Oleh SHARIZA ABDULLAH
STAR – Seorang kanak- kanak berusia 11 tahun terpaksa melupakan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri apabila kedua-dua matanya cedera ketika bermain mercun bola di Kampung Hadapan Istana Anak Bukit, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam berhampiran rumahnya itu, mangsa, Muhd. Nor Amzar Nordin mengalami kecederaan serius di mata kanan selain tidak dapat membuka mata kiri.
Murid Sekolah Kebangsaan Alor Merah, di sini itu juga melecur kira-kira 40 peratus bahagian muka akibat disambar api yang menyala ketika dia memasang mercun bola tersebut.
Muhd. Nor Amzar ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini berkata, kejadian berlaku ketika dia bermain mercun bersama beberapa rakan dan saudaranya selepas selesai berbuka puasa bersama keluarga masing-masing.
Dia dikatakan mengambil kesempatan untuk bermain mercun kerana pada masa itu bapanya, Nordin Hamid, 45, tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Katanya, dia cuba memasang mercun bola tersebut dengan meleraikan bahan letupan berkenaan kepada dua bahagian dan menyalakan sumbunya.
“Ketika itu saya sedang mencangkung, pada mulanya ia tidak menyala dan saya mengalihkan muka ke belakang seketika tetapi sebaik sahaja menoleh semula tiba- tiba mercun menyala dan terkena muka.
“Dalam keadaan kesakitan dan penglibatan yang kabur, saya meluru ke rumah bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Muhd. Nor Azmar kemudiannya dikejarkan ke HSB sebelum ditahan di wad hospital itu untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Badan Perhubungan UMNO Kedah diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berada di HSB untuk menyampaikan sumbangan raya kepada pesakit turut melawat Muhd. Nor Amzar iaitu mangsa mercun kedua dilaporkan di Kedah pada tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan