HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 September 2021

Muktamar pemilihan Pas secara hibrid November ini – Takiyuddin

MGF19092021__TANAH-RUNTUH-KEMENSAH6
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas memutuskan muktamar tahunan kali ke-67 parti itu November ini akan diadakan secara hibrid memandangkan pandemik Covid-19 masih menular.

Keputusan itu dinyatakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyifatkan muktamar secara hibrid itu julung kali diadakan sejak Pas ditubuhkan sejak 70 tahun lalu.

Kata beliau, hibrid bermakna hanya jumlah tertentu sahaja dibenarkan hadir di lokasi muktamar diadakan, manakala ahli atau kepimpinan akar umbi akan mengikuti secara dalam talian.

“Sebagai contoh, jika muktamar tahun ini diadakan di Terengganu, ia hanya akan dihadiri pada kadar jumlah yang dibenarkan sahaja untuk bermuktamar di situ.

“Manakala perwakilan dari negeri lain yang dianggarkan lebih 1,000 orang akan berada di negeri masing-masing.

“Mereka akan mengikuti muktamar berkenaan secara maya, begitu juga ketika sesi pemilihan,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Takiyuddin berkata, Pas pusat yakin boleh mengadakan muktamar dengan sistem normal baru iaitu secara atas talian walaupun tahun ini berlaku pemilihan pucuk kepimpinan.

Menurut beliau, Pas pusat pada mulanya hendak menangguhkan muktamar itu dengan memohon kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), tetapi mereka hanya diberi kebenaran sehingga 31 Disember sahaja.

“Kita mengharapkan muktamar tahun ini akan diadakan tahun depan atau selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

“Tetapi, RoS memaklumkan pemilihan mesyuarat agung atau muktamar Pas pusat perlu diadakan sebelum 31 Disember ini sahaja,” katanya.

Katanya, Pas akur dengan arahan itu dan mesyuarat di peringkat cawangan sedang berlaku ketika ini, manakala mesyuarat Kawasan bermula pada pertengahan Oktober mesyuarat ini.

Awal November pula kata Takiyuddin yang juga merupakan menteri Tenaga dan Sumber Asli, akan diadakan di peringkat dewan-dewan negeri dan seterusnya muktamar tahunan pusat. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: