Oleh: Rusnizam Mahat
Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) mengulangi gesaan supaya kerajaan memansuhkan akta zalim tersebut serta membebaskan semua tahanan tanpa sebarang syarat dan mendakwa ke semua mereka di mahkamah terbuka bersempena musim perayaan ini.
Presidennya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata demikian ketika GMI mengadakan demostrasi aman di Masjid Jamek, Jalan masjid India, Kuala Lumpur pada 25 September lalu.
” Bagi tahanan ISA yang telah ditahan tanpa perbicaraan di kamunting, hari raya ini akan menjadi syawal yang ke lima atau ke enam mereka ditahan di bawah ISA tanpa sebarang hak dan perbicaraan terbuka, tidak dibenar mempertahankan diri dan tidak mengetahui bila akan dibebaskan” ujar beliau ketika membacakan kenyataan GMI.
Beliau berkata, penggunaan ISA menjadi bertambah kejam apabila keluarga tahanan terpaksa menyambut Ramadhan dan Aidilfitri tanpa suami, ayah atau anak-anak mereka yang ditahan di bawah akta berkenaan sehingga ada yang mencecah tujuh tahun lamanya.
” Ditahan tanpa bicara walaupun untuk 18 jam (seperti kes wartawan Sin Chew Daily) atau 7 hari (seperti kes Teresa Kok) adalah satu pencabulan terhadap hak asasi manusia dan keadilan” katanya.
” Bagaimana pula tentang nama-nama yang ditahan tetapi tidak dikenali seperti Zaini Zakaria, Francis Indanan, Mohd Khider Kadran, Lai Kin Cj\hoy, Kasem Dayama, Mavalavan Muthuliramalingam dan Idris lanam, sekadar menyebut beberapa nama.” ujar beliau lagi.
Syed Ibrahim mempersoalkan berapa lamakah kerajaan akan mempertahankan ISA dan menyebabkan semua tahanan yang kini mencecah angka 66 orang akan terus menderita di bawah akta tersebut tanpa sebarang perbicaraan dan bukti mereka terlibat dengan sebarang kegiatan yang boleh menimbulkan ancaman kepada negara.
” GMI percaya tidak ada seorang pun tanpa menghiraukan batasan kewarganegaraan, agama, bangsa, politik, ideologi yang menjadi mangsa undang-undang rimba seperti mana yang dilakukan ISA.” tegas beliau.
Menurutnya, amat malang bagi kerajaan dan Polis yang masih menggunakan kuasa secara membuta tuli dan menyalahgunakan ISA untuk menangkap rakyat yang tidak bersalah di bulan ramadhan yang penuh dengan keberkatan.
Katanya, Malaysia adalah di antara beberapa negara di mana kerajaan masih mengekalkan undang-undang yang memenjarakan lawan politik mereka dan kenyataan itu dapat dibuktikan dengan penahanan yang berasaskan kepada syak yang tidak dapat dibuktikan.
” Kerajaan apartheid di Afrika Selatan juga telah memansuhkan undang-udang yang menyerupai ISA sejak berapa lama dulu. Berbeza di Malaysia tidak ada sebarang tanda undang-undang ini akan dimansuhkan. Yang nyata, ISA semakin disalahguna oleh kerajaan” jelasnya.
Syed Ibrahim dalam pada itu berkata GMI akan memberi bantuan berupa pelbagai sumbangan dan keperluan kepada ahli keluarga tahanan ISA disamping mengadakan trip secara percuma ke kem Tahanan Kamunting pada AIdilfitri ini bagi semua ahli keluarga tahanan terbabit.
Demo yang bermula pada pukul 12 tengah hari itu turut dihadiri oleh oleh isteri-isteri tahanan ISA, wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Suaram, Majlis Peguam. Polis turut merampas sepanduk dalam demontrasi yang diadakan kira-kira setengah jam itu namun tiada tangkapan yang dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan