HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 September 2021

Dakwa lulus projek, Khalid minta portal pro menteri kanan beri maklumat terperinci

MGF30032021_FORUM-DEMOKRASI22
Khalid Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Khalid Abd. Samad minta sebuah portal yang didakwanya pro seorang menteri kanan supaya mendedahkan secara terperinci mengenai surat yang dikatakan ditandatangani untuk menyokong satu projek.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, sekiranya tiada laporan terperinci mengenai isu yang didedahkan itu, ia menyukarkannya untuk menjawabnya.

“Sebuah portal berita melaporkan, saya telah menandatangani satu surat untuk menyokong atau membenarkan satu projek dijalankan ketika saya menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dahulu.

“Sebuah media lain pula turut membuat laporan yang sama, tetapi kemudiannya telah menarik balik laporan itu.

“Oleh kerana saya tidak tahu projek mana yang dimaksudkan oleh media pro bekas menteri Pakatan Harapan (PH) ini, yang kemudian melompat macam katak untuk menjadi menteri kanan Perikatan Nasional (PN), saya tidak boleh berikan apa-apa penjelasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, portal itu dalam laporannya mendakwa, Khalid membantu sebuah syarikat pemaju swasta untuk mendapatkan kelulusan bagi memindahkan plot tanah pada 2019, walaupun polisi PH ketika itu tidak membenarkan surat sokongan, termasuk minit menteri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam yang menjadi Menteri Wilayah Persekutuan di bawah pentadbiran 22 bulan kerajaan PH secara peribadi memastikan surat rayuan daripada pemaju tersebut ditangani sendiri oleh pembantunya dan datuk bandar.

Syarikat tersebut dikatakan menulis kepada Khalid kurang enam bulan selepas PH mengambil alih Putrajaya, memohon untuk mendapatkan sebuah plot tanah Kuala Lumpur bagi tujuan pembangunan bercampur.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, jika diberikan butiran secara terperinci mengenai surat itu, beliau boleh memberikan respons atau penjalasan ke atas dakwaan itu.

“Saya memohon mereka mendedahkan secara terperinci mengenai surat itu supaya dapat saya respons.

“Seingat saya, tidak ada sebarang projek atau kontrak yang saya sokong atau luluskan sebagaimana yang dibayangkan.

“Namun, perlu saya ingatkan, semoga tragedi yang berlaku kepada Menteri Besar Kedah yang mendakwa Datuk Seri Mukhriz membuat onar tiba-tiba menteri besar sebelumnya pula yang terkena, tidak berulang dalam kes ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: