HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 September 2008

SMS dari Lombok

Oleh TAJUL SAFUAN ABU HASSAN


IPOH - "Assalamualaikum. Abah ada kat mana sekarang ni? Abah jadi datang atau tidak ke Lombok? Kalau abah jadi datang nanti beritahu... biar kami datang jemput abah."

Itu teks sistem pesanan ringkas (SMS) terbaru yang dihantar Norfadillah, 18, gadis yang didakwa dilarikan seorang pemuda ke Kepulauan Lombok, Indonesia baru-baru ini kepada bapanya, Ahmad Abdul Hamid, 46, malam kelmarin.

Menurut Ahmad, biarpun terkejut dengan ungkapan 'kami' yang digunakan anak sulungnya itu namun sebagai bapa, dia yakin anaknya itu terlalu kepingin untuk kembali ke pangkuan keluarga di Bagan Serai.

"Saya yang baru tiba dari Kuala Lumpur menguruskan persiapan untuk menjejaki Norfadillah di Lombok tiba-tiba terima SMS itu.

"Pada mulanya, saya terperanjat kerana berdasarkan kandungannya, anak saya semacam okey sahaja lebih-lebih lagi dia mengunakan kami, menggantikan saya," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ahmad secara peribadi mengakui semakin tidak sabar untuk bersama-sama rombongan Pengerusi Sekretariat Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, Datuk Abdul Azeez Rahim ke Lombok tidak lama lagi.

"Kalau boleh memang saya hendak ke sana lebih awal tetapi Datuk (Abdul Azeez) masih dalam proses menguruskan pasport antarabangsa saya," katanya.

Tambahnya, dia akan mengotakan janji yang diungkapkan kepada isteri, Masitah Abdullah, 42, dan tiga adik Norfadillah bahawa akan membawa pulang 'Kak Yong' ke pangkuan keluarga semula.

"Tanyalah bapa mana di dunia, mereka akan berbuat apa sahaja demi menyelamatkan anak... bezanya, saya kurang berkemampuan dan mujurlah dengan keprihatinan Pengerusi Sekretariat Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, hasrat membawa pulang Norfadillah bakal menjadi kenyataan," katanya.

Tiada ulasan: