HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 September 2008

Surat terbuka Zaid minta Abdullah mansuhkan ISA

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Senator Datuk Zaid Ibrahim yang meninggalkan Kabinet dua minggu lalu, dalam surat terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengulangi agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini, dimansuhkan.

"Yang Amat Berhomat, anda masih lagi Perdana Menteri dan masih mempunyai kesempatan untuk meninggalkan jejak anda dalam sejarah Malaysia.

"Saya menyeru anda berbuat begitu dengan memansuhkan terus ISA sama sekali.

"Marilah kita cuba memenuhi janji yang telah dibuat oleh Perdana Menteri pertama kita yang dikasihi kepada rakyat negara ini," kata Zaid yang pada 15 September lalu menghantar surat meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 16 September, Zaid secara rasmi mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Zaid yang bertanggungjawab atas portfolio perundangan dan kehakiman berkata, antara sebab peletakan jawatannya ialah kegagalan beliau memperkenalkan beberapa dasar baru dalam sistem perundangan selain kecewa dengan penggunaan ISA yang pada anggapannya sudah disalah gunakan.

Surat enam halaman itu diedarkan kepada media hari ini.

Surat bertarikh itu menyatakan dengan terperinci sebab dan pendirian pemimpin-pemimpin masa lalu menggubal undang-undang berkenaan.

Zaid yang masih kekal sebagai anggota Dewan Negara menambah, beliau masih mengingati apa yang pernah diperkatakan oleh Abdullah iaitu jika seseorang itu mempunyai kesempatan untuk melaksanakan apa yang baik dan betul untuk negara, maka individu berkenaan mestilah melaksanakan tugasan tersebut.

Sehubungan itu, tegas Zaid, beliau amat menghormati Abdullah kerana pendirian sedemikian.

Zaid ketika mengumumkan peletakkan jawatannya mendakwa menerima banyak tentangan bukan sahaja daripada rakan dalam Kabinet malah daripada anggota Umno.

سلامت هاريراي عيدالـفطـري
معاف ظاهير دان باطين

اخـلاص
AR RISALAH

Tergolong orang fasik

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


KUALA LUMPUR: Golongan muslim yang menunaikan sebahagian syariat Islam tetapi memungkiri sebahagian lagi ketetapan Allah, bukan saja mempunyai iman palsu tetapi tergolong sebagai orang fasik.

Penceramah terkemuka, Mohd Zawawi Yusoh, berkata golongan terbabit ialah mereka mengamalkan ‘syariat tempang’, kerana tetap beribadat walaupun menyulamnya dengan perkara haram.

Katanya, golongan fasik mempunyai akidah tempang kerana mereka mengetahui dan dapat membezakan perkara halal dan haram tetapi mencampuradukkannya akibat mengikut hawa nafsu.

“Perkara haram contohnya minum arak sudah jadi sebahagian daripada diri mereka sehingga mereka tetap meminumnya ketika berbuka sedangkan sebelum itu berpuasa seharian. “Sebenarnya mereka boleh meninggalkan arak kerana buktinya mereka sudah berjaya berpuasa dan mengawal diri daripada makan dan minum tetapi malangnya apabila berbuka, mereka minum arak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangasa Malaysia (UIAM) berkata, puasa golongan sedemikian tidak ada kualiti kerana mereka sudah tewas pada Ramadan walaupun syaitan dan iblis diikat.

“Golongan itu turut memalukan imej Islam kerana ia seolah-olah menunjukkan agama ini membenarkan perkara halal dan haram dicampuradukkan.

“Islam ini bukan sekadar satu amalan saja, ia adalah amalan berhubungan antara satu sama lain. Kalau tercabut satu amalan sudah tidak berguna, contohnya puasa tapi tidak bersolat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, golongan songsang itu yang masih terdetik dalam hatinya untuk berubah masih boleh pulang ke pangkal jalan.

Katanya, masyarakat juga tidak harus membuang terus golongan itu dan melabelkannya sebagai parasit, sebaliknya membimbing mereka supaya dapat menjadi muslim sejati.

Semalam, muka depan Harian Metro melaporkan segelintir muda-mudi di ibu kota sanggup mencemar puasa sepanjang hari dengan menjadikan minuman keras sebagai sajian sampingan ketika berbuka akibat ketagih arak.

Meskipun agak pelik, perbuatan menjijikkan itu menjadi amalan biasa bagi kaki botol terutama di kalangan remaja yang kerap mengunjungi kelab malam dan menghabiskan masa dengan melepak di situ bersama rakan-rakan, termasuk pada Ramadan.

Sekali pandang, cara berpuasa golongan terbabit tidak ada beza dengan umat Islam lain kerana mereka berniat pada malam hari dan berpuasa keesokannya, namun amalan yang membezakan mereka ialah juadah sampingan bersulamkan ‘air setan’.

Hujan lebih 24 jam akibatkan beberapa kawasan di P.Pinang dinaiki air

Bernama


PULAU PINANG - Hujan lebat, yang turun di negeri ini sejak awal pagi semalam, mengakibatkan beberapa kawasan termasuk sekitar bandar dinaiki air setinggi lebih satu meter hari ini.

Antara kawasan yang dinaiki air ialah Balik Pulau, Teluk Bahang, Teluk Kumbar dan Bayan Baru serta Bukit Mertajam.

Beberapa jalan di bandar ini turut dinaiki air antaranya Jalan Perak, Jalan P. Ramlee, Jalan Transfer, Jalan Hutton dan Jalan Patani, manakala Jalan Tun Sardon mengalami tanah runtuh.

Kerajaan negeri turut mengaktifkan jentera bencana alam negeri bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir. Bagaimanapun tiada mangsa banjir yang dipindahkan walaupun rumah mereka dinaiki air.

Anggota polis turut membuat kawalan lalu lintas di jalan-jalan yang dinaiki air berikutan banyak kenderaan yang terperangkap dalam banjir kilat.

Ali Rustam: Chua kritik Melayu untuk dapat sokongan

MALAYSIAKINI


Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, kenyataan bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng bahawa kini tidak lagi wujud keperluan untuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), adalah tidak wajar.

Beliau yang juga ketua menteri Melaka berkata, sebagai calon bagi jawatan presiden MCA dalam pemilihan parti itu Oktober ini, kenyataan Chua itu adalah cara lama untuk meraih sokongan dengan mengkritik orang Melayu.

Dalam satu kenyataan akhbar semalam, Mohd Ali berkata matlamat DEB adalah jelas iaitu untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat untuk semua kaum.

Semua bangsa mendapat faedah daripada DEB, katanya dalam laporan Bernama

Beliau mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Chua sebagai berkata pelaksanaan DEB perlu dikaji dan matlamat penstrukturan semula masyarakat di bawah dasar itu perlu dimansuhkan.

"Kita dah banyak buang masa polemik politik lebih-lebih lagi semasa pemilihan parti.

"Chua mesti mencari 'cara baru' untuk mendapat sokongan dan bukan mengkritik dasar kerajaan yang kononnya menolong bangsa Melayu." kata Mohd Ali.

Beliau berkata Chua sewaktu menjadi menteri kesihatan telah gagal menyelesaikan masalah kekurangan doktor dan doktor pakar di negara ini.

Siapa PM yang lebih baik?

MALAYSIAKINI


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul sebagai pilihan popular untuk menjadi perdana menteri, diikuti oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, demikian menurut hasil tinjauan pendapat oleh Merdeka Center.

Hasil tinjauan tersebut menunjukkan 40 peratus memilih Anwar manakala Najib memperolehi 34 peratus. Manakala satu perempat responden tidak dapat memilih atau yakin dengan kedua-dua calon tersebut.

Dalam soalan berasingan, 39 peratus bersetuju Najib boleh menjadi perdana menteri hyang baik, manakala 44 peratus lagi tidak bersetuju.

Ini dianggap sebagai satu berita baik untuk timbalan perdana menteri itu walaupun ketinggalan di belakang Anwar kerana peratusan penerimaannya sebagai perdana menteri telah meningkat lima peratus berbanding dengan tinjauan pendapat Julai lalu. Manakala peratusan untuk Anwar pula turun tiga peratus.

Ketika dihubungi, pengarah eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffin berkata ini adalah kali pertama mereka membandingkan Anwar dengan Najib.

"Antara sebab kami turut memasukkan soalan itu kali ini ialah kerana tinjauan ini dijalankan di sekitar 16 September. Juga, Anwar telah menonjolkan diri sebagai bakal perdana menteri," kata Ibrahim.

Sebelum ini, penasihat PKR itu telah menetapkan tarikh 16 September untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat dari Barisan Nasional.

Seramai 1,002 responden dipilih untuk tinjauan pendapat tersebut yang diadakan antara 11 hingga 22 September lalu.

Ejen Amerika

Dalam tinjauan itu juga, hanya 15 peratus percaya tuduhan salahlaku seks terhadap Anwar manakala 13 peratus lagi percaya beliau seorang "penjenayah seksual".

Walaupun 21 peratus percaya dengan tuduhan bahawa beliau menjadi "ejen Amerika" tetapi 51 peratus lagi percaya ketua pembangkang itu seorang pemimpin yang "kuat dan berwawasan" serta "seorang pengurus ekonomi yang cekap".

Penyokong Anwar adalah lebih pelbagai kaum, berbanding dengan penyokong Najib yang sebahagian besarnya orang Melayu. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sokongan sebenar orang Melayu kepada kedua-dua pemimpin tersebut.

Sebanyak 17 peratus orang responden Melayu percaya Anwar seorang "penjenayah seks" manakala hanya 8 peratus responden Cina dan 1 peratus responden India berkongsi sentimen tersebut.

Hasilnya adalah sama berhubung tuduhan Anwar seorang "ejen Amerika/Yahudi" dengan 28 peratus Melayu berkata "iya" berbanding dengan hanya 12 peratus (Cina) dan 4 peratus (India).

Apabila ditanya secara khusus sama ada Najib boleh menjadi perdana menteri yang baik - tanpa membandingkan beliau dengan orang lain - responden Melayu 52 peratus, Cina (29) dan India (10 peratus).

Mengenai Abdullah

Hasil tinjauan tersebut juga menunjukkan ranking bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak berubah berbanding dengan tinjauan bagi bulan Julai.

Bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia (21 peratus) menyifatkan keadaan politik yang tidak menentu yang menyelubungi negara sekarang sebagai kebimbangan mereka yang paling besar - meningkat daripada 10 peratus berbanding dengan dua bulan lalu.

Sebanyak 50 peratus berkata mereka masih begitu bimbang dengan isu-isu ekonomi.

Tindakan Umno gantung 3 tahun keterlaluan - Mohd. Zain

MSTAR ONLINE


KOTA BAHARU: Bekas Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail menganggap keputusan Lembaga Disiplin parti untuk menggantungnya sebagai keterlaluan.

"Saya rasakan keputusan Lembaga Disiplin sebagai keterlaluan," kata beliau kepada pemberita selepas tiba dari ibu negara di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra semalam.

Mohd Zain berkata, bagaimanapun pihaknya akan menghantar surat rayuan kepada Majlis Tertinggi Umno termasuk kepada Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Beliau merupakan antara 10 dikenakan hukuman oleh Lembaga Disiplin minggu lalu dan diumumkan di Kuala Lumpur semalam.

Selain Mohd Zin, mereka yang turut digantung bagi Umno Kelantan adalah bekas Ketua Umno Bahagian Tanah Merah Datuk Ismail Hassan; bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang Ghazali Ismail; bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang, Fauzi Omar dan bekas Ketua Wanita Umno Rantau Panjang, Fauziah Che Wok.

Pada sidang media yang sama, Ghazali berkata, beliau kesal kerana sebelum surat rasmi keputusan penggantungan mereka sampai, telah banyak Khidmat Pesanan Ringkas diedarkan kepada anggota parti mengenai penggantungan mereka.

Menurut Ibu Pejabat Umno semalam, Lembaga Disiplin Umno memutuskan seramai 10 ahli parti itu bersalah kerana terbabit dengan rasuah politik dan sabotaj parti.

Seorang daripada yang tertuduh diberi amaran manakala sembilan anggota lain dikenakan hukuman digantung keanggotaan selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan bermula 22 September lalu.

Tertuduh yang terbabit terdiri daripada ahli Umno Bahagian Kota Tinggi, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Senarai ahli diputuskan hukuman:

• A. Malek Daing A. Rahaman (Kota Tinggi) - Perkara 5.1.2, 5.3 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
• Mohamadon Abu Bakar (Kota Tinggi) - Perkara 5.1.2 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
• Musa Ngaman (Kota Tinggi) - Perkara 5.1.2 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
• Muszaide Makmor (Kota Tinggi) - Perkara 5.1.2 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
• Mohammad Taha Madon (Kota Tinggi) - Perkara 5.3 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
• Datuk Mohd Zain Ismail (Rantau Panjang) - Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno
• Ghazali Ismail (Rantau Panjang) - Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno
• Fauzi Omar (Rantau Panjang) - Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno
• Pauziah Che Wook (Rantau Panjang) - Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno
• Datuk Ismail Hassan (Tanah Merah) - Perkara 5.1.2 & 5.5, dan Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno

A. Malek merupakan individu yang mencabar Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi.

Kecuali Mohammad Taha, tertuduh yang lain dikenakan hukuman digantung keahlian selama tiga tahun.

Kes sabotaj parti iaitu melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca dengan Perkara 3 Tataetika Ahli Umno dan rasuah politik pula diputuskan mengikut Perkara 5 Tataetika Ahli Umno.

Ahmad Rithauddeen berkata, keputusan itu adalah hasil daripada persidangan Lembaga Disiplin pada 22 hingga 24 September lalu.

Tahun 2008 merupakan tahun pemilihan parti.

Cawangan-cawangan Umno telah mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan Julai hingga Ogos manakala persidangan perwakilan bahagian akan bermula 9 Oktober ini.

Berdasarkan siasatan atau pendengaran pertuduhan, statistik aduan yang diterima secara keseluruhannya adalah sebanyak 475.

Berikut adalah butiran statistik aduan diterima dan diambil tindakan
Jumlah keseluruhan aduan: (475)
Jumlah aduan telah disiasat (Panel Penyiasatan): 115
Jumlah aduan belum dimulakan siasatan: (49)
Jumlah aduan perlu dokumen tambahan (Borang A): (38)
Jumlah aduan kategori tiada tindakan lanjut (NFA): (85)
Jumlah aduan bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin: (74)
Jumlah aduan baru: (110)

Disimpan untuk perhatian: (4)
Jumlah aduan telah disiasat (Panel Penyiasatan) dan didapati tiada kes prima facie: (22)
Jumlah kes telah didengar (tribunal Lembaga Disiplin): (10)

Kapal Bunga Melati 2 dibebaskan

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Kapal tangki kedua Malaysian International Shipping Corporation (MISC), yang ditawan di Teluk Aden oleh lanun Somalia, telah dibebaskan.

Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan, Kol Fadzlette Othman Merican memberitahu Bernama malam tadi, MT Bunga Melati 2 dibebaskan pada 4.14 pagi semalam dan kemudian belayar menuju Djibouti, Timur Afrika.

Kesemua anak kapalnya selamat, kecuali seorang kelasi warga Filipina yang mati akibat terkena peluru yang tersasar ketika kapal itu dirampas lanun pada 19 Ogos.

Beliau berkata wang tebusan berjumlah AS$2 juta bagi setiap kapal telah dibayar oleh MISC dan keduadua kapal itu akan melakukan pertukaran anak kapal di Djibouti sebelum berlepas ke Malaysia pada 4 Oktober.

"Terdapat beberapa kapal yang telah membayar wang tebusan tetapi masih belum dibebaskan... mereka (lanun) memberi keutamaan kepada kita," katanya.

Semalam, lanun membebaskan kapal tangki MT Bunga Melati 5 dan keduadua kapal itu dipercayai diiring oleh kapal perang Malaysia, KD Lekiu dan KD Sri Inderapura 2 ke Djibouti.

Selepas kapal tangki pertama itu dibebaskan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Pertahanan, berkata rundingan masih dijalankan untuk pembebasan MT Bunga Melati 2.

MT Bunga Melati 2, yang mempunyai 39 anak kapal 29 rakyat Malaysia manakala bakinya warga Filipina dirampas di teluk itu pada 19 Ogos.

Sepuluh hari kemudian, MT Bunga Melati 5, dengan anak kapalnya terdiri daripada 36 rakyat Malaysia dan lima warga Filipina, mengalami nasib serupa ketika belayar dari Yanbu, Arab Saudi menuju Singapura.

Malaysia menghantar KD Lekiu, KD Inderapura dan KD Pahang untuk mengiringi kapal MISC dalam pelayarannya di perairan yang berisiko itu ekoran dua insiden rampasan kapal berkenaan.

Isnin, 29 September 2008

UPDATE: KUOTA PENCALONAN AKAN DIMANSUH, PERWAKILAN BAHAGIAN AKAN DITUNDA....

Ruhanie Ahmad


Maklumat yang baru saya terima mengesahkan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memang akan mencadangkan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO bagi menundakan persidangan perwakilan UMNO bahagian daripada 9 Oktober 2008 kepada Februari 2009.

Abdullah juga dijangka merujuk kepada MT UMNO untuk mengadakan satu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas bagi memansuhkan kuota yang dikenakan kepada sesiapa yang berhasrat bertanding jawatan tertinggi dalam parti di peringkat bahagian dan pusat, termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan ahli MT.

Usaha ini membuktikan bahawa Abdullah akan meneruskan niatnya mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Tetapi, oleh kerana tidak yakin memperolehi kuota pencalonan yang diperlukan, iaitu 58 pencalonan daripada bahagian bagi jawatan Presiden, Abdullah pula berusaha untuk memansuhkan kuota itu menerusi PAU Khas.

Pembatalan kuota ini, jika dipersetujui oleh PAU Khas, akan menimbulkan anamoli kepada warga UMNO yang bertanding jawatan di peringkat bahagian.

Oleh kerana persidangan cawangan UMNO di seluruh negara sudah berakhir baru-baru ini, dan mereka yang akan bertanding di peringkat bahagian sudah pun diketahui, maka adakah MT UMNO juga akan memutuskan supaya pertandingan di peringkat bahagian tidak akan terikat dengan sistem kuota?

Bagaimanapun, tafsirlah sendiri apakah erti dan implikasi kepada semua tindakan ini. Dan, bayangkanlah sendiri bagaimana bercelarunya keadaan berikutan perkembangan ini.

Akhir sekali, mungkinkah MT UMNO akan akur kepada saranan Abdullah untuk menundakan persidangan perwakilan bahagian kepada Februari 2009 di samping mengadakan PAU Khas untuk memansuhkan kuota berkenaan? Kita tunggu dan lihat apakah kesudahannya tidak lama lagi!

Rasuah, sabotaj parti: 9 ahli Umno digantung

MALAYSIAKINI


Sembilan ahli Umno telah digantung keahlian kerana didapati bersalah terbabit dalam rasuah politik dan sabotaj parti.

Mereka digantung keahlian selama tiga tahun atau satu penggal bermula Isnin lalu.

Manakala seorang lagi daripada yang tertuduh, diberi amaran, demikian menurut laporan Bernama.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail hari ini.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata keputusan itu adalah hasil persidangan Lembaga Disiplin pada 22 hingga 24 September lalu.

Ahmad Rithauddeen berkata tertuduh yang terbabit terdiri daripada Umno Bahagian Kota Tinggi, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Berdasarkan siasatan atau pendengaran pertuduhan, statistik aduan yang diterima secara keseluruhannya adalah sebanyak 475.

Risalah palsu: 200 tunggu wang raya di Wisma Kedah

MALAYSIAKINI


Lebih 200 orang berkumpul di hadapan Wisma Darul Aman di Alor Star hari ini selepas menerima risalah kononnya Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan menyampaikan duit raya RM50 seorang.

Kebanyakan yang datang itu berkata mereka menerima risalah yang diletakkan di beberapa masjid semasa solat terawih tiga hari lalu.

Yahya Chin, 48, dari Kampung Kubang Rotan berkata, dia membaca risalah di Masjid Derga yang menyebut duit raya akan disampaikan oleh Menteri Besar dari jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari hari ini.

Bagaimanapun, menurut Bernama, apabila beliau datang ke bangunan pejabat kerajaan itu pagi ini, pengawal keselamatan di situ memberitahunya bahawa pejabat itu tidak pernah mengeluarkan risalah itu.

"Saya mai jugak kut-kut (mungkin) ada rezeki boleh dapat duit raya tapi bila sampai sini baru saya tau benda ni bohong," katanya.

Warga emas Awang Harun, 84, dari Pumpong di sini, pula berkata dia datang ke setelah diberitahu oleh seorang rakannya.

"Kawan saya ajak saya mai (datang) sini hari ni, jadi saya pun mai la," katanya.

Awang berkata dia tidak menyalahkan pihak menteri besar kerana perkara itu sudah pasti dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Azizan ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman berkata kerajaan negeri tetap memberikan sumbangan RM20 kepada mereka yang telah berkumpul sejak awal pagi tadi.

"Kesian pula, jadi kita bagi la sedikit wang kepada mereka," katanya.

Azizan turut menjemput orang ramai untuk menghadiri majlis hari terbuka sempena sambutan Hari Raya di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini pada 4 Oktober ini.

Puasa songsang

Oleh Erywan Norshal


KUALA LUMPUR: Akibat ketagih arak, segelintir muda mudi di ibu kota sanggup mencemar puasa sepanjang hari dengan menjadikan minuman keras sebagai sajian sampingan ketika berbuka.

Meskipun agak pelik, perbuatan menjijikkan itu menjadi amalan biasa bagi kaki botol terutama di kalangan remaja yang kerap mengunjungi kelab malam dan menghabiskan masa dengan melepak di situ bersama rakan-rakan, termasuk pada Ramadan.

Sekali pandang, cara berpuasa golongan terbabit tidak ada beza dengan umat Islam lain kerana mereka berniat pada malam hari dan berpuasa keesokannya, namun amalan yang membezakan mereka ialah juadah sampingan bersulamkan ‘air setan’.

Difahamkan, individu yang terjebak dengan budaya berpuasa secara songsang itu sanggup berhabisan duit sehingga ratusan ringgit semata-mata memenuhi keinginan mereka untuk menikmati juadah arak.

Malah, tidak menjadi masalah kepada mereka jika tidak menikmati hidangan makanan yang menyelerakan ketika berbuka puasa, asalkan dapat memenuhi selera luar biasa dengan meneguk arak.

Difahamkan, golongan terbabit sanggup berlapar tanpa menjamah makanan dan minuman untuk berpuasa sepanjang hari, sebelum bergiat dengan gejala tidak bermoral itu pada waktu malam.

Sebelum mengunjungi pusat hiburan, mereka turut membeli minuman keras di kedai atau pasar raya untuk dijadikan sebahagian ‘juadah’ berbuka bagi mengelakkan perbuatan mereka diketahui.

Amalan songsang yang menyalahi hukum agama itu didedahkan seorang wanita hanya ingin dikenali sebagai Azreen, 25, yang mengakui dia bersama rakan kerap meneguk minuman keras itu ketika berbuka puasa di rumah.

Menurutnya, dia menunaikan ibadat puasa seperti umat Islam lain pada siang, tetapi ketika berbuka, dengan tidak semena-mena dia terasa ‘haus’ untuk meneguk minuman keras.

“Di bulan ini, saya dan rakan tidak makan dan minum pada siang hari, sebaliknya berpuasa seperti biasa dengan mengunjungi pasar Ramadan berhampiran rumah untuk membeli makanan sebelum singgah di kedai atau pasar raya untuk membeli arak.

“Saya tidak mengambil air itu (arak) tiap-tiap malam. Selalunya saya minum bersama rakan-rakan di rumah ketika atau selepas berbuka dan kemudian meneruskannya di kelab malam.

“Minum pun bukan kerana nak mabuk, tapi cuma suka-suka...mungkin sudah terbiasa minum bersama kawan-kawan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Azreen berkata, dia dan rakan sanggup mengikat perut mengumpul sebahagian wang gaji bagi memastikan hasrat membeli minuman keras itu tercapai.

Dia mendakwa ‘rindu’ dan terbayang-bayang jika tidak meneguk minuman keras itu kerana sebelum ini ia sudah menjadi kebiasaan ketika mengunjungi kelab malam atau melepak bersama rakan-rakan di rumah.

Wanita itu berkata, dia terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu selepas merantau ke ibu kota dan terpengaruh dengan rakan-rakan ‘kaki’ kelab malam.

“Sudah dua tahun saya terbabit dengan kegiatan tidak bermoral ini selepas berjinak-jinak menjejakkan kaki di kelab malam.

“Pada mulanya, saya takut untuk mencuba perbuatan terkutuk itu, tetapi tewas selepas melihat keseronokan rakan-rakan yang berhibur selepas meneguk air berkenaan tanpa rasa berdosa,” katanya.

Walaupun sudah cuba menjauhi perbuatan tergolong dosa besar itu dengan menghadiri beberapa sesi kaunseling, Azreen berkata dia masih gagal meninggalkan ketagihan minuman keras itu.

Dia mengakui perbuatannya itu berdosa dan berharap khidmat kaunseling dapat memulihkannya untuk kembali ke jalan yang benar.

Kerajaan ISA Kerajaan Bacul & Tidak Islamik - Forum Muslim

SUARA KEADILAN


Muslim Professional Forum (MPF), sebuah permuafakatan golongan pakar, menakrifkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai melanggar rukun Islam dan penggunaannya oleh kerajaan sebagai tidak berperi-kemanusiaan.

MPF yang beribu-pejabat di Kuala Lumpur menegaskan pendirian mereka dalam satu kenyataan media 25 September lalu. Ia ditandatangani oleh lima pelopor gerakan tersebut: Dr Farouk Musa, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Jeffrey Hassan, Dr Musa Nordin dan Dr Mazeni Alwi.

Sesungguhnya kenyataan MPF ini satu lagi tumbukan kepada kewibawaan kerajaan, apabila badan itu dengan jelas menyatakannya bahawa Islam menolak sebagai bentuk penahanan tanpa perbicaraan untuk apa-sahaja sebab dan jenayah sekalipun.

“Menggunakan Islam sebagai “alat” untuk mengizinkan penahanan tanpa bicara merupakan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip-prinsip asas perundangan Islam yang bersandarkan “adl” (keadilan) dan “ihsan” (belas kasihan),” tegas MPF.

Jelas mereka, penggunaan ISA hanyalah untuk rejim yang bacul, zalim dan hanya fokus kepada pemusatan kuasa disebalik ilusi ‘keselamatan negara’.

“Tindakan bacul dengan menggunakan ISA setiap kali adanya pandangan yang berbeza yang menentang kerajaan yang zalim serta ulamanya yang mementingkan kuasa bukanlah merupakan petanda yang baik.Tindakan sedemikian membuatkan kita terfikir apakah dari segi realitinya ia bertujuan semata-mata untuk mengekalkan kuasa hegemoni pihak pemerintah; dan kita sebenarnya tanpa disedari sedang menuju ke arah pembentukan sebuah “negara polis”.”

Bebaskan semua tahanan ISA, gesa GMI.

Oleh: Rusnizam Mahat


Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) mengulangi gesaan supaya kerajaan memansuhkan akta zalim tersebut serta membebaskan semua tahanan tanpa sebarang syarat dan mendakwa ke semua mereka di mahkamah terbuka bersempena musim perayaan ini.

Presidennya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata demikian ketika GMI mengadakan demostrasi aman di Masjid Jamek, Jalan masjid India, Kuala Lumpur pada 25 September lalu.

” Bagi tahanan ISA yang telah ditahan tanpa perbicaraan di kamunting, hari raya ini akan menjadi syawal yang ke lima atau ke enam mereka ditahan di bawah ISA tanpa sebarang hak dan perbicaraan terbuka, tidak dibenar mempertahankan diri dan tidak mengetahui bila akan dibebaskan” ujar beliau ketika membacakan kenyataan GMI.

Beliau berkata, penggunaan ISA menjadi bertambah kejam apabila keluarga tahanan terpaksa menyambut Ramadhan dan Aidilfitri tanpa suami, ayah atau anak-anak mereka yang ditahan di bawah akta berkenaan sehingga ada yang mencecah tujuh tahun lamanya.

” Ditahan tanpa bicara walaupun untuk 18 jam (seperti kes wartawan Sin Chew Daily) atau 7 hari (seperti kes Teresa Kok) adalah satu pencabulan terhadap hak asasi manusia dan keadilan” katanya.

” Bagaimana pula tentang nama-nama yang ditahan tetapi tidak dikenali seperti Zaini Zakaria, Francis Indanan, Mohd Khider Kadran, Lai Kin Cj\hoy, Kasem Dayama, Mavalavan Muthuliramalingam dan Idris lanam, sekadar menyebut beberapa nama.” ujar beliau lagi.

Syed Ibrahim mempersoalkan berapa lamakah kerajaan akan mempertahankan ISA dan menyebabkan semua tahanan yang kini mencecah angka 66 orang akan terus menderita di bawah akta tersebut tanpa sebarang perbicaraan dan bukti mereka terlibat dengan sebarang kegiatan yang boleh menimbulkan ancaman kepada negara.

” GMI percaya tidak ada seorang pun tanpa menghiraukan batasan kewarganegaraan, agama, bangsa, politik, ideologi yang menjadi mangsa undang-undang rimba seperti mana yang dilakukan ISA.” tegas beliau.

Menurutnya, amat malang bagi kerajaan dan Polis yang masih menggunakan kuasa secara membuta tuli dan menyalahgunakan ISA untuk menangkap rakyat yang tidak bersalah di bulan ramadhan yang penuh dengan keberkatan.

Katanya, Malaysia adalah di antara beberapa negara di mana kerajaan masih mengekalkan undang-undang yang memenjarakan lawan politik mereka dan kenyataan itu dapat dibuktikan dengan penahanan yang berasaskan kepada syak yang tidak dapat dibuktikan.

” Kerajaan apartheid di Afrika Selatan juga telah memansuhkan undang-udang yang menyerupai ISA sejak berapa lama dulu. Berbeza di Malaysia tidak ada sebarang tanda undang-undang ini akan dimansuhkan. Yang nyata, ISA semakin disalahguna oleh kerajaan” jelasnya.

Syed Ibrahim dalam pada itu berkata GMI akan memberi bantuan berupa pelbagai sumbangan dan keperluan kepada ahli keluarga tahanan ISA disamping mengadakan trip secara percuma ke kem Tahanan Kamunting pada AIdilfitri ini bagi semua ahli keluarga tahanan terbabit.

Demo yang bermula pada pukul 12 tengah hari itu turut dihadiri oleh oleh isteri-isteri tahanan ISA, wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Suaram, Majlis Peguam. Polis turut merampas sepanduk dalam demontrasi yang diadakan kira-kira setengah jam itu namun tiada tangkapan yang dilakukan.

KeADILan kutuk insiden baling bom petrol di rumah Teresa

SUARA KEADILAN


KUALA LUMPUR - KETUA Penerangan KeADILan mengutuk tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menimbulkan kekecohan dan menggugat keselamatan individu, serta negara.

Katanya ketika mengulas mengenai penemuan bom petrol di rumah Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, tindakan berkenaan adalah usaha terdesak mana-mana untuk menimbulkan kekacauan.

Hari ini kediaman keluarga Teresa Kok yang didiami oleh ibu, bapa dan adik Teresa di Jalan Ipoh dilontarkan bom petrol kira-kira jam 2.55 pagi tadi. Selain itu turut dilontarkan ialah sehelai kertas yang memaki hamun Teresa dan trut menggugut untuk membakar keluarga beliau.

Baru-baru ini, beliau ditangkap di bawah ISA pada 12 September kerana didakwa membangkitkan isu-isu mengenai agama Islam, dan dibebaskan seminggu kemudiannya

Menurut Teresa ketika sidang media di kediaman keluarganya pagi tadi, tiada seorang ahli keluarga pun cedera dalam kejadian itu kerana bom petrol itu tidak meletup.

Tian Chua menambah, kawasan kejiranan kediaman Teresa turut akan mengutuk tindakan ini dimana ianya mampu menggugat kawasan kejiranan mereka dimana penduduknya adalah dikalangan pelbagai bangsa.

“Ini adalah kejuranan yang aman tidak ada permusuhan diantara penduduk, saya percaya mereka turut mengutuk tindakan ini,”katanya yang juga Ahli Parlimen kawasan terbabit.

Katanya insiden ini adalah perkara serius, dan beliau merayu agar seluruh rakyat mengelakan diri dari propaganda yang bersifat perkauman

“Saya merayu kepada semua, sesiapa sahaja, wartawan, pegawai kerajaan dan ahli Barisan Nasional yang masih cintakan negara untuk bebaskan diri dari propaganda ini,” katanya.

Amaran PAS: Tolak kerajaan pusat Pakatan jika majoriti bukan Islam

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Selepas tarikh 16 September berlalu tanpa kejutan, PAS pula mengulangi pendiriannya tidak akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat jika kerajaan baru persekutuan yang dicita-citakan, majoritinya dikuasai oleh wakil rakyat bukan Islam kelak.

Pendirian itu dinyatakan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ceramah Isu-isu Semasa di Dungun, Terengganu minggu lalu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang lebih mengharapkan wakil rakyat Umno menyertai PAS jika mahu membina kekuatan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Dipetik Harakah menerusi edisi terbaru bertarikh 29 September (hari ini), Abdul Hadi berkata, apabila jumlah wakil rakyat bukan Islam melebihi kerusi anggota Dewan Rakyat beragama Islam, maka PAS akan membuat keputusan - sedia menarik diri daripada kerajaan Pakatan Rakyat.

Kata beliau, PAS telah meletakkan syarat agar kerajaan Pakatan Rakyat itu dikuasai oleh wakil-wakil Islam Melayu.

Jika Islam tidak majoriti, bekas Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkata, pembentukan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan disertai oleh PAS.

"PAS akan tarik diri terang-terang jika tidak mendapat majoriti Islam. Itu syarat pertama," kata beliau.

Susulan pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu, Barisan Nasional (BN) mempunyai 140 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang pula 82 anggota.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS masing-masing mempunyai 31, 28 dan 22 anggota Dewan Rakyat.

Salah satu parti komponen BN, Parti Maju Sabah (Sapp) telah keluar dan kini bertindak sebagai Bebas di Parlimen. Seorang lagi anggota Dewan Rakyat juga merupakan wakil Bebas.

Idea pembentukan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Rakyat telah diutarakan oleh pembangkang pada 1 April lalu

Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan 16 September yang lalu bagi mencapai sasaran tersebut.

Bagaimanapun tiada perkembangan menjelang 16 September, sebaliknya Pakatan Rakyat menerusi Anwar telah meminta agar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan pertemuan dengan pembangkang bagi membincangkan peralihan kerajaan pusat secara aman

Surat pertemuan itu ditandatangani Anwar, Abdul Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kemudian Anwar meminta Abdullah memanggil sidang khas Parlimen pada 23 September.

Kedua-dua permintaan itu ditolak Abdullah dan tarikh baru Pakatan Rakyat membentuk kerajaan ialah 1 Oktober.

Syarat kedua yang ditentukan Abdul Hadi ialah kerajaan yang bakal dibentuk itu mesti sebuah kerajaan yang kukuh, bermakna terdiri daripada wakil rakyat yang konsisten (istiqamah).

"Kita (PAS) bersedia untuk mengubah kerajaan tetapi dengan syarat mestilah kerajaan itu lebih baik daripada yang sedia ada (BN).

"Kita tidak mahu berubah kepada yang lebih buruh tetap mesti lebih baik," kata Abdul Hadi.

Pada minggu lalu, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi di Kota Bharu bagi membincangkan perkembangan terbaru mengenai sasaran tersebut.

Difahamkan, dalam pertemuan itu Anwar sekali lagi memberi jaminan tidak akan meminggirkan PAS apabila Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru persekutuan.

Abdullah dan Najib Anggap Kerusi Presiden Umno Harta Pusaka Mereka

Abdullah dan Najib Anggap Kerusi Presiden Umno Harta Pusaka Mereka
Suara KeADILan


Pemimpin Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata Presiden Umno Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden Umno Najib Razak menganggap kerusi Presiden Umno harta pusaka yang boleh diwariskan sesuka-hati mereka.

Beliau berkata demikian di suatu sidang akhbar yang diadakan di kediamannya di Jalan Langgar Golf tengahari tadi. Sidang akhbar tersebut dihadiri oleh 50 media asing dan tempatan.

“Peralihan kuasa ini, seolah-olah jawatan presiden itu dianggap satu harta pusaka yang boleh diwariskan kepada sesiapa sahaja, mengikut kehendak presiden parti, tanpa menghirau hak asasi di peringkat akar umbi,” kata Razaleigh.

Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat bimbang dengan nasib pengundi-pengundi akar umbi Umno yang dipergunakan kepimpinan tertinggi Umno demi kepentingan kuasa semata-mata.

Kenyataan Razaleigh ini mengesahkan pandangan Anwar Ibrahim, bahkan Razaleigh turut akui bahawa Umno berada dalam keadaan terburuk dalam sejarah parti itu, dan menegaskan perpecahan dalaman parti kali ini lebih teruk dari yang pernah berlaku sebelum ini.

Jelas beliau, perpecahan ini didorong oleh pelan peralihan kuasa yang dicadangkan Abdullah, yang menurut Razaleigh tidak menurut perlembagaan parti, dan hanya dibuat untuk menjaga kepentingan individu-individu tertentu.

Razaleigh menegaskan beliau sama sekali tidak bersetuju dengan pelan peralihan kuasa dan mahu sebarang pelan peralihan ditentukan menurut garis proses pemilihan dan perlembagaan parti.

Pemilihan parti diadakan tiga tahun sekali sepertimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

Gerakan pertimbang keluar BN

Malaysiakini


Gerakan menimbang untuk meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai Pakatan Rakyat, kata pemangku Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini.

Dua lagi pilihan dalam pertimbangan parti itu termasuklah kekal bersama BN atau keluar dan menjadi sebuah parti bebas tanpa sebarang pakatan, katanya seperti dilaporkan laman web The Star.

Tambahnya, kemungkinan meninggalkan BN dan menyertai Pakatan tergantung pada situasi politik saat ini.

"Kita tidak menutup sebarang kemungkinan," Koh dipetik sebagai berkata selepas merasmikan konvensyen tahunan Gerakan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sentimen 60 peratus ahli-ahli mahukan Gerakan meninggalkan BN, bagaimanapun keputusan itu harus mengambil kira pelbagai faktor dan bukan sentimen semata-mata.

Mengulas 20 anggota Gerakan Wilayah Persekutuan termasuk bekas ketua penerangannya Gan Kok Keng dan bekas ketua bahagian Setiawangsa Li Tiam Chai yang menyertai PKR, Koh berkata beliau terperanjat dengan keputusan mendadak itu.

Minggu lepas, tambah tambahnya, Li masih tidak menunjukkan sebarang tanda tidak senang dengan Gerakan.

Di sidang media yang sama, Koh menawarkan diri untuk jawatan presiden apabila parti itu mengadakan pemilihan kebangsaan bulan depan tetapi akan berkhidmat tidak lebih dari dua penggal sekiranya dipilih, lapor Bernama.

"Saya menetapkan tempoh masa untuk diri saya, iaitu saya berkemungkinan tidak akan melewati dua penggal, mungkin lebih pendek," katanya.

Baru-baru ini Parti Maju Sabah (SAPP) membuat keputusan keluar BN selepas beberapa bulan berusaha mengusulkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri, yang juga pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Paku, besi tajam perangkap jalan

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN


KUALA TERENGGANU - Tanpa memikirkan nasib ribuan pengguna kenderaan yang pulang berhari raya, ada pihak tergamak meletakkan pelbagai jenis 'perangkap' di laluan-laluan utama negeri ini.

Antara perangkap tersebut ialah span berpaku, besi tajam, minyak petrol serta pasir yang sengaja ditabur di jalan raya sama ada untuk membocorkan tayar atau membuat kenderaan terbabas.

Lokasi yang kerap menjadi sasaran ialah laluan Kuala Terengganu-Kuantan, Jerangau-Jabor, jalan pantai Kuala Terengganu-Kota Bharu dan jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu melalui Bandar Permaisuri.

Kewujudan perangkap tersebut didedahkan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Terengganu, Farrell Charles Rasu yang berkata, kegiatan jahat itu berleluasa sejak awal Ramadan dan dijangka berterusan selepas cuti Aidilfitri ini.

Ujarnya, pihaknya mula mengesan taktik berkenaan selepas beberapa laporan diterima mengenai kebocoran tayar kenderaan dan kemalangan kerap berlaku di lokasi tertentu.

"Biasanya perangkap-perangkap ini diletakkan di kawasan selekoh dan laluan sunyi.
Pemandu kereta atau penunggang motosikal yang tidak perasan dengan kehadiran objek itu akan melanggarnya.

"Kita dapati span berpaku sepanjang tiga inci dan besi tajam kadangkala hanya membocorkan tayar, tetapi tidak melekat pada tayar. Ia akan terus berada di atas jalan dan membocorkan tayar kenderaan lain pula selepas itu.

"Susah untuk mengesan lokasi spesifik di mana perangkap akan diletakkan kerana pihak terbabit boleh meletaknya di mana-mana jalan yang dilalui banyak kenderaan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Ditanya pihak yang bertanggungjawab memasang perangkap tersebut, Farrell percaya ia angkara pemandu trak tunda dan pemilik bengkel tayar yang mahu meraih untung daripada kesusahan pengguna jalan raya.

"Beberapa mangsa mendakwa sebaik kereta mereka bocor dan terbabas, pihak terbabit datang secara tiba-tiba menawarkan bantuan walaupun tidak dihubungi," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan penyamun turut menggunakan taktik serupa bagi menghentikan kereta mangsa untuk disamun.

Sementara itu, tinjauan wartawan Kosmo! bersama Farrell mendapati, perangkap seumpama itu bukan sahaja diletakkan di lokasi sunyi, malah sebiji span berpaku ditemui berdekatan simpang empat di Losong di sini.

Farrel berkata, beliau percaya banyak kemalangan berlaku disebabkan perangkap-perangkap tersebut, tetapi mangsa tidak menyedari perbuatan khianat itu adalah punca sebenar kemalangan.

Katanya, sepanjang cuti hari raya nanti, para pemandu dijangka semakin sukar mengesan perangkap-perangkap tersebut memandangkan jalan raya dipenuhi dengan kenderaan.

"Macam span berpaku ini, kalau di atas jalan paku-pakunya tak kelihatan, tetapi tanpa kita sedar di dalam span ada berpuluh-puluh paku tajam," ujarnya.

Tambang asas teksi mungkin naik RM1

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR


KUALA LUMPUR - Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) kini pada peringkat akhir kajian menaikkan tambang asas teksi daripada RM2 kepada RM3 untuk dua kilometer pertama dengan keputusan mengenainya akan diumumkan tidak lama lagi.

Tindakan tersebut bertujuan untuk berlaku adil kepada sistem pengangkutan awam negara selepas perkhidmatan bas menerima surcaj 30 peratus baru-baru ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar.

Katanya, LPKP juga turut menimbang menaikkan tambang bagi semua pengangkutan awam lain tetapi menegaskan keputusan berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kenaikan harga bahan api baru-baru ini.

"Saya tidak nafikan, semua kadar tambang bagi pengangkutan awam mungkin akan naik lagi, bagaimanapun perbincangan masih berjalan dan sebarang keputusan berkaitan akan diumumkan tidak lama lagi.

"Kerajaan sudah menimbang kesannya terhadap kedua-dua belah pihak, iaitu pengusaha bas dan pengguna kerana saya tidak mahu pengusaha bas mengalami kerugian dan pada masa sama saya juga tidak mahu pengguna merasa tertekan," katanya ketika ditemui di hentian bas sementara di Bukit Jalil, malam kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Noh memberitahu, tindakan menaikkan tambang pengangkutan awam adalah sebagai satu langkah memerangi kegiatan ulat tiket yang wujud akibat keputusan tidak menaikkan tambang.

"Apabila kerajaan memberi surcaj sebanyak 30 peratus, hasilnya pengusaha bas mula menyediakan bas tambahan dan ini berita baik untuk penumpang terutamanya pada musim perayaan," katanya.

Murid nyaris buta akibat mercun

Oleh SHARIZA ABDULLAH


STAR – Seorang kanak- kanak berusia 11 tahun terpaksa melupakan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri apabila kedua-dua matanya cedera ketika bermain mercun bola di Kampung Hadapan Istana Anak Bukit, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam berhampiran rumahnya itu, mangsa, Muhd. Nor Amzar Nordin mengalami kecederaan serius di mata kanan selain tidak dapat membuka mata kiri.

Murid Sekolah Kebangsaan Alor Merah, di sini itu juga melecur kira-kira 40 peratus bahagian muka akibat disambar api yang menyala ketika dia memasang mercun bola tersebut.

Muhd. Nor Amzar ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini berkata, kejadian berlaku ketika dia bermain mercun bersama beberapa rakan dan saudaranya selepas selesai berbuka puasa bersama keluarga masing-masing.

Dia dikatakan mengambil kesempatan untuk bermain mercun kerana pada masa itu bapanya, Nordin Hamid, 45, tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Katanya, dia cuba memasang mercun bola tersebut dengan meleraikan bahan letupan berkenaan kepada dua bahagian dan menyalakan sumbunya.

“Ketika itu saya sedang mencangkung, pada mulanya ia tidak menyala dan saya mengalihkan muka ke belakang seketika tetapi sebaik sahaja menoleh semula tiba- tiba mercun menyala dan terkena muka.

“Dalam keadaan kesakitan dan penglibatan yang kabur, saya meluru ke rumah bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Muhd. Nor Azmar kemudiannya dikejarkan ke HSB sebelum ditahan di wad hospital itu untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Badan Perhubungan UMNO Kedah diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berada di HSB untuk menyampaikan sumbangan raya kepada pesakit turut melawat Muhd. Nor Amzar iaitu mangsa mercun kedua dilaporkan di Kedah pada tahun ini.

Pelan strategik lonjak kecemerlangan IPT

Oleh Syuhada Choo Abdullah


PUTRAJAYA: Sebuah universiti baru berstatus Apex akan dibina dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi bagi melonjakkan kecemerlangan pengajian tinggi negara ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pejabat Pengurusan Program (PMO) Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata cadangan membina universiti itu adalah projek trek ketiga Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

"Menubuhkan universiti baru berstatus Apex bagi membentuk kecemerlangan dari peringkat awal lebih mudah berbanding melaksanakan perubahan di universiti sedia ada.

"Bagaimanapun, rancangan ini tertakluk kepada kedudukan kewangan kerana pembinaan universiti baru berstatus Apex memerlukan perbelanjaan tinggi," katanya kepada Berita Harian.

Awal bulan ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengumumkan pemilihan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Universiti Apex pertama, mengatasi beberapa universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM).

Universiti Apex akan diberi autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepemimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian.

Sahol Hamid berkata, pemilihan USM untuk merintis program itu adalah projek trek pertama PSPTN.

Beliau berkata, kementerian akan meneliti perkembangan USM dan jika ia menunjukkan kemajuan baik, kemungkinan besar satu lagi proses penilaian dan pemilihan universiti lain untuk memasuki program itu akan diadakan dalam tempoh setahun dua lagi.

Katanya, UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang disenarai pendek dalam pemilihan sebelum ini, bagaimanapun tidak akan dipilih secara automatik sebaliknya perlu bersaing semula.

Beliau berkata, persaingan akan terbuka kepada permohonan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang mungkin sudah melakukan penambahbaikan serta mencatat peningkatan kemajuan.

"Namun sebelum itu, kemungkinan besar kita akan melaksanakan dulu projek trek kedua PSPTN, iaitu program Apex khusus untuk pusat kecemerlangan di universiti yang tertumpu kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan saja. Polisinya berbeza dengan kemasukan keseluruhan sebuah universiti dalam program Apex.

"Insya-Allah, proses trek kedua ini akan bermula pada Disember depan, termasuk membuka permohonan dan keputusan pemilihan pusat kecemerlangan akan ditentukan menjelang Jun tahun depan," katanya.

Ahad, 28 September 2008

Jangan tahan keluarga Teresa di bawah ISA

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar merayu kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar agar tidak menahan keluarga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok untuk "menjamin keselamatan" mereka.

"Saya merayu kerajaan khususnya Syed Hamid agar tidak menahan keluarga Teresa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) walaupun rumah mereka diserang dengan molotov cocktail .

"Kita bimbang perkara itu berulang kerana sebelum ini Menteri Dalam Negeri pernah memberitahu bahawa penahanan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng adalah sebahagian daripada tindakan segera polis bagi menjamin keselamatan wartawan itu selepas beliau menerima panggilan ugutan," kata Mahfuz.

Rumah ibu bapa Ahli Parlimen Seputeh itu dilontar dengan botol kaca mengandungi petrol dan paku dipercayai molotov cocktail dalam kejadian di Taman Rainbow, Jalan Ipoh di sini awal pagi semalam.

Sebotol lagi yang mengandungi bahan sama hanya diletakkan di atas batu di luar rumah berserta nota ugutan.

Bagaimanapun dalam kejadian pada pukul 2.55 pagi itu tiada kecederaan dilaporkan berlaku kerana botol yang dilemparkan tidak meletup.

"Kalau Tan yang menerima panggilan ugutan telah di tahan di bawah ISA, serangan molotov cocktail yang dialami keluarga Teresa tentulah lebih serius. Sebab itulah saya amat bimbang mereka ditahan ISA.

"Saya benar-benar merayu Syed Hamid supaya tidak mengambil sebarang tindakan di bawah ISA walaupun untuk menjamin keselamatan keluarga Teresa," kata Mahfuz.

Ketika menjelaskan penahanan Tan di bawah ISA, Syed Hamid menyatakan risikan polis mendapati nyawa wartawan wanita akhbar berbahasa Cina itu terancam selepas beliau membuat laporan berita yang memetik kenyataan kontroversi bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail yang berbaur perkauman pada satu kempen sempena pilihan raya kecil Permatang Pauh bulan lalu.

“ Beliau adalah orang pertama yang menyiarkan laporan berhubung kenyataan (bekas) ketua Umno Bahagian Bukit Bendera (Datuk) Ahmad Ismail yang didakwa berbaur perkauman, maka kami perlu menangani isu ini dengan sebaik-baiknya.

“ Kami tidak mahu apa-apa berlaku terhadap wartawan ini apabila terdapat ancaman terhadap nyawanya,” kata Menteri Dalam Negeri._

Koh hanya mahu 2 penggal jika dipilih Presiden Gerakan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menawarkan diri untuk jawatan Presiden apabila parti itu mengadakan pemilihan kebangsaan bulan depan tetapi akan berkhidmat tidak lebih dari dua penggal sekiranya dipilih.

"Saya menetapkan tempoh masa untuk diri saya iaitu saya berkemungkinan tidak akan melewati dua penggal, mungkin lebih pendek," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Gerakan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Koh berkata, beliau menetapkan tempoh itu kerana mahu generasi muda supaya mengambil alih kepimpinan secepat mungkin dan meneruskan proses komitmen politik demi rakyat Malaysia.

"Tugas saya bagi dua penggal yang akan datang ialah untuk memupuk kepimpinan muda di semua peringkat supaya meneruskan perjuangan parti untuk rakyat," katanya.

Ditanya sama ada beliau mempunyai sebarang nama untuk Timbalannya, Koh berkata, parti itu menyerahkan kepada akar umbi untuk menentukannya berdasarkan kepada proses demokrasi.

"Kami akan berunding dengan akar umbi dan biarkan mereka memberi maklum balas. Saya menawarkan diri tetapi itu tidak bermakna akar umbi mesti terima. Kami perlu melalui proses demokrasi," katanya.

Mengenai pelan peralihan kepimpinan Umno yang dipercepatkan daripada Jun 2010, Koh berkata, beliau berharap peralihan itu akan berlangsung dengan lancar agar kestabilan politik dan ekonomi dapat dikekalkan.

Sementara itu, pada sidang akhbar berasingan, Anggota Jawatankuasa Pusat Gerakan Lim Si Pin mengumumkan beliau akan bertanding bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Gerakan dalam pemilihan parti bulan depan.

Anggota Pemuda Gerakan Negeri Sembilan, Paul Yong akan menjadi gandingan Lim dalam perebutan jawatan nombor dua tertinggi dalam sayap parti itu.

Lagi pemimpin Gerakan sertai PKR

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Lebih 20 ahli Gerakan Wilayah Persekutuan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini dengan lebih ramai dijangka berbuat demikian dalam beberapa minggu akan datang.

Bekas Ketua Biro Penerangan Gerakan Wilayah Persekutuan, Gan Kok Keng berkata, sekurang-kurangnya 300 orang dari empat bahagian bakal menyertai parti pembangkang tersebut.

Bahagian-bahagian itu ialah Setiawangsa, Wangsa Maju, Bukit Bintang dan Kepong.

Gan yang telah menjadi anggota Gerakan sejak 24 tahun lalu berkata, pihaknya bertindak keluar parti kerana ia sudah tidak berupaya untuk memainkan peranan yang berkesan dalam Barisan Nasional (BN).

“Kami sudah tiada ada kuasa membuat keputusan dan telah dipinggirkan dan dicela banyak kali," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini pagi ini.

Gan menambah, tindakan tersebut juga bertolak daripada kepercayaannya bahawa pandangan yang diutarakan oleh bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail pada Ogos lalu bukannya pendirian peribadi beliau tetapi pandangan anggota parti berkenaan.

Turut keluar Gerakan hari ini ialah bekas Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Tan Kang Ho; Ketua Biro Ekonominya, Julian Leong dan Setiausaha Wangsa Maju, Azali Omar.

Naib Presiden PKR, dan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa pula berkata, tindakan ahli-ahli Gerakan itu bukan sesuatu yang boleh dilakukan dengan mudah.

"Tindakan mereka ada berani. Tiada ganjaran wang diberikan dan tiada sebarang perbincangan mengenai jawatan dalam aprti (PKR)," katanya.

Awal bulan ini, bekas Ahli Parlimen Segambut dan Ketua Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Tan Kee Kwong telah menyertai PKR.

Akui terima habuan seks, PKR pusat mahu Zul dipecat

MSTAR ONLINE


IPOH: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Lee Boon Chye menggesa kerajaan negeri Perak memecat ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan ekoran kenyataannya yang mengaku ada menerima habuan khidmat seks, tetapi disifatkan sebagai "sedekah."

Dr. Lee berkata, dari segi moral tindakan berkenaan tidak betul bagi seseorang yang memegang jawatan penting dalam kerajaan dan terlibat dalam skandal seks.

"Apabila sesuatu yang tidak senonoh ditawarkan anda seharusnya menolak tawaran itu," kata beliau selepas merasmikan kempen menderma darah di sini hari ini

Kata beliau, Majlis Kerajaan Negeri juga wajar menggugurkan Zul daripada keanggotaan dalam Majlis Daerah Perak Tengah dengan segera sebaik apabila ia mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan sama ada PKR sendiri akan mengambil tindakan terhadap Zul yang juga ahli parti tersebut.

Zul dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail baru-baru ini membuat laporan di Jabatan Agam Islam Perak terhadap Mohammad Imran Abdullah yang didakwa mendorong mereka melakukan perbuatan berdosa itu melibatkan seorang wanita dari China di sebuah apartmen di Batu Ferringhi, Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu.

Mohamad Imran merupakan pengadu dalam kes rasuah Zul dan empat yang lain.

Zul pula bersama-sama juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, dan dua anggota exco kerajaan negeri Perak dari PKR, Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi, serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Bota juga dari PKR, Kapten (B) Usaili Alias, sedang menghadapi 16 tuduhan rasuah yang akan dibicarakan serentak selama tiga hari bermula 11 Februari depan di Mahkamah Sesyen di sini.

Ketika ditemui selepas membuat laporan di Jabatan Agama Islam, Zul dilaporkan mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa "seks seperti menerima sedekah" dan mendakwa dia melakukannya dengan seorang wanita China disebabkan diperangkap Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Kelmarin, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Zulkifli Ibrahim menyifatkan kenyataan Zul bahawa habuan seks sama seperti menerima sedekah sebagai sekadar satu "kesilapan bahasa yang tidak disengajakan."

"Barangkali itu mungkin kesilapan dari segi bahasa dan sebagainya tapi itu bukan maksud kita menjadikan seks itu sebagai satu sedekah,' katanya.

Seorang lagi anggota parti itu di Perak, Fairul Azrim Ismail, juga mengakui melakukan perbuatan itu tetapi turut mendakwa diperangkap oleh BPR.

Dalam pada itu, laporan Bernama yang memetik Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamarul Zaman Shaharudin menyebut, kesilapan menggunakan sesuatu perkataan mungkin akan berlaku kepada istilah dalam bidang tertentu, bukan kepada perkataan yang sering digunakan.

Beliau berkata, perkataan "seks" adalah contoh bahasa yang mudah dan bukan merupakan bahasa teknikal seperti yang terdapat dalam bidang teknologi maklumat atau bidang-bidang lain.

Ketika ditanya sama ada kenyataan itu tidak disengajakan, Kamarul Zaman berkata: "Pada saya itu bukan kesilapan bahasa sebab itu bahasa yang mudah."

"Mesti dia tahu apa yang dia sebutkan. Kecuali kalau itu perkataan teknikal, mungkinlah... boleh salah," katanya.

Katanya, perkataan sedekah itu diketahui umum sebagai suatu perkara yang baik dan berharap pihak-pihak tertentu tidak menyalahgunakan perkataan itu.

"Pihak berkenaan mungkin mencari sebab untuk mempertahankan diri (dengan kenyataan itu)," kata Kamarul Zaman.

Kerajaan semakin tenggelam punca

Tengku Razaleigh Hamzah


Kerjaya ini meluangkan saya kesempatan istimewa untuk memainkan peranan kecil dalam pembentukan negara kita serta mengasaskan pelbagai institusinya, dan juga kejayaan kita mencapai kecukupan yakni ekonomi tidak tertakluk kepada ihsan negara luar.

Saya tergerak untuk membuat kenyataan ini atas keprihatinan yang mendalam terhadap keadaan negara saya yang kini dilanda, antara lain oleh kemelut yang mengharu-birukan keadaan.

Dalam kehidupan seseorang individu dan dalam tempoh sesebuah negara berkuasanya, ia pasti menghadapi detik-detik penuh kemungkinan apabila pilihan yang wajar perlu dibuat, terutamanya tatkala berhadapan dengan persimpangan keupayaan yang secara serentak berpotensi untuk sama ada membawa keunggulan atau kemusnahan diri.

Sewaktu menapak ke alam kedewasaan dulu, kita menempuh banyak persimpangan dan perlu membuat beberapa pilihan.

Begitu jugalah, kini kita peka betapa masa mendatang kita juga dalam tangan kita sendiri sekarang.

Sama ada kita bakal maju dan hidup dalam kegemilangan atau mundur serta senantiasa menanggung duka lara, kini bergantung pada cara kita bertindak dalam tetingkap masa yang singkat ini.

Sekarang ini, kita dalam kebuntuan politik yang seumpama barah berbahaya yang cukup mampu untuk merebak lebih parah menjadi krisis Perlembagaan.

Memang krisis politik perkara lumrah namun bertitik tolak daripada krisis yang kita hadapi kini mungkin tercetus rentetan pelbagai kegagalan yang menjurus kepada ketidakstabilan jangka panjang dan membawa kemusnahan, sebagaimana barah boleh membawa maut.

1. Kebuntuan kita ini tiba dalam senario di mana kita menghadapi cubaan hebat dalam bentuk keadaan ekonomi, politik dan keselamatan yang kian hari semakin mencabar. Ekonomi dunia bakal dirundung kemelesetan yang mungkin sehebat Zaman Meleset tahun 1930an dalam Abad ke 20 dahulu. Sebagai negara perdagangan, tentunya kita akan terdedah sepenuhnya kepada impak kemerosotan ekonomi global itu.

Dalam masa yang sama, sewaktu kita alpa, ekonomi global mengalami ada transformasi besar-besaran. Maka, kita perlu mengambil langkah perlu dengan seberapa segera demi menyesuaikan diri dengan perubahan besar itu, seandainya kita tidak ingin terpinggir.

2. Keputusan paling menggemparkan daripada Pilihan Raya Umum pada tahun ini memanifestasikan sentimen rakyat dan pilihan yang rakyat nyatakan itu memang tidak boleh diabaikan. Warga Malaysia mahukan perubahan fundamental, dan mereka menghendakinya dilakukan sekarang, baik oleh atau menerusi pihak kerajaan campuran yang berkuasa sekarang mahupun daripada pihak di luar kerajaan.

Sepanjang tempoh lima puluh tahun nan lampau, susunan demografi penduduk Malaysia telah mengalami perubahan dramatik. Sudah nyata bahawa kita kini mempunyai kalangan pengundi yang lebih bijak membuat pilihan dan bersikap lebih mendesak. Bolehkah kita mempersalahkan mereka jika mereka sudah bosan dan mula hilang kesabaran dengan ketidakcekapan dan ketidakjujuran barisan pemimpin mereka?

3. Kilanan yakni ketidakpuasan hati dan rungutan warga Malaysia di Sabah dan Sarawak, yang tidak diberi penghayatan sepenuhnya dalam Pilihan Raya Umum itu, masih belum ditangani sampai sekarang. Ini merupakan risiko maha besar terhadap integriti hubungan antara tiga pihak yakni Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang bersekutu menjadi Persekutuan Malaysia.

4. Badi daripada salah faham dalam hal kaum dan agama memang 'retak mencari belah' yang siap sedia menjadi bahan eksploitasi dalam arena politik lantas mampu membahanakan kecelakaan yang maha dahsyat.

Tanpa mengambil kira segala janji pasca-PRU12, akhir-akhir kini, keyakinan rakyat terhadap pihak kerajaan merosot lebih jauh lagi berbanding keadaannya selepas tarikh 8 Mac itu.

Boleh dikatakan bahawa orang awam kini hampir-hampir putus asa untuk melihat perubahan dalam (barisan) parti yang memerintah. Kerajaan lebih cenderung untuk menggagalkan usaha ke arah perubahan malah berusaha mematikan segala kritikan terhadapnya walhal sepatutnya pihak yang berkuasa senada seirama dengan rentak tari atau sekurang-kurangnya memahami kegusaran rakyat. Maka jelaslah betapa lemahnya pihak pentadbiran dan betapa mereka langsung tidak bermaya atau berhajat untuk berubah.

Bolehkah kita menidakkan bahawa kerajaan sekarang, dalam bentuk dan kepimpinan yang sedia ada serta diterajui oleh parti yang menjadi tumpuan penuh kehidupan saya, kini tidak mampu, baik dari segi strukturnya mahupun dari aspek kewujudannya, untuk menyediakan hala tuju dan keyakinan yang negara ini perlukan, sama ada buat jangka panjang atau jangka pendek?. Tidak perlu bersuluh lagi sebab segala petunjuk dan petanda sudah jelas kepada semua:

1. Pihak kerajaan tidak berdaya bergerak balas terhadap krisis ekonomi dan tidak punya pelan tindakan asas untuk mengatasinya. Jauh sekalilah untuk setara dengan negara Asia Pasifik yang lain. Keyakinan kalangan perniagaan terus menjunam segandingan dengan modal yang meluru keluar daripada bank-bank negara kita. Dasar ekonomi terus tiada kelarasan, tanpa hala tuju dan masih berkeadaan sebagaimana keadaannya sewaktu pentadbiran sekarang mula memikul tanggungjawabnya.

2. Segala syor yang diketengahkan oleh dua Suruhanjaya Penyiasatan Diraja sama ada diabaikan sama sekali atau dilunakkan ke tahap saranan-saranan itu menjadi tidak signifikan dan tidak ampuh lagi.

3. Dalam konteks ini, peruntukan dalam perlembagaan Umno yang membolehkan pembaharuan/perubahan kepimpinannya setiap tiga tahun sepatutnya boleh diharap untuk mencetuskan perubahan. Sayang sekali, bukan sahaja mereka mensia-siakan peluang ini malah pihak kepimpinan parti memilih untuk mundur ke alam fantasi bernama "pelan peralihan" yang dengan sewenang-wenangnya mengetepikan perlembagaan parti dan hak para ahlinya. Lelucon berupa cubaan untuk menganggap jawatan awam dan amanah parti sebagai warisan yang boleh diwasiatkan antara dua individu yang seorang mahu terus berwenang melewati tempoh mandat politiknya manakala yang seorang lagi ingin 'naik ke tampuk pimpinan' tanpa berlandaskan mandat tersebut.

Yang lebih lucu lagi ialah kesungguhan usaha mereka berdua bertekad 'memaksa' rakyat menerima garapan dan gagasan mereka. Namun tiada siapa pun yang tertipu. Sebaliknya, senario di mana politik wang berleluasa, telah menguburkan terus harapan rakyat untuk menyaksikan sebarang pembaharuan yang diusahakan oleh atau menerusi Umno. Rakyat juga tahu betapa di sebalik hiruk-pikuk bergelar "pelan peralihan" itu, Perdana Menteri terus didesak oleh anggota kabinetnya sendiri yang menjalankan pelbagai taktik dan 'jarum' demi memaksa beliau melepaskan jawatannya.

Keputusan memilih "pelan peralihan" begini semata-mata membuka pekung pihak berkenaan yang langsung tidak faham erti dan tujuan jawatan awam. Adakah kita yang melarik impian menjadi negara maju tidak sedar yang masyarakat matang negara maju langsung tidak akan memberi muka apatah lagi tempat kepada sesiapa yang mengetepikan dan menularkan sikap tidak mengendahkan proses demokrasi dan perlembagaan sebegini? Mereka ini masih tidak faham-faham lagi bahawa rakyat menolak mana-mana pemimpin yang bukan sahaja mengelak daripada perlawanan terbuka mengikut lunas demokrasi malah lebih cenderung kepada wayang kulit yang mereka dalangi sendiri.

Memandangkan Umno merupakan teras politik kebangsaan, segala adegan yang plot ceritanya sudah terbentang untuk tontonan umum ini, memang mengundang bahaya besar. Dalam pada itu, bilangan Ahli Parlimen pihak Lawan kian meningkat. Tanpa mengambil kira kesahihan bilangan yang digembar-gemburkan itu dan sama ada Pakatan Rakyat kini benar-benar sudah ada "bilangan majoriti" dalam parlimen, tidak syak lagi, sokongan bagi barisan pemerintah semakin terhakis dan akan terus merosot selagi belum ada kejelasan dalam hal perubahan terhadap corak kepimpinan yang Umno sediakan kepada barisan parti pemerintah. Sudah ada 'kilat di air' bahawa, pada masa mendatang, kerajaan sedia ada mungkin tumbang bahana undi tidak percaya, atau kesahihan majoriti ahli parlimen menurut landasan dan peruntukan perlembagaan.

Ini memang tidak mustahil. Namun bagi kalangan yang telah berkuasa selama lima puluh satu tahun, kemungkinan ini sukar difahami apatah lagi untuk diterima. Malah ia terlalu digeruni. Hakikatnya, menafikan kemungkinan itu tidak membantu sesiapa.
Begitu juga halnya dengan mendakwa sesuatu yang jauh melebihi bilangan sebenar.
Baik disoroti dari sudut mana sekalipun, amat jelas betapa kita sudah mula tenggelam punca dan sudah sukar untuk berpegang pada kedaulatan undang-undang. Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Hasutan terhadap individu tertentu hanya menghakiskan lagi kepercayaan rakyat terhadap kerajaan

Kita bukan sahaja tidak menenteramkan suasana malah kita mengapi-apikan ketakutan yang mampu mencetuskan sengketa, permusuhan kaum dan mengganggu-gugat ketenteraman awam. Berlatarkan pakatan lawan yang semakin kuat dan pergelutan kepimpinan dalam Umno, sukar hendak percaya bahawa langkah-langkah melampau yang dikuatkuasakan itu adalah untuk menangani 'ancaman terhadap keselamatan negara' dan bukannya bertujuan untuk mengekalkan penguasaan individu tertentu.

Penganiayaan yakni ketidakadilan ialah perbuatan negatif yang paling berdaya kuasa untuk merobekkan dan menumbangkan kemandirian dan kesahan sesebuah kerajaan. Justifikasi karut-marut yang diberikan sebagai alasan bagi beberapa penahanan yang dibuat itu benar-benar telah melenyapkan langsung keyakinan umum rakyat kini sangsi sama ada kuasa yang mereka berikan melalui peti undi masih berada dalam selamat, yakni dalam tangan mereka yang sewajarnya menjaga amanah itu.

Bolehkah kita biarkan trend ini terus menelusur liku-liku berbahaya menjurus kepada kemusnahan? Sanggupkah kita biarkan tampuk pimpinan kita tanpa seorang pemimpin de facto (yang berkuasa biarpun tiada mandat yang sah) bagaikan kereta api tanpa kepala sedangkan kedaulatan undang-undang terabai dan Perlembagaan tidak diendahkan?.

Maka, dengan ini, saya merayu dan berseru agar semua pihak, segera mendatangi meja perbincangan, untuk membicarakan secara jujur tentang apa yang sedang berlaku dalam negara kita dan apakah bentuk daya usaha yang boleh kita lakukan secara aman untuk memecahkan kebuntuan kita dan mengatasi kemelut ini.

Maka kita perlu bertindak dengan segala rendah hati dan semangat warga negara Malaysia, tanpa mengambil kira kita daripada parti mana. Kita perlu bersepadu mencari hala tuju untuk keluar daripada kancah kekalutan dan kekeliruan yang berbahaya ini demi kesejahteraan negara Malaysia dan kesemua warganya. Semoga bertitik-tolak daripada perbincangan kita, kelak kita berjaya mengubah krisis menjadi pencetus kecemerlangan negara di mana rakyatnya mempunyai kesatuan hala tuju dan matlamat..

Tengku Razaleigh Hamzah
31 Jalan Langgak Golf_

2,000 sertai perarakan aman anti-ISA

Andrew Ong & Rahmah Ghazali


Kira-kira 2,000 menyertai perarakan aman di ibunegara malam ini, mendesak supaya dimansuhkan Akta Keselamatan Negeri (ISA) dan dibebaskan tahanan di bawah akta tersebut.

Pada mulanya, dua kumpulan - Barisan Bertindak Hak Hindu (HIndraf) dan gabungan NGO yang diketuai oleh Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami) - merancang untuk mengadakan majlis memasang lilin di Dataran Merdeka pada kira-kira jam7.30 malam.

Apabila polis mengawal Dataran Merdeka, kumpulan Hindraf yang berjumlah kira-kira 500 orang, berarak menuju ke kuil yang terletak di depan pusat perhentian bas Puduraya kira-kira 1 km dari situ.

Ketika berarak ke sana, orang ramai turut menyertai mereka dan jumlahnya kemudian bertambah mencecah kira-kira 2,000 orang, dengan ramai yang membawa lilin.

Satu lagi kumpulan, yang berarak sambil membawa tanglung, kemudiannya turut menyertai kumpulah Hindraf tersebut.

Sambil berarak, mereka melaungkan “Mansuhkan ISA”, “Bebaskan Raja Petra” and “Hindraf Valga (Hidup Hindraf)”.

Akhirnya, mereka berkumpul di kawasan kuil berkenaan di mana beberapa individu menyampaikan ucapan.

Penyelaras pusat Hindraf, R Thanenthiran menggesa kerajaan memenuhi tuntutan peserta perarakan tersebut supaya membebaskan tahanan ISA.

Katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak boleh memutuskan seorang diri apakah yang terbaik untuk negara.

"Malam ini, kita rakyat, menjadi hakim," tambahnya.

Kemudian, ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran memberitahu hadirin bahawa perhimpunan tersebut diadakan untuk mengingati ulangtahun pertama penahanan lima pemimpin Hindraf di bawah ISA dan kini ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

"Kita akan terus mengadakan perhimpunan sehinggalah tahanan ISA dibebaskan," katanya.
Suasana meriah.

Sementara itu, perarakan itu berjalan dalam suasana meriah. Beberapa penyokong Raja Petra Kamaruddin turut menyanyikan lagu selamat jadi kerana hari ini merupakan hari jadi penulis blog tersebut.

Menjelang jam 9 malam, mereka bersurai dan tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku.

Thanenthiran kemudiannya memberitahu pemberita bahawa perarakan malam ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh berhimpun secara aman untuk menyuarakan isi hati mereka.

“Jika pihak polis mematuhi undang-undang, kita pun juga boleh berbuat demikian," katanya.

Dalam satu kenyataan selepas orang ramai bersurai, pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy mengucap terima kasih kepada pihak polis kerana membenarkan perarakan tersebut diadakan.

"Kerajaan kini seharusnya menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia telah menghantar satu mesej yang kuat dan jelas menolak penggunaan ISA," katanya yang kini tinggal di luar negara.

Sementara itu, dua peserta buta memberitahu Malaysiakini mengapa mereka turut menyertai perarakan tersebut.

Ramli Abu Bakar, 51, berkata beliau menyokong gerakan anti-ISA sejak ia dimulakakan kerana "negara telah mencapai kemerdekaan".

"Kita telah merdeka selama 51 tahun, jadi mengapa kita perlukan lagi undang-undang itu sekarang," kata Ramli.

Rakannya, Kamal Abdu Bakar, 48, turut menyokongnya dengan berkata ISA tidak relevan lagi sekarang.

Manakala seorang penyokong Raja Petra - Sampa Lee, 60 - berkata pembebasan penulis blog itu serta tahanan ISA yang lain, akan merupakan hadiah hari jadi terbaik yang boleh diberikan oleh kerajaan.

"Ia akan merupakan hadiah terbaik untuk Raja Petra dan semua rakyat Malaysia kerana kita semua menentang undang-undang yang zalim itu," kata Sampa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata polis mendapat maklumat bahawa perhimpunan itu dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka.

"Tetapi kita telah menempatkan anggota polis di beberapa jalan masuk menuju ke Dataran Merdeka dan ini menyebabkan peserta perhimpunan bertukar lokasi menuju ke kawasan berhampiran Puduraya.

"Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dalam perhimpunan ini dan tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya dalam laporan .

SMS dari Lombok

Oleh TAJUL SAFUAN ABU HASSAN


IPOH - "Assalamualaikum. Abah ada kat mana sekarang ni? Abah jadi datang atau tidak ke Lombok? Kalau abah jadi datang nanti beritahu... biar kami datang jemput abah."

Itu teks sistem pesanan ringkas (SMS) terbaru yang dihantar Norfadillah, 18, gadis yang didakwa dilarikan seorang pemuda ke Kepulauan Lombok, Indonesia baru-baru ini kepada bapanya, Ahmad Abdul Hamid, 46, malam kelmarin.

Menurut Ahmad, biarpun terkejut dengan ungkapan 'kami' yang digunakan anak sulungnya itu namun sebagai bapa, dia yakin anaknya itu terlalu kepingin untuk kembali ke pangkuan keluarga di Bagan Serai.

"Saya yang baru tiba dari Kuala Lumpur menguruskan persiapan untuk menjejaki Norfadillah di Lombok tiba-tiba terima SMS itu.

"Pada mulanya, saya terperanjat kerana berdasarkan kandungannya, anak saya semacam okey sahaja lebih-lebih lagi dia mengunakan kami, menggantikan saya," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ahmad secara peribadi mengakui semakin tidak sabar untuk bersama-sama rombongan Pengerusi Sekretariat Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, Datuk Abdul Azeez Rahim ke Lombok tidak lama lagi.

"Kalau boleh memang saya hendak ke sana lebih awal tetapi Datuk (Abdul Azeez) masih dalam proses menguruskan pasport antarabangsa saya," katanya.

Tambahnya, dia akan mengotakan janji yang diungkapkan kepada isteri, Masitah Abdullah, 42, dan tiga adik Norfadillah bahawa akan membawa pulang 'Kak Yong' ke pangkuan keluarga semula.

"Tanyalah bapa mana di dunia, mereka akan berbuat apa sahaja demi menyelamatkan anak... bezanya, saya kurang berkemampuan dan mujurlah dengan keprihatinan Pengerusi Sekretariat Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, hasrat membawa pulang Norfadillah bakal menjadi kenyataan," katanya.

Tebusan Melati 5 bebas

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
dan MUHAMMAD ZULKIFLI SAINUDDIN


KUALA LUMPUR – Drama tebusan membabitkan kapal tangki Malaysia, Bunga Melati 5 berakhir apabila kapal berkenaan dibebaskan oleh kumpulan lanun yang menahannya sejak dua minggu lalu.

Pengarah Program Bantuan Pelaut Afrika Timur (EASAP), Andrew Mwangura berkata, kapal tersebut dibebaskan bersama semua anak kapal selepas sejumlah wang tebusan dibayar.

“Wang tebusan itu dihantar oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada di kawasan berkenaan kepada lanun-lanun tersebut,” katanya seperti yang dipetik oleh agensi berita Reuters.

Mereka dibebaskan semalam pada pukul 6.25 petang waktu tempatan.

Sementara itu, sumber-sumber Kementerian Pertahanan memberitahu, kesemua anak kapal Bunga Melati 5 selamat dan telah mendapat bekalan makanan.

Dalam pada itu, sumber tersebut memberitahu, usaha sedang giat dijalankan bagi membebaskan sebuah lagi kapal tangki, Bunga Melati 2 yang masih ditahan.

Menurutnya, ketika ini kapal tersebut masih di perairan Teluk Aden untuk menunggu pembebasan kapal Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal termasuk 29 rakyat Malaysia.

“Kapal Melati 5 akan ke Pelabuhan Djibouti atau Pelabuhan Aden untuk mengisi minyak dan mendapatkan bekalan.

“Waktunya belum ditentukan lagi kerana masih menunggu pembebasan Bunga Melati 2. Tetapi kalau lama sangat nak dibebaskan, Kapal Melati 5 akan meneruskan perjalanan ke pelabuhan itu dulu,’’ katanya.

Pada 19 Ogos lalu, sebuah kapal MISC iaitu kapal MT Bunga Melati 2 dengan 29 anak kapal rakyat Malaysia dan 10 warga Filipina dirampas oleh lanun di perairan tersebut menyebabkan seorang anak kapal dari Filipina terbunuh terkena peluru sesat.

Sepuluh hari kemudian, kapal MISC, Bunga Melati 5 dengan 36 anak kapal rakyat Malaysia dan lima warga Filipina turut dirampas di perairan sama ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.

Sabtu, 27 September 2008

Peralihan kuasa: Lari dari mulut harimau ke lubuk buaya?

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Rakyat bimbang peralihan kuasa dari Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ubah seperti lari dari mulut harimau masuk ke lubuk buaya, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.

"Najib bukan sekadar mewarisi indeks rasuah negara ini yang lebih buruk dari Israel, malah beliau masih tidak dilihat bersih dan terus dituduh antara penyumbang terbesar masalah rasuah di negara ini," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2006 mendedahkan banyak perkara yang tidak kena dalam pengurusan perolehan enam buah kapal peronda (patrol vessel) Tentera Laut Diraja Malaysia, yang menimbulkan persepsi yang sangat buruk dan mencurigakan dari segi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan.

"Banyak persoalan yang tidak dijawab sehingga hari ini dari segi penambahan kos sehingga RM1.4 bilion yang begitu mudah diluluskan sehingga nilai kontrak yang sepatutnya berjumlah RM5.35 bilion bertambah RM6.75 bilion.

"Tempahan yang belum disiapkan berjumlah RM2.214 bilion manakala jumlah yang diperlukan untuk menyiapkan tempahan yang belum disiapkan itu ialah RM2.214 bilion tanpa sedangkan wang yang berbaki pada kontraktor hanya RM832.92 juta. Akhirnya, dengan mudah wang sebesar RM1.4 bilion itu diluluskan," katanya.

Mahfuz juga membangkitkan Laporan Ketua Audit yang mendedahkan kehilangan baucer bayaran dan dokumen sokongan di Kementerian Pertahanan ketika Najib menjadi menterinya untuk 14 bayaran kemajuan berjumlah RM943.46 juta kepada kontraktor bagi tempoh Disember 1999 hingga Januari 2002.

Tiada jawapan memuaskan

"Saya hanya merujuk kepada Laporan Ketua Audit negara sahaja, belum lagi pelbagai persoalan yang berbangkit dan tidak dijawab dengan memuaskan mengenai pembelian Sukhoi dan Scorpene," katanya

Rakyat, katanya, tidak boleh mengharapkan Abdulllah yang mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan dari Najib dalam tukar suka sama suka baru-baru ini menyiasat dan membongkarkan perkara itu.

Jika Abdullah berbuat demikian, katanya, Najib yang mengambil alih jawatan Kementerian Kewangan dari Abdullah juga boleh menyiasat dan membongkar misteri kehilangan dokumen-dokumen berkaitan penggabungan ECM Libra and Avenue Capital Resources dari kementerian itu.

Dalam jawapan kepada seorang peguam mengenai dokumen-dokumen itu, Timbalan Peguam Cara Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Haini Hassan memberitahu, dokumen-dokumen tersebut "tidak terdapat dalam simpanan (possession), jagaan atau kawalan Kementerian Kewangan.

"Sebab itulah rakyat begitu bimbang berlakunya tragedi lari dari mulut harimau masuk lubuk buaya," kata Mahfuz.

Lebih buruk dari Israel

Dengan imej sedemikian, beliau tidak yakin Najib boleh berbuat untuk memulihkan imej negara yang begitu tercemar akibat pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.

"Apabila negara kita merudum lagi dan lebih buruk dari Israel dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah Transparency International baru-baru ini, pemerintahan yang diterajui umat Islam di negara ini dilihat lebih jahat dari Israel dalam soal rasuah. Ia amat memalukan umat Islam.

"Kita pula tidak akan mampu menjawabnya kerana, antara lain, sudah tercatit pula secara rasmi dalam Laporan Ketua Audit Negara salah urus kewangan yang menimbulkan persepsi tentang penyelewengan yang begitu besar dalam Kementerian Pertahanan ketika Najib menjadi menterinya.

"Belum lagi disentuh isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu, pembelian Sukhoi dan Scorpene serta lain-lain. Saya tidak tahu bagaimana Najib boleh menebalkan mukanya melawat ke sana sini di luar negara dengan imej dan persepsi sedemikian ke atasnya.

"Saya tidak fikir pasaran, pelabur asing dan masyarakat antarabangsa akan yakin kepadanya," kata beliau

Menurut Mahfuz, jika RM11bilion modal dalam negara dihebohkan keluar dalam masa 15 hari sahaja, bagaimana pasaran, pelabur asing dan masyarakat antarabangsa boleh menaruh keyakinan kepada Najib yang mengambil alih kepimpinan dengan "baggage" yang lebih buruk dari Abdullah ketika beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri 2003 lalu.

Inflasi terburuk

"Rakyat kini diganasi cengkaman inflasi tertinggi sejak 27 tahun lalu. Saya bimbang kepimpinan Najib akan memburukkan lagi keadaan," katanya.

Mahfuz berharap apa yang terjadi itu menyedarkan rakyat untuk menggunakan hak demokrasi mereka bagi memastikan peralihan kerajaan di negara ini.

"Peralihan kepimpinan Umno bukan sahaja tidak dilihat mampu menyumbangkan kebaikan malah mungkin akan memburukkan lagi keadaan dalam negara ini," katanya. _

Ku Li gesa pemilihan parti dikekal Disember ini

Oeh ARIFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang semalam menyifatkan keputusan menunda pemilihan parti sebagai "permainan kanak-kanak" dua pemimpin, hari ini menggesa ahli-ahli Umno supaya menolak keputusan Majlis Tertinggi (MT) semalam.

"Mereka patut menolak (keputusan MT semalam) kalau sayangkan parti.

"Mereka mesti tentukan sikap untuk menolak kerana ini (peralihan kuasa) bukan perkara kecil," kata beliau pada sidang media di rumahnya di sini sebentar tadi.

Kata beliau, ahli-ahli Umno perlu meminta supaya pemilihan pucuk kepimpinan pusat dikekalkan Disember ini, bukannya menunda ke Mac depan.

"Kita sebagai ahli Umno tak boleh menerima, ini bukan soal nak pindah harta kepada sesiapa ataupun jawatan kepada sesiapa kerana semua ini perlu ditentukan oleh ahli-ahli Umno," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak bercadang untuk membawa sebarang usul berkenaan pelan peralihan kuasa yang dirancangkan walaupun ia sebenarnya di luar perlembagaan parti.

"Nak bawa usul kita perlu adakan mesyuarat khas dan perhimpunan khas.

"Ia bukan sesuatu yang senang untuk dapatkan sokongan bahagian. Memadailah saya buat bantahan lisan kerana bukan saya seorang saja (yang membantah), tapi juga ahli-ahli Umno lain," katanya.

Semalam Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu, yang sebelum ini pernah menawarkan diri mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertanding jawatan Presiden berkata, beliau masih kekal dengan pendirian mahu menawarkan kepimpinan alternatif kepada Umno dan negara.

Hari ini beliau mengulangi pendirian itu sama ada Abdullah bertanding ataupun sebaliknya.

Semalam Abdullah berkata, beliau akan mengumumkan sebelum 9 Oktober sama ada bertanding mempertahankan jawatannya ataupun tidak.

Tengku Razaleigh berkata, beliau tetap akan bertanding tidak kira bila pemilihan Umno diadakan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa pelan peralihan kuasa dalam masa terdekat ini hanya berlaku pada peringkat Presiden Umno sahaja.

"Nampaknya begitulah. Apa jua cadangan tak akan merubah keadaan kerana Perdana Menteri tetap Perdana Menteri.

"Kalau beliau dipilih juga pada Mac nanti, maka dia akan tetap kekal hinga 2010, jadi ia tak bawa makna apa-apa melainkan kita hanya sekadar dimainkan," katantya.

Mengulas mengenai Badan Perhubungan Umno Kelantan yang bersepakat menerima pelan peralihan kuasa antara Abdullah-Najib, beliau berkata, kesepakatan itu tidak menyeluruh.

"Saya pun anggota Badan Perhubungan Umno Kelantan, saya tak hadir pada mesyuarat yang dikatakan telah mencapai kata sepakat itu.

"Saya diberitahu ada juga ketua-ketua bahagian tidak hadir... jadi bagaimana pula dikatakan kata sepakat?" katanya.

Ditanya sama ada memadai untuk beliau sekadar menjadi Presiden Umno, beliau berkata, matlamatnya ialah untuk menjadi Perdana Menteri.

"Saya akan cadangkan supaya pendapatan rakyat dapat ditingkatkan daripada 4,000 dolar Amerika setahun kepada 10,000 dolar Amerika setahun jika menjadi Perdana Menteri," katanya.

Langkah MT cetus 'misteri' berbanding rungkaian

Oleh G. MANIMARAN


ANALISIS: Selepas diutarakan enam bulan yang lalu, Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) Umno akhirnya ditangguhkan tiga bulan sehingga Mac depan.

Sejurus selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, ketika banyak pihak mengkritik kepimpinan Umno, khususnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memikul tanggungjawab terhadap prestasi BN, Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pernah mengesyorkan agar parti memberi tumpuan terhadap soal pemulihan berbanding pemilihan. Bermakna atas syor beliau pemilihan semua peringkat ditangguhkan.

Sehingga kini peringkat cawangan sudah pun selesai mengadakannya. Sebahagian kecil ketua bahagian pula sudah menang tanpa bertanding. Persidangan perwakilan bahagian akan bermula secara rasmi bulan depan, yang turut menyaksikan proses pencalonan bagi jawatan-jawatan utama.

Idea supaya pemilihan Umno ditangguhkan - kali ini bahagian dan pusat - dipercayai telah dibangkitkan semula pada mesyuarat MT yang kedua bulan ini iaitu 18 September lalu.

Sah apabila Presiden Umn, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan yang MT Umno telah memutuskan untuk menunda tarikh AGM ke Mac 2009 bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.

Di sebalik keputusan MT Umno itu, Abdullah berkata, beliau akan mengumumkan keputusan sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden atau sebaliknya sebelum bahagian-bahagian Umno memulakan persidangan perwakilan 9 Oktober ini.

"Saya belum membuat sebarang pengumuman mengenai perkara ini. Saya berhasrat untuk mengumumkan (sama ada bertanding) sebelum mesyuarat bahagian," katanya.

Selari dengan keputusan itu, pelan peralihan kuasa Jun 2010 terbatal dengan sendiri kerana beliau dan Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak telah bersetuju untuk mempercepatkan peralihan tampuk kepimpinan, dilaksanakan lebih awal.

Mengenai maksud melicinkan proses peralihan kuasa awal, Abdullah berkata, "ia adalah bagi membuat penyerahan apa juga yang diperlukan... peraturan-peraturan apa yang hendak saya laksanakan nanti, apa juga."

"Ini akan diputuskan antara saya dan Najib," katanya.

Mulai hari ini ada 12 hari lagi sebelum persidangan perwakilan bahagian berlangsung, sekali gus mencalonkan nama-nama pemimpin yang difikirkan layak untuk bertanding jawatan-jawatan utama peringkat pusat.

Mengambil kira perkembangan semalam, Abdullah yang mengetuai barisan kepimpinan Umno sejak Oktober 2003 akan membuat keputusan penting sebelum 9 Oktober.

Bila ia akan diputuskan juga menjadi teka-teki! Beliau akan menjawab teka-teki sama ada akan bertanding untuk mempertahankan jawatan Presiden ataupun sebaliknya.

Di sebalik teka-teki itu, banyak juga pihak yang bertanya mengapa Abdullah perlu menanti tempoh kurang dua minggu itu, bukannya sekarang iaitu semalam semasa MT mengadakan mesyuarat khas.

Apakah keistimewaan tempoh kurang dua minggu itu? Akan ada sesuatu di luar dugaan dengan pendirian Abdullah kelak?

Ramai yang menganalisis pengumuman semalam bahawa Abdullah tidak akan bertanding. Tetapi anggapan sedemikian boleh meleset jika Abdullah mengambil keputusan yang bertentangan.

Apakah aspek-aspek yang beliau hendak mengambil kira atau menilai dalam tempoh sesingkat ini?

Jika pun beliau memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya kelak, mengapa perlu AGM ditangguhkan sehingga Mac depan.

Mengapa tidak pemilihan dan AGM dikekalkan sebagaimana dijadualkan sebelum ini?

Parti masih boleh membuat keputusan supaya tiada pertandingan diadakan untuk dua jawatan utama dan Abdullah boleh kekal sebagai Presiden sehingga Mac depan dan menjayakan pelan peralihan yang telah dipinda. Umno pernah memutuskan dua kali sebelum ini - 1990-an untuk tidak mempertandingkan kedua-dua jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Kemungkinan itu boleh digunakan semula kali ini. Tetapi ramai melihat kali ini keseluruhan senario adalah berlainan. Akar umbi mahu jawatan-jawatan itu dipertandingkan.

Nampaknya, Abdullah masih memerlukan ruang masa untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum meninggalkan pucuk kepimpinan Umno.

Walaupun pemilihan dan AGM ditunda manakala pelan peralihan dipercepatkan, tarikh sebenar pelan peralihan yang baru juga belum diketahui. Ia juga kekal misteri sehingga ke hari ini.

Mengambil kira perkembangan semalam, Abdullah juga meletakkan siri teka-teki untuk dirungkaikan jawapan.

Nampak gaya siri kejutan dan perkembangan akan berterusan untuk tempoh 12 hari akan datang dan kemudian ia akan berlarutan sehingga Mac depan.

Ketidaktentuan politik yang bermula Mac lalu kemungkinan hanya akan berakhir Mac depan.

Langkah MT cetus 'misteri' berbanding rungkaian

Oleh G. MANIMARAN


ANALISIS: Selepas diutarakan enam bulan yang lalu, Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) Umno akhirnya ditangguhkan tiga bulan sehingga Mac depan.

Sejurus selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, ketika banyak pihak mengkritik kepimpinan Umno, khususnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memikul tanggungjawab terhadap prestasi BN, Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pernah mengesyorkan agar parti memberi tumpuan terhadap soal pemulihan berbanding pemilihan. Bermakna atas syor beliau pemilihan semua peringkat ditangguhkan.

Sehingga kini peringkat cawangan sudah pun selesai mengadakannya. Sebahagian kecil ketua bahagian pula sudah menang tanpa bertanding. Persidangan perwakilan bahagian akan bermula secara rasmi bulan depan, yang turut menyaksikan proses pencalonan bagi jawatan-jawatan utama.

Idea supaya pemilihan Umno ditangguhkan - kali ini bahagian dan pusat - dipercayai telah dibangkitkan semula pada mesyuarat MT yang kedua bulan ini iaitu 18 September lalu.

Sah apabila Presiden Umn, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan yang MT Umno telah memutuskan untuk menunda tarikh AGM ke Mac 2009 bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.

Di sebalik keputusan MT Umno itu, Abdullah berkata, beliau akan mengumumkan keputusan sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden atau sebaliknya sebelum bahagian-bahagian Umno memulakan persidangan perwakilan 9 Oktober ini.

"Saya belum membuat sebarang pengumuman mengenai perkara ini. Saya berhasrat untuk mengumumkan (sama ada bertanding) sebelum mesyuarat bahagian," katanya.

Selari dengan keputusan itu, pelan peralihan kuasa Jun 2010 terbatal dengan sendiri kerana beliau dan Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak telah bersetuju untuk mempercepatkan peralihan tampuk kepimpinan, dilaksanakan lebih awal.

Mengenai maksud melicinkan proses peralihan kuasa awal, Abdullah berkata, "ia adalah bagi membuat penyerahan apa juga yang diperlukan... peraturan-peraturan apa yang hendak saya laksanakan nanti, apa juga."

"Ini akan diputuskan antara saya dan Najib," katanya.

Mulai hari ini ada 12 hari lagi sebelum persidangan perwakilan bahagian berlangsung, sekali gus mencalonkan nama-nama pemimpin yang difikirkan layak untuk bertanding jawatan-jawatan utama peringkat pusat.

Mengambil kira perkembangan semalam, Abdullah yang mengetuai barisan kepimpinan Umno sejak Oktober 2003 akan membuat keputusan penting sebelum 9 Oktober.

Bila ia akan diputuskan juga menjadi teka-teki! Beliau akan menjawab teka-teki sama ada akan bertanding untuk mempertahankan jawatan Presiden ataupun sebaliknya.

Di sebalik teka-teki itu, banyak juga pihak yang bertanya mengapa Abdullah perlu menanti tempoh kurang dua minggu itu, bukannya sekarang iaitu semalam semasa MT mengadakan mesyuarat khas.

Apakah keistimewaan tempoh kurang dua minggu itu? Akan ada sesuatu di luar dugaan dengan pendirian Abdullah kelak?

Ramai yang menganalisis pengumuman semalam bahawa Abdullah tidak akan bertanding. Tetapi anggapan sedemikian boleh meleset jika Abdullah mengambil keputusan yang bertentangan.

Apakah aspek-aspek yang beliau hendak mengambil kira atau menilai dalam tempoh sesingkat ini?

Jika pun beliau memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya kelak, mengapa perlu AGM ditangguhkan sehingga Mac depan.

Mengapa tidak pemilihan dan AGM dikekalkan sebagaimana dijadualkan sebelum ini?

Parti masih boleh membuat keputusan supaya tiada pertandingan diadakan untuk dua jawatan utama dan Abdullah boleh kekal sebagai Presiden sehingga Mac depan dan menjayakan pelan peralihan yang telah dipinda. Umno pernah memutuskan dua kali sebelum ini - 1990-an untuk tidak mempertandingkan kedua-dua jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Kemungkinan itu boleh digunakan semula kali ini. Tetapi ramai melihat kali ini keseluruhan senario adalah berlainan. Akar umbi mahu jawatan-jawatan itu dipertandingkan.

Nampaknya, Abdullah masih memerlukan ruang masa untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum meninggalkan pucuk kepimpinan Umno.

Walaupun pemilihan dan AGM ditunda manakala pelan peralihan dipercepatkan, tarikh sebenar pelan peralihan yang baru juga belum diketahui. Ia juga kekal misteri sehingga ke hari ini.

Mengambil kira perkembangan semalam, Abdullah juga meletakkan siri teka-teki untuk dirungkaikan jawapan.

Nampak gaya siri kejutan dan perkembangan akan berterusan untuk tempoh 12 hari akan datang dan kemudian ia akan berlarutan sehingga Mac depan.

Ketidaktentuan politik yang bermula Mac lalu kemungkinan hanya akan berakhir Mac depan.

Rumah ibu bapa Teresa Kok dilontar bom petrol

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kediaman ibu bapa anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Jalan Ipoh di sini dilontar bom petrol awal pagi ini.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Teresa ketika dihubungi hari ini.

Anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu akan mengadakan sidang akhbar tengah hari ini di rumah ibu bapanya berhubung insiden itu.

Teresa dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 19 September lepas setelah ditahan selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan yang dihubungi mengesahkan insiden itu berlaku kira-kira 2.55 pagi.

Katanya tiada penghuni rumah itu yang cedera dalam kejadian itu kerana bom petrol itu tidak meletup.

Waktu kejadian, terdapat tiga orang yang menghuni di rumah itu iaitu ibu, bapa dan adik Teresa.

Solat Hajat, doa bebaskan tebusan kapal MISC

azaminamin@harakah.net


KUALA LUMPUR - PAS menyeru semua ahli di pelbagai peringkat termasuk umat Islam di seluruh negara untuk menunaikan solat hajat dan mendoakan agar kesemua 80 anak kapal Malaysia International Shipping Corporation (MISC) Berhad yang menjadi tebusan lanun di Teluk Aden segera dibebaskan daalam keadaan selamat.

Setiausaha Agung PAS Dato' Kamarudin Jaffar berkata keluarga mangsa pasti merasa resah dan sedih kerana nasib anak kapal tersebut masih 'terumbang-ambing' kerana sudah menjadi tebusan lebih 40 hari, tambahan pula tatkala umat Islam di Malaysia bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

"Sehubungan dengan itu, dengan kemampuan yang ada kita mestilah sentiasa memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa dan bersama-samalah bermunajat ke hadrat Allah agar mereka semua dibebaskan dengan secepat mungkin," katanya kepada Harakah.

Beliau mahu ahli-ahli PAS dan umat Islam setiap masa mendoakan keselamatan tebusan terbabit ketika menunaikan solat tarawikh, berbuka puasa ataupun sewaktu melaksanakan amal ibadat lain.

"Ini ujian yang dihadi oleh mereka, esok-esok kita tidak tahu bahgian dan ujian kepada kita pula. Sama-samalah bermuhasabah diri dan mendoakan mereka," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Beliau juga meminta agar kerajaan Malaysia memberi bantuan sewajarnya dan melakukan tindakan drastik untuk memastikan keselamatan anak-anak kapal terbabit terjamin di samping memberi 'tekanan' kepada lanun dan pihak berkaitan untuk segera membebaskan mereka.

"PAS juga berharap agar kaum keluarga tebusan tabah menghadapi ujian getir ini dan sentiasa berfikiran positif dan yakin dengan pertolongan Allah swt," katanya.

Sementara itu mengulas isu sama, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata PAS mahu kerajaan Malaysia bertindak lebih agresif bagi membantu menyelamatkan nyawa mereka dan tidak mengambil tempoh yang terlalu sehingga membahayakan keselamatan dan mendatangkan kebimbangan serius kepada kamu keluarga mangsa.

"PAS juga membantu dan berusaha secara diplomatik dan menggunakan saluran tidak rasmi dalam usaha untuk membebaskan rakyat malah gerak kerja sudah dari awal, sejak hari pertama kapal dirampas. Kita sudah menghubungi rakan-rakan di Timur Tengah namun tidak boleh maklumkan secara terperinci atas sudut keselamatan.

"Sebolehnya konflik ini kita mahu diselesaikan sebelum umat Islam menyambut Syawal," katanya ketika dihubungi Harakah.

Untuk rekod Kapal dagang MT Bunga Melati Dua milik MISC telah dirampas lanun di perairan Teluk Aden, antara Somalia dan Yemen pada 19 Ogos 2008 jam 10.09 malam di mana terdapat 29 warga Malaysia dan 10 warga Filipina dalam kapal itu semasa kejadian.

Kapal tangki itu membawa minyak kelapa sawit belayar dari Dumai, Sumatera, Indonesia ke Rotterdam , Belanda. Pasukan lanun itu dilaporkan menggunakan senjata moden seperti AK-47 dan pelancar granade dan memanjat dinding vesel dengan galah. Kapal itu seberat 32,169 tan dibina pada 1997 dan mampu dipintas oleh bot laju lanun.

Manakala kapal MT Bunga Melati Lima telah dirampas oleh lanun di Teluk Aden, Somalia - Yemen jam 9.50 malam , 29 Ogos 2008, 10 hari selepas kejadian pertama 19 Ogos 2008.

Kapal itu dikendalikan oleh 41 anak kapal termasuk 36 warga Malaysia dan krew penyelenggaraan sementara warga Filipina . Kapal itu membawa 30,000 MT bahan petrokimia dari Yanbu, Arab Saudi ke pelabuhan Singapura. - mr_