MALAYSIAKINI
Lebih 200 orang berkumpul di hadapan Wisma Darul Aman di Alor Star hari ini selepas menerima risalah kononnya Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan menyampaikan duit raya RM50 seorang.
Kebanyakan yang datang itu berkata mereka menerima risalah yang diletakkan di beberapa masjid semasa solat terawih tiga hari lalu.
Yahya Chin, 48, dari Kampung Kubang Rotan berkata, dia membaca risalah di Masjid Derga yang menyebut duit raya akan disampaikan oleh Menteri Besar dari jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari hari ini.
Bagaimanapun, menurut Bernama, apabila beliau datang ke bangunan pejabat kerajaan itu pagi ini, pengawal keselamatan di situ memberitahunya bahawa pejabat itu tidak pernah mengeluarkan risalah itu.
"Saya mai jugak kut-kut (mungkin) ada rezeki boleh dapat duit raya tapi bila sampai sini baru saya tau benda ni bohong," katanya.
Warga emas Awang Harun, 84, dari Pumpong di sini, pula berkata dia datang ke setelah diberitahu oleh seorang rakannya.
"Kawan saya ajak saya mai (datang) sini hari ni, jadi saya pun mai la," katanya.
Awang berkata dia tidak menyalahkan pihak menteri besar kerana perkara itu sudah pasti dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Azizan ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman berkata kerajaan negeri tetap memberikan sumbangan RM20 kepada mereka yang telah berkumpul sejak awal pagi tadi.
"Kesian pula, jadi kita bagi la sedikit wang kepada mereka," katanya.
Azizan turut menjemput orang ramai untuk menghadiri majlis hari terbuka sempena sambutan Hari Raya di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini pada 4 Oktober ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan