KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyatakan hasratnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, hasrat berkenaan tercetus hasil daripada semangat yang ditunjukkan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak menolak kemungkinan bertanding pada PRU-15.
“Terinspirasi dengan Najib untuk bertanding pada PRU-15, saya sekarang mengisytiharkan untuk melakukan perkara yang sama (hasrat akan bertanding PRU).
“Saya memilih platform atau landasan yang tidak mengamalkan sikap diskriminasi dengan tidak memaksa menjual saham syarikatnya kepada bumiputera,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.
Sebelum itu, media melaporkan Najib tidak menolak kemungkinan bertanding pada PRU-15 walaupun disabit atas kesalahan rasuah oleh mahkamah dan berdepan pelbagai perbicaraan lain.
Dalam wawancara bersama Reuters, Ahli Parlimen Pekan itu dilaporkan berkata, perkara itu sudah tentunya diinginkan oleh mana-mana ahli politik yang mahu memainkan peranan.
Kata beliau, persoalan sama ada beliau layak atau sebaliknya untuk bertanding pada pilihan raya itu adalah tertakluk kepada tafsiran peruntukan Perlembagaan.
Untuk rekod, Zaid yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu ketika menerima jawatan menteri yang ditawarkan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2008 telah melepaskan kepentingannya dalam firma guamannya, Zaid Ibrahim & Co.
Beliau bagaimanapun bertahan selama enam bulan sebagai menteri sebelum meletak jawatan pada September 2008 dan aktif dalam beberapa parti politik pembangkang. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan