HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 September 2008

Petanda kejatuhan empayar BN semakin jelas sekarang

Md Hakimi


TANAH MERAH: Tiada sesiapa mampu menjangka Pakatan Rakyat kini semakin menghampiri penguasaan kerajaan di peringkat pusat dan bakal menggantikan ketuanan Barisan Nasional (BN).

Biar apa pun kebangkitan rakyat pada Mac lalu membolehkan Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan diterajui di bawah Pakatan Rakyat.

Begitu juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Negeri Sembilan pula nyaris terlepas ke tangan Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, tiada yang menyangka orang PAS boleh menjadi Menteri Besar di Perak dan Selangor negeri termaju boleh terlepas kepada Pakatan Rakyat.

"Kerana itu tidak mustahil kerajaan Barisan Nasional (BN) yang hilang dua pertiga majoriti di parlimen boleh tumbang dalam tempoh terdekat ini kerana petandanya semakin jelas.

"Kemenangan Pakatan Rakyat di lima negeri pada Mac lalu juga sesuatu di luar kotak pemikiran pimpinan BN sebelum ini.

"Berpandu kepada situasi itu sepatutnya pemimpin Umno tidak boleh menafikan apa yang sedang berlaku sekarang,” katanya pada program Tadarus al-Quran Peringkat Jajahan Tanah Merah dekat sini, baru-baru ini.

Oleh itu katanya, PAS yakin kemenangan dan kekalahan merupakan anugerah Allah Taala untuk menguji kesungguhan dan keikhlasan dalam perjuangan menegak Islam dan kebenaran.

Kata Ahmad Baihaki, tidak mustahilnya Allah memberi kemenangan sekali lagi kepada Pakatan Rakyat bagi menggantikan kerajaan BN dalam waktu terdekat ini.

"Kita tetap yakin akan berlaku perubahan dalam tempoh terdekat biar pun ia tidak menjadi kenyataan pada 16 September lalu. Namun apa yang jelas perubahan ke arah itu sedang berlaku sekarang,’ ujarnya.

Beliau yang juga Adun Pasir Tumbuh yakin perubahan kuasa BN kepada Pakatan Rakyat membolehkan Islam dimartabatkan dan lebih terbela.

Hadir sama pada program itu Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aiz Nik Mat, anggota-anggota Exco, Mejar (B) Md Anizam Abdul RahmanAbdul Fattah Mahmood, Che Abdullah Mat Nawi dan Adun Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustafa. - mj _

Tiada ulasan: