HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 September 2021

Jangan berpecah jika tak mahu PH berkuasa: Naib Presiden PAS


Sekiranya tiga parti Melayu yang membentuk kerajaan sedia ada sekarang berpecah ia akan memberi laluan kepada blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) untuk kembali memerintah, kata Naib Presiden PAS Senator Idris Ahmad.

Idris menggesa agar permuafakatan sesama parti politik yang sedia ada dikekalkan dan semua pihak digesa mempertahankan Perikatan Nasional (PN) di samping mengukuhkan Muafakat Nasional (MN).

“Pas mahu jadi penyatu kepada dua pihak kerana kalau berlaku perpecahan, PH akan memerintah semula.

“Oleh sebab itu Pas berharap UMNO-Bersatu dapat bersama kerana kita yakin dan percaya apabila sesebuah pakatan kuat maka keadilan dapat dinikmati oleh orang Melayu-Islam di samping bukan Islam,” katanya dipetik laporan media hari ini.

Gesaan sama juga disuarakan imbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketiga-tiga parti utama dalam kerajaan hari ini iaitu UMNO, Bersatu dan Pas perlu bersedia untuk melakukan pengorbanan termasuk dalam hal pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Untuk rekod, UMNO sebelum ini sudah membuat ketetapan semasa Perhimpunan Agung 2021 untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu yang kini mengetuai gabungan PN yang terdiri daripada PAS sebagai rakan komponen utamanya.

Bagaimanapun, kerajaan yang dibentuk ketika ini mendapat sokongan daripada PN walaupun pada awalnya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi cuba membawa parti itu ke dalam jajaran baharu yang diwar-warkan sebelum ini.

Pembentukan jajaran baharu menemui kegagalan selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan sebelum ini.

Kemelut politik sebelum ini tercetus susulan tindakan beberapa Ahli Parlimen UMNO khususnya daripada kluster mahkamah yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin sehingga menjadi punca pertukaran PM.

Tiada ulasan: