HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 September 2008

Akui terima habuan seks, PKR pusat mahu Zul dipecat

MSTAR ONLINE


IPOH: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Lee Boon Chye menggesa kerajaan negeri Perak memecat ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan ekoran kenyataannya yang mengaku ada menerima habuan khidmat seks, tetapi disifatkan sebagai "sedekah."

Dr. Lee berkata, dari segi moral tindakan berkenaan tidak betul bagi seseorang yang memegang jawatan penting dalam kerajaan dan terlibat dalam skandal seks.

"Apabila sesuatu yang tidak senonoh ditawarkan anda seharusnya menolak tawaran itu," kata beliau selepas merasmikan kempen menderma darah di sini hari ini

Kata beliau, Majlis Kerajaan Negeri juga wajar menggugurkan Zul daripada keanggotaan dalam Majlis Daerah Perak Tengah dengan segera sebaik apabila ia mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan sama ada PKR sendiri akan mengambil tindakan terhadap Zul yang juga ahli parti tersebut.

Zul dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail baru-baru ini membuat laporan di Jabatan Agam Islam Perak terhadap Mohammad Imran Abdullah yang didakwa mendorong mereka melakukan perbuatan berdosa itu melibatkan seorang wanita dari China di sebuah apartmen di Batu Ferringhi, Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu.

Mohamad Imran merupakan pengadu dalam kes rasuah Zul dan empat yang lain.

Zul pula bersama-sama juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, dan dua anggota exco kerajaan negeri Perak dari PKR, Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi, serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Bota juga dari PKR, Kapten (B) Usaili Alias, sedang menghadapi 16 tuduhan rasuah yang akan dibicarakan serentak selama tiga hari bermula 11 Februari depan di Mahkamah Sesyen di sini.

Ketika ditemui selepas membuat laporan di Jabatan Agama Islam, Zul dilaporkan mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa "seks seperti menerima sedekah" dan mendakwa dia melakukannya dengan seorang wanita China disebabkan diperangkap Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Kelmarin, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Zulkifli Ibrahim menyifatkan kenyataan Zul bahawa habuan seks sama seperti menerima sedekah sebagai sekadar satu "kesilapan bahasa yang tidak disengajakan."

"Barangkali itu mungkin kesilapan dari segi bahasa dan sebagainya tapi itu bukan maksud kita menjadikan seks itu sebagai satu sedekah,' katanya.

Seorang lagi anggota parti itu di Perak, Fairul Azrim Ismail, juga mengakui melakukan perbuatan itu tetapi turut mendakwa diperangkap oleh BPR.

Dalam pada itu, laporan Bernama yang memetik Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamarul Zaman Shaharudin menyebut, kesilapan menggunakan sesuatu perkataan mungkin akan berlaku kepada istilah dalam bidang tertentu, bukan kepada perkataan yang sering digunakan.

Beliau berkata, perkataan "seks" adalah contoh bahasa yang mudah dan bukan merupakan bahasa teknikal seperti yang terdapat dalam bidang teknologi maklumat atau bidang-bidang lain.

Ketika ditanya sama ada kenyataan itu tidak disengajakan, Kamarul Zaman berkata: "Pada saya itu bukan kesilapan bahasa sebab itu bahasa yang mudah."

"Mesti dia tahu apa yang dia sebutkan. Kecuali kalau itu perkataan teknikal, mungkinlah... boleh salah," katanya.

Katanya, perkataan sedekah itu diketahui umum sebagai suatu perkara yang baik dan berharap pihak-pihak tertentu tidak menyalahgunakan perkataan itu.

"Pihak berkenaan mungkin mencari sebab untuk mempertahankan diri (dengan kenyataan itu)," kata Kamarul Zaman.

Tiada ulasan: