HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 September 2021

Teruskan siasatan kes kematian Muhammad Adib – UMNO

SIASATAN kes melibatkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim perlu diteruskan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid, kes berkenaan telah menjadi suatu aspek kepentingan umum dan perlu diteruskan sehingga kebenaran dapat dirungkai.

Beliau berkata, UMNO sentiasa memerhati dengan rapat perkembangan kes tersebut selepas kerajaan sebelum ini memberi jaminan akan meneruskan siasatan.

Kata beliau, parti itu juga percaya pihak berkuasa perlu diberi masa dan ruang untuk melaksanakan siasatan bagi mencari kebenaran.

“Justeru, kenyataan seorang menteri baru-baru ini bahawa kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan hanya akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu amat mendukacitakan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, UMNO tidak pernah melupakan kes kematian Muhammad Adib dan sentiasa menuntut keadilan supaya dapat ditegakkan.

“UMNO berpegang kepada keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019 berhubung inkues kematian anggota bomba tersebut.

“Keputusan mahkamah adalah kematian Muhammad Adib selepas insiden rusuhan pada 27 November 2018 adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu,” jelas beliau.

Sabtu lalu, media melaporkan kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Tiada ulasan: