Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
KUALA LUMPUR - Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) kini pada peringkat akhir kajian menaikkan tambang asas teksi daripada RM2 kepada RM3 untuk dua kilometer pertama dengan keputusan mengenainya akan diumumkan tidak lama lagi.
Tindakan tersebut bertujuan untuk berlaku adil kepada sistem pengangkutan awam negara selepas perkhidmatan bas menerima surcaj 30 peratus baru-baru ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar.
Katanya, LPKP juga turut menimbang menaikkan tambang bagi semua pengangkutan awam lain tetapi menegaskan keputusan berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kenaikan harga bahan api baru-baru ini.
"Saya tidak nafikan, semua kadar tambang bagi pengangkutan awam mungkin akan naik lagi, bagaimanapun perbincangan masih berjalan dan sebarang keputusan berkaitan akan diumumkan tidak lama lagi.
"Kerajaan sudah menimbang kesannya terhadap kedua-dua belah pihak, iaitu pengusaha bas dan pengguna kerana saya tidak mahu pengusaha bas mengalami kerugian dan pada masa sama saya juga tidak mahu pengguna merasa tertekan," katanya ketika ditemui di hentian bas sementara di Bukit Jalil, malam kelmarin.
Dalam perkembangan sama, Noh memberitahu, tindakan menaikkan tambang pengangkutan awam adalah sebagai satu langkah memerangi kegiatan ulat tiket yang wujud akibat keputusan tidak menaikkan tambang.
"Apabila kerajaan memberi surcaj sebanyak 30 peratus, hasilnya pengusaha bas mula menyediakan bas tambahan dan ini berita baik untuk penumpang terutamanya pada musim perayaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan