HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 September 2008

Siapa PM yang lebih baik?

MALAYSIAKINI


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul sebagai pilihan popular untuk menjadi perdana menteri, diikuti oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, demikian menurut hasil tinjauan pendapat oleh Merdeka Center.

Hasil tinjauan tersebut menunjukkan 40 peratus memilih Anwar manakala Najib memperolehi 34 peratus. Manakala satu perempat responden tidak dapat memilih atau yakin dengan kedua-dua calon tersebut.

Dalam soalan berasingan, 39 peratus bersetuju Najib boleh menjadi perdana menteri hyang baik, manakala 44 peratus lagi tidak bersetuju.

Ini dianggap sebagai satu berita baik untuk timbalan perdana menteri itu walaupun ketinggalan di belakang Anwar kerana peratusan penerimaannya sebagai perdana menteri telah meningkat lima peratus berbanding dengan tinjauan pendapat Julai lalu. Manakala peratusan untuk Anwar pula turun tiga peratus.

Ketika dihubungi, pengarah eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffin berkata ini adalah kali pertama mereka membandingkan Anwar dengan Najib.

"Antara sebab kami turut memasukkan soalan itu kali ini ialah kerana tinjauan ini dijalankan di sekitar 16 September. Juga, Anwar telah menonjolkan diri sebagai bakal perdana menteri," kata Ibrahim.

Sebelum ini, penasihat PKR itu telah menetapkan tarikh 16 September untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat dari Barisan Nasional.

Seramai 1,002 responden dipilih untuk tinjauan pendapat tersebut yang diadakan antara 11 hingga 22 September lalu.

Ejen Amerika

Dalam tinjauan itu juga, hanya 15 peratus percaya tuduhan salahlaku seks terhadap Anwar manakala 13 peratus lagi percaya beliau seorang "penjenayah seksual".

Walaupun 21 peratus percaya dengan tuduhan bahawa beliau menjadi "ejen Amerika" tetapi 51 peratus lagi percaya ketua pembangkang itu seorang pemimpin yang "kuat dan berwawasan" serta "seorang pengurus ekonomi yang cekap".

Penyokong Anwar adalah lebih pelbagai kaum, berbanding dengan penyokong Najib yang sebahagian besarnya orang Melayu. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sokongan sebenar orang Melayu kepada kedua-dua pemimpin tersebut.

Sebanyak 17 peratus orang responden Melayu percaya Anwar seorang "penjenayah seks" manakala hanya 8 peratus responden Cina dan 1 peratus responden India berkongsi sentimen tersebut.

Hasilnya adalah sama berhubung tuduhan Anwar seorang "ejen Amerika/Yahudi" dengan 28 peratus Melayu berkata "iya" berbanding dengan hanya 12 peratus (Cina) dan 4 peratus (India).

Apabila ditanya secara khusus sama ada Najib boleh menjadi perdana menteri yang baik - tanpa membandingkan beliau dengan orang lain - responden Melayu 52 peratus, Cina (29) dan India (10 peratus).

Mengenai Abdullah

Hasil tinjauan tersebut juga menunjukkan ranking bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak berubah berbanding dengan tinjauan bagi bulan Julai.

Bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia (21 peratus) menyifatkan keadaan politik yang tidak menentu yang menyelubungi negara sekarang sebagai kebimbangan mereka yang paling besar - meningkat daripada 10 peratus berbanding dengan dua bulan lalu.

Sebanyak 50 peratus berkata mereka masih begitu bimbang dengan isu-isu ekonomi.

Tiada ulasan: