HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 September 2008

Malaysia rakan kongsi industri kejuruteraan India

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Malaysia dijangka muncul sebagai rakan kongsi utama bagi India dalam industri kejuruteraan pada masa depan, kata Pengerusi Majlis Penggalakkan Eksport Kejuruteraan India (EEPC) Rakesh Shah.

Malaysia kini pengimport terbesar produk kejuruteraan dari India, mewakili kira-kira 19 peratus daripada keseluruhan import Asean berjumlah kira-kira AS$3.93 bilion (RM13.48 bilion.

Shah berkata, Pameran Kejuruteraan India 2008 (INDEE 2008) selama tiga hari yang bermula di sini semalam, akan menyediakan peluang pelaburan bagi komuniti perniagaan kedua-dua negara.

"Pameran ini membantu industri kejuruteraan India mempertontonkan kekuatan dan keupayaannya sementara menjalin hubungan antara kedua-dua negara," katanya dalam satu temuramah di luar atur cara INDEE 2008 hari ini.

INDEE 2008 merupakan pameran kejuruteraan terbesar dari India dalam Malaysia dan adalah siri pameran ke-19 ke seluruh dunia anjuran EEPC.

Ia mempamerkan produk dan teknologi merentasi industri kejuruteraan termasuk peralatan pertanian, komponen automotif, logam dan produk asas, perkakasan pembinaan dan kerja tanah, perkakasan domestik, mesin elektrik dan peralatan pengangkutan.

Produk lain termasuklah mesin pemprosesan makanan dan kerja kayu serta produk dan instrumen logam fabrikasi.

Katanya, perdagangan dua hala India dan Malaysia dijangka melepasi nilai AS$10 bilion tahun ini.

Katanya, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dimuktamadkan baru-baru ini antara India dan ASEAN menyediakan peluang perniagaan yang lebih besar untuk direbut kedua-dua negara.

Malaysia juga mempunyai kelebihan dari segi kedudukan sebagai pintu masuk bagi syarikat India untuk meneroka pasaran lain dalam rantau ASEAN, katanya.

India adalah destinasi eksport ke-10 terbesar Malaysia dengan jumlah eksport meningkat 7.6 peratus kepada AS$5.84 bilion (RM20.03 bilion) dalam 2007 daripada AS$5.12 bilion (RM17.56 bilion) pada tahun sebelumnya.

Dari Januari hingga Julai tahun ini, sejumlah AS$4.3 bilion (RM14.75 bilion) dalam bentuk eksport telah dicatatkan, peningkatan sebanyak 26.3 peratus berbanding pada tempoh yang sama dalam 2007.

Tiada ulasan: