HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 September 2008

Tebusan Melati 5 bebas

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
dan MUHAMMAD ZULKIFLI SAINUDDIN


KUALA LUMPUR – Drama tebusan membabitkan kapal tangki Malaysia, Bunga Melati 5 berakhir apabila kapal berkenaan dibebaskan oleh kumpulan lanun yang menahannya sejak dua minggu lalu.

Pengarah Program Bantuan Pelaut Afrika Timur (EASAP), Andrew Mwangura berkata, kapal tersebut dibebaskan bersama semua anak kapal selepas sejumlah wang tebusan dibayar.

“Wang tebusan itu dihantar oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada di kawasan berkenaan kepada lanun-lanun tersebut,” katanya seperti yang dipetik oleh agensi berita Reuters.

Mereka dibebaskan semalam pada pukul 6.25 petang waktu tempatan.

Sementara itu, sumber-sumber Kementerian Pertahanan memberitahu, kesemua anak kapal Bunga Melati 5 selamat dan telah mendapat bekalan makanan.

Dalam pada itu, sumber tersebut memberitahu, usaha sedang giat dijalankan bagi membebaskan sebuah lagi kapal tangki, Bunga Melati 2 yang masih ditahan.

Menurutnya, ketika ini kapal tersebut masih di perairan Teluk Aden untuk menunggu pembebasan kapal Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal termasuk 29 rakyat Malaysia.

“Kapal Melati 5 akan ke Pelabuhan Djibouti atau Pelabuhan Aden untuk mengisi minyak dan mendapatkan bekalan.

“Waktunya belum ditentukan lagi kerana masih menunggu pembebasan Bunga Melati 2. Tetapi kalau lama sangat nak dibebaskan, Kapal Melati 5 akan meneruskan perjalanan ke pelabuhan itu dulu,’’ katanya.

Pada 19 Ogos lalu, sebuah kapal MISC iaitu kapal MT Bunga Melati 2 dengan 29 anak kapal rakyat Malaysia dan 10 warga Filipina dirampas oleh lanun di perairan tersebut menyebabkan seorang anak kapal dari Filipina terbunuh terkena peluru sesat.

Sepuluh hari kemudian, kapal MISC, Bunga Melati 5 dengan 36 anak kapal rakyat Malaysia dan lima warga Filipina turut dirampas di perairan sama ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.

Tiada ulasan: