HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 September 2008

Pemilihan Umno mungkin ditangguh ke Jun 2009 - Muhyiddin

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menafikan kemungkinan pemilihan parti Disember ini akan ditangguhkan ke Jun depan.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk bercakap mengenai perkara itu.

Beliau diminta mengulas mengenai spekulasi bahawa pemilihan parti Disember ini akan ditangguhkan sehingga pertengahan tahun depan.

mStar Online difahamkan perkara tersebut telah dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Khamis lalu.

Malah, syor supaya pemilihan parti ditangguhkan bukan baru kerana ia pernah dibangkitkan sejurus selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, antara lain bagi membolehkan Umno memberi tumpuan terhadap proses pemulihan terlebih dahulu.

Kini, idea tersebut muncul semula ekoran wujudnya pandangan agar pelan peralihan kuasa Jun 2010 antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dikaji semula.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, ditemui wartawan selepas merasmikan Forum Ekonomi Malaysia-India di sini sebentar tadi.

Ketika ditanya mengenai pandangan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno wajar dipertandingkan, Muhyiddin berkata, beliau menyokong kenyataan tersebut.

"Apa yang dicadangkan oleh Rais adalah munasabah dan perlembagaan parti membenarkannya," katanya.

Jelas beliau, perkara tersebut bukan sesuatu yang luar biasa dan sebahagian daripada proses demokrasi.

Tiada ulasan: