HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 September 2021

Selepas ponteng sidang Parlimen, Kit Siang puji prestasi Khairy

 

Lim Kit Siang memuji Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan, malah meluahkan rasa gembira sebaik Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pertukaran portfolio Ahli Parlimen (MP) Rembau itu dalam Kabinetnya.

Pemimpin veteran DAP itu yang dikritik semalam kerana ponteng sesi Parlimen semasa Khairy menggulung bagi Kementerian Kesihatan berkata sangat mengharapkan kejayaan akan dicapai dalam memerangi Covid-19 dengan pelantikan tersebut.

“Biar saya berlaku jujur satu-satunya berita baik dalam peristiwa pembentukan kabinet Ismail Sabri adalah pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan.

“Semua rakyat Malaysia mahu dan mengharapkan Khairy berjaya dalam mengemudi perang melawan Covid-19 yang mengancam negara, dan saya tidak segan untuk mengakui bahawa saya adalah seorang daripadanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang juga berkata kritikannya bukan mahu melihat Khairy gagal dalam menjalankan tugasnya sebaliknya mahu melihat beliau berjaya.

“Saya akan terus melontarkan pandangan dan kritikan terhadap Khairy dalam usahanya untuk memerangi Covid-19, bukan kerana saya mahu beliau tersungkur gagal tetapi sebaliknya untuk melihat beliau berjaya,” katanya lagi.

Untuk rekod, Kit Siang terdahulu mengkritik Khairy berhubung isu kematian Covid-19 tetapi tidak nampak batang hidung dalam Dewan Rakyat semalam, namun Khairy tetap menjawab persoalan yang dibangkitkan MP Iskandar Puteri itu.

Semakan dalam siaran langsung semasa sesi pagi Parlimen hari ini, bayang batang hidung tidak kelihatan tetapi terdapat beberapa MP pembangkang lain dalam Dewan Rakyat yang bangkit bertanya soalan kepada Khairy semasa sesi penggulungan tersebut.

Kit Siang juga tidak nampak bangun di kerusinya untuk bertanyakan soalan kepada Khairy.

Dalam penggulungan hari ini, Khairy berkata bagi purata kes kematian dalam tempoh tujuh hari pada bulan Ogos adalah 251 kes berbanding September iaitu 106 kes manakala berdasarkan kes aktif semasa yang dicatatkan, sebanyak 83 peratus daripada keseluruhan kes adalah dari kategori 1 dan 2 dan hanya perlu kuarantin di rumah.

“Sebanyak 10.7 peratus dibawa ke pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) dan yang masuk hospital adalah 5.1 peratus manakala kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan rawatan rapi adalah 0.5 peratus.

“Ini bukan tujuan memberi gambaran yang baik sahaja tetapi lebih bertujuan memberi perincian yang lebih teliti berkenaan kes dihadapi hari ini supaya pengurusan pandemik dapat dibuat dengan teratur dan bersasar,” katanya.

Tiada ulasan: