HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 September 2021

Berbaloi Ahmad Maslan bayar RM1.1 juta selesai kes, kata Najib


Langkah Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan membayar kompaun RM1.1 juta adalah berbaloi untuk menyelesaikan kes mahkamahnya, kata Datuk Seri Najib Razak.

Untuk rekod, Najib juga terpalit dalam kes melibatkan Ahmad yang dibebaskan Mahkamah Tinggi hari ini kerana isu pemberian wang RM2 juta tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu berkata kompaun dibayar Ahmad itu berbaloi kerana dapat mengelakkan kos-kos lain yang hanya akan merugikan tertuduh disebabkan perjalanan perbicaraan kes yang memakan masa yang lama.

“Sebab itu sebagai seorang ahli politik, RM1.1 juta yang dibayar Ahmad Maslan untuk selesaikan kes mungkin dianggap berbaloi oleh dia sebab mampu mengelakkan kos guaman, kos masa mahkamah serta pencalaran imej bertahun-tahun lamanya untuk dilabel tuduhan ‘kluster mahkamah’.

“Berhubung perkara ini, bagi pertahankan keadilan terhadap tertuduh serta menjimat kos guaman kedua-dua pihak, pejabat peguam negara kerajaan BN masa dahulu hanya akan mendakwa sebarang kes sekiranya cukup bukti dan kebarangkalian untuk menang kes adalah setinggi 90 peratus,” katanya dalam hantara Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Najib juga mempersoalkan pertuduhan semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) hampir semuanya kalah dan motif disebalik pendakwaan terhadap pemimpin UMNO.

“Jadi, persoalan paling mustahak ialah kenapa pula kes-kes yang dituduh peguam negara masa kerajaan PH hampir 100% kalah di mahkamah?

“Adakah mereka telah salah gunakan institusi kerajaan untuk melancarkan serangan politik?” ujarnya lagi.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahmad terhadap dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu.

Keputusan dibuat selepas Ahmad membayar kompaun sebanyak RM1.1 juta

Sebelum ini Ahmad mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Ahmad, 55, didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad, dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek itu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda kedua-duanya.

Tiada ulasan: