HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 September 2008

Adun Melor saman NSTP RM7

Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU - Adun Melor, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh hari ini memfailkan saman malu sebanyak RM7 juta terhadap kumpulan The New Strait Times Press (NSTP) berikutan berita disiarkan akhbar berkenaan dianggap memfitnahnya

Selain itu turut dinamakan dalam saman itu dua wartawan iaitu Hidayati Idayu Razali, Adnan Mohamad dan bekas isteri Adun terbabit, Kim Chou @ Siti Aishah Abdullah.

Adun berkenaan mengemukakan saman tersebut melalui peguam Wan Rohimi Wan Daud daripada firma guaman Wan Rohimi & Asmadi di Mahkamah Tinggi Kota Bharu jam 11.09 pagi tadi.

Bercakap pada sidang media di sini katanya saman tersebut dibuat berdasar berita yang disiarkan akhbar berkenaan yang dianggap tidak berasas.

Antaranya tuduhan mengatakan beliau menceraikan isterinya tanpa sebab, kedua beberapa wakil rakyat dikatakan hadir sama pada majlis angkat nikahnya sebelum ini.

Selain itu akhbar tersebut juga melaporkan Siti Aishah menerima ugutan bunuh.

"Sebelum ini saya mengambil sikap berdiam diri dalam hal berkaitan kes perceraian dengan Siti Aishah memandangkan ia adalah masalah rumahtangga.

"Namun demikian beberapa media telah memutar belitkan kes ini sehingga saya terpaksa mendapat nasihat peguam dan seterusnya mengambil tindakan saman," katanya.

Siti Aishah keturunan Cina berasal dari Kemboja memeluk Islam sebelum berkahwin dengan Wan Ismail. Mereka mendirikan rumah tangga pada 2003 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Siti Aishah sebelum ini mendakwa Wan Ismail melafazkan cerai talak satu pada 16 April lalu di rumahnya di Wakaf Mek Zainab.

Manakala pada 2 Julai lalu Mahkamah Rendah Syariah menolak permohonan Siti Aishah, 24 yang mana sebelum ini memohon mendapatkan pengesahan perceraiannya.

Hakim Syarie, Nik Najib Che Hassan ketika itu menolak permohonan kerana perkahwinan pasangan itu atas tidak didaftarkan di Kelantan.

Wan Ismail yang juga Yang Dipertua PAS Ketereh berkata, saman malu terpaksa diambil terhadap tiga responden terbabit memandangkan terdapat beberapa petikan artikel yang dimuatkan dalam Harian Metro tidak berasas.

"Artikel Harian Metro bertarikh 30 Mei, 4 Ogos dan 6 Ogos berkaitan kes saya telah diputar belitkan dan ini menjejaskan maruah saya," katanya.

Beliau berkata, saman sebanyak RM7 juta dikemukakan terhadap responden memandangkan maruahnya telah diaibkan di mata masyarakat, parti dan berkemungkinan hilang punca pendapatan.

Katanya juga kesnya kini dalam proses penyelesaian di Mahkamah Tinggi Syariah setelah pihak mahkamah menerima permohonan pernikahan dan perceraian.

Menurutnya juga dari segi hukum beliau dan Siti Aishah telah sah bercerai dengan talak satu dan cuma sedang menunggu untuk mendapatkan surat pengesahan cerai dari mahkamah.

"Kelewatan proses ini timbul setelah mahkamah tidak menerima sijil nikah yang dikemukakan sebelum ini kerana tiada dalam pendaftaran jabatan," katanya.

Beliau juga berkata, keputusan berpisah dengan bekas isterinya itu diambil sebagai langkah terbaik kedua-dua belah pihak dan ia tidak bertentangan dengan ajaran agama. - mj _

Tiada ulasan: