HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 September 2008

Hakim syarie dibicarakan - Ketua Hakim Mahkamah Syariah Perak hadir beri keterangan

IPOH - Ketua Hakim Mahkamah Syariah Perak, Datuk Abdul Aziz Mohd. Yusof, 63, hadir di Mahkamah Sesyen di sini semalam sebagai saksi utama dalam kes rasuah melibatkan Hakim Mahkamah Syariah Perak, Hassan Basri Shafie.

Abdul Aziz dipanggil oleh Hakim Tan Hooi Leng untuk memberi keterangan terhadap lima pertuduhan ke atas tertuduh termasuk dakwaan meminta dan menerima suapan bagi 'menyelesaikan' satu kes melibatkan seorang pengusaha pusat hiburan dan dua kes poligami.

Semasa prosiding, Abdul Aziz memberitahu mahkamah tindakan Hassan Basri memerintahkan wang ikat jamin kes pusat hiburan itu diserahkan kepada Hor Kit yang mewakili syarikatnya adalah melanggar prosiding Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, wang ikat jamin itu sepatutnya diserahkan kepada penjamin asal iaitu tertuduh bukannya kepada Hor Kit yang tidak dipanggil ke mahkamah kerana mengikut prosedur Mahkamah Syariah, bukan Islam tidak boleh menjadi penjamin.

“Lagipun perintah wang ikat jamin perlu kerana Hor Kit tidak dipanggil untuk memberi keterangan di Mahkamah Syariah kerana dia bukan Islam,” katanya.

Abdul Aziz yang kelihatan tenang ketika memberi keterangan berkata, keputusan Hassan Basri itu kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan selepas perintah tersebut disemak semula baru-baru ini.

Beliau juga memberitahu mahkamah, tertuduh turut meluluskan kebenaran untuk membantu Mohamad Asri A. Bakar berkahwin dengan Nor Farihan Hassan tanpa melalui prosedur yang ditetapkan pada 6 September 2007.

“Kebiasaannya sesuatu kes kebenaran poligami akan mengambil masa lebih kurang 21 hari untuk menetapkan keputusan Mahkamah Syariah tetapi kes ini dibawa ke mahkamah pada 5 September dan keputusan diberikan keesokan harinya iaitu pada 6 September 2007.

“Ia adalah keputusan yang paling luar biasa yang belum pernah berlaku sebelum ini dan tidak boleh diterima,” jelasnya.

Berdasarkan fakta kes, Hassan Basri didakwa meminta rasuah sebanyak RM3,000 daripada Mohamad Imran Abdullah yang merupakan orang tengah sebagai dorongan untuk melepaskan wang ikat jamin kepada seorang pengusaha pusat hiburan, Yoong Hor Kit yang terlibat dengan lima kes jenayah Syariah.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM1,100 bagi membenarkan Mohamad Asri berkahwin dengan isteri mudanya.

Hooi Leng menangguhkan kes perbicaraan pada 12 dan 13 November depan.

Tiada ulasan: