HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 September 2021

Isu kos buku RMK12: Dakwaan Anwar suatu kejanggalan

 Oleh YUSMAN AWANG

PUTRAJAYA – Kenyataan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan telah membelanjakan lebih RM2 bilion untuk projek buku Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) disifatkan sebagai suatu kejanggalan, kata pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul  Razak (Unirazak), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Beliau berkata, dakwaan Anwar mengenai perkara tersebut kedengaran agak janggal, memandangkan kos RM2 bilion tersebut agak terlalu tinggi nilainya jika ia dibelanjakan semata-mata untuk projek buku RMK12 berkenaan.

Anwar ketika membahaskan mengenai RMK12 dalam Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Parlimen pada Selasa lepas mempersoalkan mengenai perkara tersebut, dengan mendakwa peruntukan lebih RM2 bilion berkenaan telah diberikan kepada konsultan, yang mana sebahagian daripada kos tersebut, iaitu sebanyak RM1.8 bilion dibelanjakan kepada konsultan luar negara sejak lima tahun lalu.

Menurut Barjoyai, beliau agak terkejut dengan dakwaan Anwar berkenaan yang diibaratkan sebagai perumpamaan ‘lebih besar tali daripada lembu’, merujuk kepada kos yang terlalu tinggi dibelanjakan untuk projek buku RMK12 sepertimana yang didakwa Anwar itu.

“Jika benar kos RM2 bilion itu dihabiskan sebahagian besarnya untuk kos khidmat konsultan luar negara, Anwar boleh kemukakan nama konsultan tersebut.

“Agak janggal jika kerajaan membelanjakan sehingga RM2 bilion untuk kos buku RMK12, sedangkan negara ini memiliki pakar-pakar ekonomi dari universiti-universiti tempatan, selain projek berkenaan dikendalikan dengan rapi oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM),” ujarnya kepada HarakahDaily.

Katanya lagi, kos percetakan buku RMK12 dianggarkan hanya mencecah RM1 juta.

“Adakah kemungkinan Anwar keliru dengan kos untuk program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy/NBOS), atau projek Balanced Scorecard (BSC) semasa era pemerintahan kerajaan terdahulu?” soal Barjoyai.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed pada Selasa lepas menafikan dakwaan Anwar tersebut dengan berkata, perancangan pembangunan negara untuk lima tahun bagi projek buku RMK12 berkenaan disediakan oleh pegawai UPE, JPM di bawah seliaannya, hanya melibatkan kos yang amat kecil untuk sesi libat urus, cetakan dan perunding media, dan tidak pernah membelanjakan sehingga mencecah RM2 bilion.

Mustapa juga memohon Anwar agar dapat memperbetulkan kenyataannya tersebut bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap pegawai UPE, JPM dan kerajaan. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: