan dan keruntuhan sesebuah rumah tangga.

“Dengan menambah jumlah cabutan, bukanlah solusi bagi permasalahan ekonomi, sebaliknya lebih baik kerajaan fokus memberikan bantuan kepada SME dan peniaga kecil bagi menggalakkan perkembangan ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada Isnin lalu, Dewan Rakyat diberitahu, kerajaan mengesahkan memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini.

Hal itu dinyatakan Tengku Zafrul dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Tiada ulasan: