HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 September 2021

Pendirian UMNO tak jelas bersama PN atau ada pilihan tersendiri


UMNO tidak mempunyai pendirian yang jelas sama ada bersama Perikatan Nasional (PN) atau mempunyai pilihan tersendiri bagi menghadapi pilihan raya umum nanti (PRU), bagaimanapun Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu campur urusan parti tersebut.

Pengerusi PN tersebut berkata walaupun mempunyai hubungan dalam kerajaan di peringkat nasional dan negeri, namun UMNO tidak menyatakan pendirian mereka dan Muhyiddin menegaskan tumpuan ketika ini adalah mengukuhkan gerak kerja PN pada semua peringkat untuk bersiap-sedia menghadapi PRU.

“Memang kita ada hubungan dengan parti-parti yang lain, seperti UMNO itu macam sekarang ini dalam kerajaan memang ada di peringkat nasional pun ada, di peringkat negeri pun ada.

“Cumanya kita kurang jelas sama ada hala tuju ke depan UMNO akan bersama sebegini ataupun UMNO mempunyai pilihan mereka tersendiri. Ini bukan hak saya untuk nak menyatakan, cuma saya nak jelaskan fokus kita ialah Perikatan Nasional,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Bersama Pimpinan Bersatu Johor di Pagoh hari ini.

Dalam pada itu, Presiden Bersatu itu juga menjelaskan penyertaan PAS sejak awal penubuhan PN dan komitmen yang ditunjukkan mereka memberi keyakinan kerjasama dengan parti Islam tersebut akan kekal sehingga ke pilihan raya umum nanti.

Jelasnya, PAS merupakan salah satu parti penaja dan bersama-sama dalam PN sejak permulaan penubuhan gabungan itu, malah hampir semua perbincangan dan mesyuarat yang diadakan di peringkat pusat akan disertai pemimpin utama parti tersebut.

“Pada waktu permulaan pendaftaran PN, PAS adalah penajanya dan bersama-sama dalam PN sejak ia ditubuhkan, kemudian barulah parti lain menyertainya.

“Sehingga ke hari ini, saya lihat dalam semua mesyuarat yang kita adakan, Presidennya (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan semua wakilnya termasuk di peringkat pusat serta pucuk pimpinan PAS datang bersama, berbincang banyak perkara hal berkaitan kerajaan dalam gabungan parti PN,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Bersama Pimpinan BERSATU Johor di Pagoh hari ini.

Selain itu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu menyifatkan setiap perbincangan dan permuafakatan sesama parti komponen dalam PN berjalan dalam keadaan baik, disamping menegaskan akan memberi kerjasama yang utuh dengan mana-mana parti yang sealiran dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Sekiranya mereka adalah sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika mereka bukan sebahagian daripada kita, kita menentang mereka dalam pilihan raya.

“Itulah prinsip yang menurut saya boleh diterima kerana pucuk pimpinan dan ahli-ahli kita begitu prihatin hal itu,” katanya lagi.

PN secara rasmi didaftarkan pada 7 Ogos 2020, ia pada awalnya terdiri dari empat buah parti komponen iaitu Bersatu, Pas dan dua parti politik tempatan di Sabah iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Pada peringkat awal, Kongres India Malaysia (MIC) juga terlibat dalam pembentukan parti ini, namun pada 27 Ogos 2020, MIC mengambil keputusan untuk menarik diri sebagai menuruti keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang disertai MIC.

UMNO tidak menyertai PN kerana menjadi parti komponen dalam BN bersama MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Parti Gerakan sudah diterima sebagai parti komponen kelima terbaharu dalam PN setelah mendapat sokongan penuh Majlis Tertinggi PN.

Tiada ulasan: