Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
KUALA LUMPUR: Golongan muslim yang menunaikan sebahagian syariat Islam tetapi memungkiri sebahagian lagi ketetapan Allah, bukan saja mempunyai iman palsu tetapi tergolong sebagai orang fasik.
Penceramah terkemuka, Mohd Zawawi Yusoh, berkata golongan terbabit ialah mereka mengamalkan ‘syariat tempang’, kerana tetap beribadat walaupun menyulamnya dengan perkara haram.
Katanya, golongan fasik mempunyai akidah tempang kerana mereka mengetahui dan dapat membezakan perkara halal dan haram tetapi mencampuradukkannya akibat mengikut hawa nafsu.
“Perkara haram contohnya minum arak sudah jadi sebahagian daripada diri mereka sehingga mereka tetap meminumnya ketika berbuka sedangkan sebelum itu berpuasa seharian. “Sebenarnya mereka boleh meninggalkan arak kerana buktinya mereka sudah berjaya berpuasa dan mengawal diri daripada makan dan minum tetapi malangnya apabila berbuka, mereka minum arak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangasa Malaysia (UIAM) berkata, puasa golongan sedemikian tidak ada kualiti kerana mereka sudah tewas pada Ramadan walaupun syaitan dan iblis diikat.
“Golongan itu turut memalukan imej Islam kerana ia seolah-olah menunjukkan agama ini membenarkan perkara halal dan haram dicampuradukkan.
“Islam ini bukan sekadar satu amalan saja, ia adalah amalan berhubungan antara satu sama lain. Kalau tercabut satu amalan sudah tidak berguna, contohnya puasa tapi tidak bersolat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, golongan songsang itu yang masih terdetik dalam hatinya untuk berubah masih boleh pulang ke pangkal jalan.
Katanya, masyarakat juga tidak harus membuang terus golongan itu dan melabelkannya sebagai parasit, sebaliknya membimbing mereka supaya dapat menjadi muslim sejati.
Semalam, muka depan Harian Metro melaporkan segelintir muda-mudi di ibu kota sanggup mencemar puasa sepanjang hari dengan menjadikan minuman keras sebagai sajian sampingan ketika berbuka akibat ketagih arak.
Meskipun agak pelik, perbuatan menjijikkan itu menjadi amalan biasa bagi kaki botol terutama di kalangan remaja yang kerap mengunjungi kelab malam dan menghabiskan masa dengan melepak di situ bersama rakan-rakan, termasuk pada Ramadan.
Sekali pandang, cara berpuasa golongan terbabit tidak ada beza dengan umat Islam lain kerana mereka berniat pada malam hari dan berpuasa keesokannya, namun amalan yang membezakan mereka ialah juadah sampingan bersulamkan ‘air setan’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan