HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 September 2008

Kes ketiga ragut isteri bekas ADUN

Oleh RIZAM ZAKARIYA


NIBONG TEBAL - Selepas dua kes samun membabit dua wanita yang masing-masing merupakan isteri kepada dua bekas ADUN, rupa-rupanya ada lagi wanita yang juga isteri kepada bekas ADUN mengalami nasib sama.

Mangsa itu Datin Seri Rabaayah Md. Naim, 59. Beliau merupakan isteri kepada bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah juga bekas ADUN Sungai Bakap.

Rabaayah telah menjadi mangsa ragut di hadapan pejabatnya di Kulim, Kedah Sabtu lalu dan menyebabkan beliau kerugian kira-kira RM2,000.

Kes pertama: Isnin lalu, isteri Thor Joo Lee, 44, yang juga isteri bekas ADUN Bukit Tambun dari Taman Tambun Indah, Simpang Ampat mati selepas ditikam empat penyamun.

Polis telah menahan lima lelaki semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang menimpanya.

Kes kedua: Sehari selepas itu, isteri bekas ADUN Pulau Tikus, Datin Chang Lee Lee, 48, turut disamun di pekarangan rumahnya di Jalan Tunku Abdul Rahman, George Town.

Rabaayah ketika dihubungi berkata, kejadian itu berlaku ketika beliau baru meletakkan kenderaan di hadapan pejabat pada hari berkenaan.

"Kebiasaannya saya tiba di kedai percetakan saya kira-kira pukul 10 pagi tetapi pada hari kejadian (Sabtu), saya tiba lewat sedikit iaitu pukul 1.30 petang.

"Apabila saya buka pintu kereta, tiba-tiba ada motosikal menghampiri kereta saya secara perlahan-pelahan sebelum lelaki terus meragut beg saya," kata beliau.

Menurutnya, beliau percaya kedua-dua suspek tersebut telah menunggunya lebih awal dan mereka seolah-olah mengetahui bila masanya beliau akan sampai ke kedainya.

Malah Rabaayah memberitahu, seorang peniaga bersebelahan kedainya juga ada perasan beberapa hari lalu ada sebuah motosikal dilihat seolah-olah mengekorinya.

"Peniaga tersebut yang curiga dengan tingkah laku kedua-dua lelaki yang menaiki motosikal itu telah mengambil gambar kedua-duanya ketika mereka menunggu di luar kedai saya,'' katanya.

Jelasnya, gambar tersebut telah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan.

Katanya, dalam kejadian itu, beliau turut kehilangan dua telefon bimbit, kad kredit, MyKad dan kunci kedai serta kunci rumah.

Tiada ulasan: