Oleh ANI AWANG
BAGAN SERAI . - Sepasang suami isteri hari ini meminta kerajaan dan Kedutaan Malaysia di Indonesia supaya membantu membawa pulang anak mereka, Noor Fadilah Ahmad, 18, yang dilarikan seorang lelaki ke Lombok Timur, Indonesia pada 3 September lalu.
Pasangan itu, Ahmad Abdul Hamid, 46, dan isterinya Masitah Abdullah, 42, berkata, anak mereka bekerja di sebuah kilang elektronik di Pasir Gudang, Johor sejak tiga bulan lalu selepas tamat persekolahan pada tahun lalu.
Menurut Ahmad, dia telah menghubungi anak saudaranya, Nurul Hazimah Abdul Majid pada kira- kira pukul 8.30 malam, 3 September lalu setelah Noor Fadilah tidak menjawab panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantarnya pada malam itu.
''Bimbang dengan keselamatannya, saya telah menghubungi Nurul Hazimah untuk mendapatkan pengesahan dan dia memberitahu, ada seorang lelaki menaiki sebuah teksi mengajak Noor Fadilah keluar dan tidak pulang-pulang selepas itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Ladang Sungai Gedong dekat sini hari ini.
Ahmad yang bekerja sebagai pemandu jentera di ladang tersebut berkata, beliau telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Simpang Empat di sini pada malam 4 September lalu dan satu lagi laporan polis turut dibuat oleh anak saudaranya di Johor Bahru.
Katanya, mereka tidak menyangka lelaki yang dikenali sebagai Nasrudin, 28, itu dan bekerja sebagai buruh ladang di sini sejak tiga tahun lalu tergamak melarikan anaknya.
''Lelaki itu tinggal tidak jauh dari rumah saya di sini tetapi dia jarang bertemu dengan anak saya kerana Noor Fadilah kini bekerja di Johor," katanya.
Tambah Ahmad, beberapa rakan Nasrudin memberitahunya yang permit kerja lelaki itu telah tamat tempoh dan dijangka pulang ke Lombok Timur pada 4 September lalu, bagaimanapun dia telah meninggalkan ladang tersebut pada 2 September.
Katanya, dia mengetahui Noor Fadilah berada di negara jiran setelah rakannya, Shukri yang berada di Lombok Timur pada 5 September lalu memaklumkan anaknya berada di sana.
''Shukri yang juga bekas pekerja ladang ini memberitahu anak saya berada di Lombok Timur dengan Nasrudin dan meminta saya datang mengambilnya," katanya.
Menurutnya, Nasrudin juga telah menghubunginya pada 13 September lalu dan memberitahu dia melarikan Noor Fadilah kerana mahu berkahwin dengan anaknya itu.
''Saya dan isteri memang tidak izinkan anak saya berkahwin dengan Nasrudin,'' katanya.
Menurut Ahmad, dia juga sempat bercakap dengan Noor Fadilah yang memintanya datang mengambilnya di Lombok tetapi mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan dan tidak mahir untuk pergi ke sana.
Sementara itu, Masitah berkata, Noor Fadilah adalah anak sulung daripada empat beradik dan kehilangannya amat dirasai oleh mereka sekeluarga termasuk adik-adiknya iaitu Noor Farawahida, 16; Noor Fatin Aini, 15, dan Noor Ashikin, 14.
''Kami bimbang dengan keselamatan Noor Fadilah yang berada jauh di Indonesia dan sejak beberapa hari lalu kami tidak lagi menerima panggilan dan SMS daripadanya,'' katanya.
Sehubungan itu, Masitah berharap kerajaan Malaysia dapat membantu membawa pulang anaknya ke tanah air terutama sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Dalam pada itu katanya, dia telah menemui Pengerusi Gerakan Belia 4B Perak, Datuk Zaili Cha untuk mendapatkan bantuan dan difahamkan beliau sedang berurusan dengan Kedutaan Malaysia di Indonesia bagi mendapatkan bantuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan