HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 September 2008

Langkah MT cetus 'misteri' berbanding rungkaian

Oleh G. MANIMARAN


ANALISIS: Selepas diutarakan enam bulan yang lalu, Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) Umno akhirnya ditangguhkan tiga bulan sehingga Mac depan.

Sejurus selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, ketika banyak pihak mengkritik kepimpinan Umno, khususnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memikul tanggungjawab terhadap prestasi BN, Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pernah mengesyorkan agar parti memberi tumpuan terhadap soal pemulihan berbanding pemilihan. Bermakna atas syor beliau pemilihan semua peringkat ditangguhkan.

Sehingga kini peringkat cawangan sudah pun selesai mengadakannya. Sebahagian kecil ketua bahagian pula sudah menang tanpa bertanding. Persidangan perwakilan bahagian akan bermula secara rasmi bulan depan, yang turut menyaksikan proses pencalonan bagi jawatan-jawatan utama.

Idea supaya pemilihan Umno ditangguhkan - kali ini bahagian dan pusat - dipercayai telah dibangkitkan semula pada mesyuarat MT yang kedua bulan ini iaitu 18 September lalu.

Sah apabila Presiden Umn, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan yang MT Umno telah memutuskan untuk menunda tarikh AGM ke Mac 2009 bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.

Di sebalik keputusan MT Umno itu, Abdullah berkata, beliau akan mengumumkan keputusan sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden atau sebaliknya sebelum bahagian-bahagian Umno memulakan persidangan perwakilan 9 Oktober ini.

"Saya belum membuat sebarang pengumuman mengenai perkara ini. Saya berhasrat untuk mengumumkan (sama ada bertanding) sebelum mesyuarat bahagian," katanya.

Selari dengan keputusan itu, pelan peralihan kuasa Jun 2010 terbatal dengan sendiri kerana beliau dan Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak telah bersetuju untuk mempercepatkan peralihan tampuk kepimpinan, dilaksanakan lebih awal.

Mengenai maksud melicinkan proses peralihan kuasa awal, Abdullah berkata, "ia adalah bagi membuat penyerahan apa juga yang diperlukan... peraturan-peraturan apa yang hendak saya laksanakan nanti, apa juga."

"Ini akan diputuskan antara saya dan Najib," katanya.

Mulai hari ini ada 12 hari lagi sebelum persidangan perwakilan bahagian berlangsung, sekali gus mencalonkan nama-nama pemimpin yang difikirkan layak untuk bertanding jawatan-jawatan utama peringkat pusat.

Mengambil kira perkembangan semalam, Abdullah yang mengetuai barisan kepimpinan Umno sejak Oktober 2003 akan membuat keputusan penting sebelum 9 Oktober.

Bila ia akan diputuskan juga menjadi teka-teki! Beliau akan menjawab teka-teki sama ada akan bertanding untuk mempertahankan jawatan Presiden ataupun sebaliknya.

Di sebalik teka-teki itu, banyak juga pihak yang bertanya mengapa Abdullah perlu menanti tempoh kurang dua minggu itu, bukannya sekarang iaitu semalam semasa MT mengadakan mesyuarat khas.

Apakah keistimewaan tempoh kurang dua minggu itu? Akan ada sesuatu di luar dugaan dengan pendirian Abdullah kelak?

Ramai yang menganalisis pengumuman semalam bahawa Abdullah tidak akan bertanding. Tetapi anggapan sedemikian boleh meleset jika Abdullah mengambil keputusan yang bertentangan.

Apakah aspek-aspek yang beliau hendak mengambil kira atau menilai dalam tempoh sesingkat ini?

Jika pun beliau memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya kelak, mengapa perlu AGM ditangguhkan sehingga Mac depan.

Mengapa tidak pemilihan dan AGM dikekalkan sebagaimana dijadualkan sebelum ini?

Parti masih boleh membuat keputusan supaya tiada pertandingan diadakan untuk dua jawatan utama dan Abdullah boleh kekal sebagai Presiden sehingga Mac depan dan menjayakan pelan peralihan yang telah dipinda. Umno pernah memutuskan dua kali sebelum ini - 1990-an untuk tidak mempertandingkan kedua-dua jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Kemungkinan itu boleh digunakan semula kali ini. Tetapi ramai melihat kali ini keseluruhan senario adalah berlainan. Akar umbi mahu jawatan-jawatan itu dipertandingkan.

Nampaknya, Abdullah masih memerlukan ruang masa untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum meninggalkan pucuk kepimpinan Umno.

Walaupun pemilihan dan AGM ditunda manakala pelan peralihan dipercepatkan, tarikh sebenar pelan peralihan yang baru juga belum diketahui. Ia juga kekal misteri sehingga ke hari ini.

Mengambil kira perkembangan semalam, Abdullah juga meletakkan siri teka-teki untuk dirungkaikan jawapan.

Nampak gaya siri kejutan dan perkembangan akan berterusan untuk tempoh 12 hari akan datang dan kemudian ia akan berlarutan sehingga Mac depan.

Ketidaktentuan politik yang bermula Mac lalu kemungkinan hanya akan berakhir Mac depan.

Tiada ulasan: