HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 September 2008

Lanun ugut bunuh kapten kapal

Oleh HARADIAN HAMDAN


HULU TERENGGANU - Anak-anak kapal MT Bunga Melati 2 yang menjadi tebusan lanun di perairan Somalia kini ketakutan, ekoran lanun mula mengamuk dan melepaskan tembakan di atas kapal tersebut.

Mereka yang hilang sabar kerana rundingan dengan pemilik kapal, MISC Berhad masih belum menemui kata putus, turut mengugut untuk bertindak lebih kejam dengan membunuh kapten kapal tersebut.

Situasi terbaru di atas kapal itu diberitahu oleh seorang anak kapal, Mohd. Salwadi Mamat, 31, kepada abang tirinya, Mohd. Sanusi Mohd. Rasdi dalam perbualan telefon tengah malam kelmarin.

Menurutnya, adik tirinya benar-benar ketakutan dan hampir-hampir menangis semasa menceritakan perkara itu ketika menghubunginya pukul 12 malam.

Ujarnya, Mohd. Salwadi merayu agar pihak MISC segera mencari penyelesaian terhadap drama tebusan tersebut kerana mereka kini tertekan manakala lanun pula semakin agresif.

"Dia cakap dua hari lalu, lanun mengamuk dan melepaskan tembakan ke udara. Anak kapal tidak diberi ruang bergerak bebas seperti sebelum ini. Malah ketika perbualan itu adik saya memberitahu ada lima orang lanun mengawasinya.

"Dia (Mohd. Salwadi) seorang yang berani dan keras hati. Tapi semasa bercakap itu suaranya macam nak menangis kerana risau nyawanya dan anak-anak kapal lain kini umpama di hujung tanduk," katanya ketika ditemui di kuarters kediaman Polis Kuala Berang di sini, semalam.

Menceritakan lebih lanjut perbualan selama 5 minit itu, Mohd. Sanusi berkata, adiknya juga meminta supaya kerajaan Malaysia campur tangan bagi membebaskan anak-anak kapal.

"Tiga kali dia merayu minta tolong supaya apa yang berlaku di atas kapal diberitahu kepada pihak yang berkenaan dan media. Saya tenangkan dia dan minta dia bersabar.

"Saya minta dia hubungi tunang (Nor Hazliza Mat Zin) dan juga bercakap dengan bapanya (Mamat Osman) di Kelantan sebab bapanya rindukan dia," katanya.

Mohd. Salwadi adalah antara kira-kira 39 anak kapal MT Melati 2 yang dijadikan tebusan oleh sekumpulan lanun selepas ia dirampas di Teluk Aden, perairan Somalia pukul 10.09 malam waktu tempatan 19 Ogos lalu.

Ketika dirampas, kapal yang membawa muatan 32,025 tan minyak sawit dan 29 anak kapal warga Malaysia serta 10 warga Filipina itu dalam perjalanan dari Dumai, Indonesia ke Rotterdam, Belanda.

Mohd. Sanusi berkata, beliau juga dimaklumkan anak-anak kapal kini terpaksa 'ikat perut' kerana bekalan makanan semakin berkurangan.

"Pada masa ini mereka hanya makan kuetiau sahaja sebab bekalan beras dah tak ada.
Tak taulah sampai bila mereka boleh bertahan sebab dah lebih sebulan jadi tebusan," katanya.

Tiada ulasan: