Firdaus Azil
PH berkata persepsi yang ditimbulkan seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada China.
KUALA LUMPUR:
Malaysia perlu dilihat berkecuali, dan tidak berpihak kepada mana-mana
kuasa besar berhubung kontroversi Pakatan tiga hala AUKUS, kata
Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKPH).
Dalam
satu kenyataan hari ini, jawatankuasa itu berkata, cadangan Menteri
Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Rabu yang mahu
mendapatkan pandangan China telah menimbulkan persepsi terhadap
pendirian Malaysia.
Menurut kenyataan itu lagi, persepsi yang ditimbulkan seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada China.
“Cadangan
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada hari
Rabu berkenaan lawatan kerja ke China bagi membincangkan pakatan AUKUS
(Australia,United Kingdom, dan Amerika Syarikat) dilihat agak aneh dan
menimbulkan persepsi seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada
China.
“Beliau berkata - Kita (Malaysia)
perlu mendapat pandangan kepimpinan China, khususnya dalam aspek
pertahanan, berhubung AUKUS,” menurut jawatankuasa itu lagi.
JKPH berkata mereka telah menzahirkan kebimbangan bahawa perjanjian itu telah meningkatkan suhu geopolitik di rantau ini.
Kerajaan Indonesia juga berkongsi pendirian yang sama.
Biarpun
pendirian rasmi kerajaan Malaysia -- seperti yang ditekankan oleh
Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri, dan Menteri Pertahanan yang
menyatakan kebimbangan bahawa AUKUS bakal mencetuskan persaingan senjata
di rantau ini adalah selari dengan pendirian Pakatan Harapan --
jawatankuasa itu berkata, kenyataan Hishammuddin adalah salah sama
sekali.
“Malaysia dipandu oleh Kertas Putih Pertahanannya yang telah diluluskan di Parlimen secara dwipartisan pada 2 Disember 2019.
“Salah
satu daripada lima prinsip asas pertahanan yang digariskan dalam Kertas
Putih Pertahanan adalah 'Keneutralan aktivis' iaitu 'mengamalkan dasar
berkecuali dan mempromosikan kerjasama dengan memberi penekanan terhadap
keterangkuman dan perkongsian kemakmuran, seiring dengan perkongsian
keselamatan dan perkongsian identiti',” menurut kenyataan itu lagi.
JKPH
berkata, keneutralan aktivis tidak bermaksud Malaysia berpeluk tubuh
apabila ada percubaan untuk menjejaskan kedaulatan negara dan sikapnya
untuk berkecuali.
Malaysia, tegas
jawatankuasa itu lagi, seharusnya bersuara lantang terhadap kuasa Barat
sekiranya berlakunya persaingan senjata di rantau ini.
“Pada
masa yang sama, Malaysia juga perlu mempengaruhi China secara aktif
supaya menghormati kedaulatan negara-negara serantau, serta peranan
ASEAN di rantau ini.
“Kita tidak boleh
dilihat memihak dan memberi gambaran bahawa Malaysia menerima arahan
daripada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan