HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 September 2008

Harga minyak turun menjelang Hari Raya?

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH


JOHOR BAHRU – Keputusan sama ada kerajaan akan menurun atau mengekalkan harga runcit petrol dan diesel bakal diketahui pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad berkata, Jemaah Menteri akan membincangkan cadangan penurunan harga minyak itu dan menentukan kadarnya.

‘‘Pengumuman penurunan harga itu memerlukan sedikit penyesuaian bagi mengelak berlaku kekurangan bekalan secara mendadak dalam pasaran,’’ katanya tanpa mahu mengesahkan jika penurunan harga minyak akan dilakukan sebelum Aidilfitri.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan Hari Raya kepada fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya di Pangsapuri Sri Stulang di sini hari ini.

Shahrir mengulas trend penurunan harga minyak dunia yang kini di bawah paras AS$100 (RM340) setong jika dibandingkan dengan harga pada awal Julai lalu iaitu AS$148 (RM482).

Mengenai perkembangan sistem dua pam di semua stesen minyak di kawasan sempadan, Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, kerajaan dijangka menentukan kaedah pelaksanaannya selewat-lewatnya pertengahan bulan depan.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan mempunyai dua pilihan berdasarkan cadangan oleh syarikat-syarikat minyak dan sebuah syarikat swasta.

“Kami sudah mendapat pandangan daripada syarikat mengenai kaedah pelaksanaan itu, jumlah pelaburan yang diperlukan dan tempoh pelaksanaannya.

“Sebuah syarikat lagi mempunyai cadangan untuk melaksanakannya secara elektronik iaitu kaedahnya berbeza dalam bentuk surcaj,” katanya.

Tiada ulasan: