Assim Hassan
Sidang
media pertama Hajiji (tengah) selepas mengangkat sumpah jawatan Ketua
Menteri Sabah pada 29 September 2020. - Gambar fail BERNAMA
HARI ini genap setahun satu hari Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipilih mentadbir negeri Sabah.
Dikemudi
Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua
Menteri yang baharu - rakyat dan pemerhati politik tidak sabar untuk
melihat kemampuan kerajaan GRS ini.
Adakah
mereka dapat menyantuni suara 'lantang' anak-anak Sabah yang mahukan
sedikit kelebihan tanpa hanya berpaksikan kepada telunjuk Semenanjung?
Dapatkah
mereka membawa pembangunan, menyediakan kemudahan asas di pedalaman
yang dipinggirkan sekian lama - setahun ini tidak adil untuk menilai
pencapaian GRS itu sendiri.
Jika dilihat, perancangan dan usaha ke arah mengangkat anak bangsa itu ada. Benar ia masih di peringkat awal.
GRS
merupakan gabungan parti Perikatan Nasional (Bersatu, Star, PBRS),
Barisan Nasional (UMNO, MCA dan MIC), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan juga
Pas.
Dan pada tarikh ini tahun lalu (28
September 2020), penulis sudah berada lebih 45 hari di Sabah (kerana
membuat liputan Pilihan Raya Negeri ke-16) masih lagi berada di
pekarangan sebuah hotel terkemuka di bandaraya Kota Kinabalu.
Walaupun
sudah menang pada PRN ke-16, belum ada sosok tubuh pemimpin yang tampil
mengangkat sumpah di Istana Negeri sebagai Ketua Menteri Sabah yang
baharu.
Belum ada. Media terus berspekulasi ketika itu. Macam-macam drama.
Rata-rata
pemimpin kanan Bersatu di peringkat Pusat dan negeri berkampung di
hotel tersebut - Pemimpin kanan UMNO Pusat dan negeri pula dikatakan
berkampung di kediaman Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ini
kerana masih belum ada kata putus mengenai calon Ketua Menteri Sabah
walaupun GRS sudah diumumkan menang majoriti pada PRN Sabah ke-16 dengan
38 kerusi.
Ditambah
pula, tiga kerusi yang dimenangi calon bebas iaitu DUN Kemabong (Datuk
Rubin Balang); Kuamut (Datuk Masiung Banah) dan Pitas (Datuk Ruddy Awah)
memberi sokongan kepada GRS.
Ini sekali
gus menidakkan parti pemerintah sebelum itu iaitu Warisan Plus untuk
meneruskan perjuangan mentadbir negeri Sabah apabila menang 32 kerusi
pada waktu itu.
Hinggakan aplikasi
WhatsApp mengejutkan pengamal media. Hajiji dipanggil mengadap Yang
Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri petang 28
September 2020.
Waktu itu, penulis dan beberapa rakan kru Astro AWANI
sedang minum petang, pisang goreng PM yang terkenal di lintasan
Deasoka, Kota Kinabalu. Tidak pikir panjang, terus bergegas ke
pekarangan Istana Negeri bagi mendapatkan respon Hajiji.
Kemelut
berakhir, Hajiji dengan ringkas memaklumkan akan mengangkat sumpah
esoknya (29 September 2020) selepas dipilih sebulat suara oleh pimpinan
GRS selaku Ketua Menteri Sabah.
Sentimen Borneo
Jika
disingkap kembali, arena politik di peringkat Pusat sedikit kucar-kacir
hingga perubahan tampuk pentadbiran negara juga berlaku.
Hal
ini turut memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan di peringkat negeri
Sabah. Mana tidaknya, GRS itu dianggotai oleh PN dan BN itu sendiri.
Namun,
Hajiji pantas bertindak. Beliau memastikan gabungan itu tidak goyah
dengan apa yang berlaku di peringkat Pusat termasuk mendapat jaminan dan
sokongan parti komponen dalam GRS sendiri terutama UMNO dan PBS.
"Sentimen Borneo itu dilihat kuat sekarang. Para pemimpin tidak lagi sanggup mengikut rentak politik di Semenanjung.
"Seperti
ada satu ikatan kekitaan walaupun mereka berlainan parti politik tetapi
tujuan dan fokus mereka sama. Iaitu membangunkan Sabah dan rakyatnya
serta yang penting memperjuangkan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963
(MA63)," jelas penganalisis politik, Romzi Ationg.
Pembangunan Sabah
Dalam
tempoh setahun itu, barisan kepimpinan GRS tidak hanya berpeluk tubuh.
Selain perjuangan MA63, usaha membangunkan Sabah itu sendiri dirancang
dan dilakukan.
Sebagai contoh Pelan
Pembangunan Sabah di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang
dilancarkan Hajiji pada 29 Mac lalu adalah insiatif untuk meningkatkan
negeri itu dan rakyatnya dalam tempoh lima tahun.
"Pada
saya, semua atau hampir kesemua elemen yang dinyatakan dalam pelan
pembangunan ekonomi di bawah inisiatif SMJ berupaya mewujudkan kesan
positif kepada ekonomi Sabah.
"Sebagai
contoh, kesan pengganda kepada ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan
perniagaan yang lebih banyak, meningkatkan atau memperbaiki kemudahan
infrastruktur sedia ada, meningkatkan keupayaan sumber daya sedia ada,
meningkatkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dalam
pasaran, di samping memberikan isyarat yang positif kepada para pelabur
asing dan domestik serta pemegang taruh yang lain," kata Pengarah Pusat
Pelaburan, Endowmen dan Wakaf Universiti Malaysia Sabah, Rafiq Idris.
Setahun
pentadbiran GRS dilihat punyai cara mentadbir yang dimahukan 'orang
Sabah'. Lebih mudah ada sedikit autonomi atau keberanian keputusan
pemimpin untuk tidak selari dengan arahan di peringkat persekutuan.
Jika
dilihat dari aspek yang luas, itu bukan 'penderhaka' atau tidak ikut
perintah... sebaliknya corak pentadbiran kerajaan negeri mengadaptasi
situasi semasa di Sabah.
Malah, esok
Hajiji dan barisan kepimpinan GRS akan mengadakan Majlis Setahun
Kerajaan GRS Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah
(SICC).
Yang akhirnya, semua fokus dan inisiatif ini adalah untuk tanahair tercinta dan rakyatnya agar Sabah terus maju jaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan