HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 September 2008

Tham, pengasas Sapp keluar parti

BERNAMA


KOTA KINABALU: Datuk Tham Nyip Shen, salah seorang pengasas Parti Maju Sabah (Sapp) pada 1994, hari ini mengumumkan secara rasmi peletakan jawatannya sebagai anggota parti dan Penasihat Sains kepada Ketua Menteri.

Tham memberitahu sidang akhbar di sini, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan ke pejabat Presiden Sapp, Datuk Yong Teck Lee dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman pada 18 September, tetapi hanya membuat keputusan untuk mengumumkannya hari ini kerana beliau mahu memaklumkannya kepada Musa terlebih dahulu.

Walaupun beliau berasa 'amat kecewa' untuk meninggalkan parti yang telah beliau bantu wujudkan, Tham berkata, beliau tidak lagi dapat berada dalam parti itu memandangkan beliau sama sekali tidak berhasrat untuk menyertai pembangkang.

"Memang sudah menjadi hasrat saya untuk berkhidmat kepada rakyat menerusi kerajaan.

"Saya membuat keputusan yang sama pada 1994, meninggalkan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan mewujudkan parti lain (Sapp) untuk menyertai Barisan Nasional (BN) kerana pada ketika itu, BN masih memerintah kerajaan persekutuan. Hari ini, saya mendukung asas yang sama," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata dalam pertemuannya dengan Musa pagi ini, beliau memberitahu Ketua Menteri bahawa beliau dengan berat hati meletak jawatan, bukan kerana beliau tidak bersedia untuk berkhidmat, tetapi disebabkan beliau tidak lagi dapat mengekalkan jawatan itu ekoran tindakan Sapp keluar daripada BN.

"Beliau (Musa) merakamkan penghargaannya dan mengucapkan terima kasih atas khidmat saya. Beliau mengucapkan selamat maju jaya dan berharap saya akan sentiasa menghubunginya... saya kata ya, jika ada apaapa yang boleh saya bantu," katanya.

Mengenai tugasnya selaku pengerusi Institut Progresif Analisis Dasar Awam (Pippa), iaitu pasukan pemikir SAPP, Tham berkata Yong meminta beliau terus memegang jawatan itu sehingga selesai prosedur untuk menyerahkannya kepada penyandang lain, dan beliau mempersetujui permintaan itu.

Tham, buat masa ini, memutuskan untuk berehat dan belum membuat sebarang keputusan selanjutnya untuk menyertai manamana parti politik.

"Buat pertama kalinya sejak saya dipilih pada 1985, saya benarbenar bebas daripada sebarang hubungan politik.

"Walaupun saya boleh dikatakan bebas buat masa ini, saya masih boleh berbuat sesuatu untuk membantu rakyat. Dalam perkataan lain, apaapa jua peranan yang boleh saya jalankan sama ada dalam badan bukan kerajaan atau sektor perniagaan yang boleh membantu kerajaan dan negara," katanya.

Ditanya sama ada beliau berminat menubuhkan sebuah parti baru, Tham berkata: "Saya fikir saya sudah cukup membantu menubuhkan parti, saya serahkan tugas itu kepada pihak lain pula."

Mengenai sama ada beliau dipelawa untuk menyertai parti lain, beliau menjawab:

"Saya tidak (dipelawa), saya tidak laku lagi. Ada banyak spekulasi misalnya menyertai Gerakan, MCA, DAP atau menubuhkan sebuah parti baru tetapi hari ini saya beritahu anda yang saya tidak menyertai manamana parti".

Tham, 50, adalah antara orang berpengaruh dalam SAPP yang pergi ke Kuala Lumpur bersamasama Yong pada 1994, untuk mendaftarkan parti itu.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Sabah selama beberapa penggal semasa berada dalam Kabinet.

Tham dilantik ke jawatan Penasihat Sains sejak 2004 setelah beliau tidak bertanding semula dalam pilihan raya pada tahun berkenaan.

Tiada ulasan: