HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 September 2008

Jangan tahan keluarga Teresa di bawah ISA

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar merayu kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar agar tidak menahan keluarga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok untuk "menjamin keselamatan" mereka.

"Saya merayu kerajaan khususnya Syed Hamid agar tidak menahan keluarga Teresa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) walaupun rumah mereka diserang dengan molotov cocktail .

"Kita bimbang perkara itu berulang kerana sebelum ini Menteri Dalam Negeri pernah memberitahu bahawa penahanan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng adalah sebahagian daripada tindakan segera polis bagi menjamin keselamatan wartawan itu selepas beliau menerima panggilan ugutan," kata Mahfuz.

Rumah ibu bapa Ahli Parlimen Seputeh itu dilontar dengan botol kaca mengandungi petrol dan paku dipercayai molotov cocktail dalam kejadian di Taman Rainbow, Jalan Ipoh di sini awal pagi semalam.

Sebotol lagi yang mengandungi bahan sama hanya diletakkan di atas batu di luar rumah berserta nota ugutan.

Bagaimanapun dalam kejadian pada pukul 2.55 pagi itu tiada kecederaan dilaporkan berlaku kerana botol yang dilemparkan tidak meletup.

"Kalau Tan yang menerima panggilan ugutan telah di tahan di bawah ISA, serangan molotov cocktail yang dialami keluarga Teresa tentulah lebih serius. Sebab itulah saya amat bimbang mereka ditahan ISA.

"Saya benar-benar merayu Syed Hamid supaya tidak mengambil sebarang tindakan di bawah ISA walaupun untuk menjamin keselamatan keluarga Teresa," kata Mahfuz.

Ketika menjelaskan penahanan Tan di bawah ISA, Syed Hamid menyatakan risikan polis mendapati nyawa wartawan wanita akhbar berbahasa Cina itu terancam selepas beliau membuat laporan berita yang memetik kenyataan kontroversi bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail yang berbaur perkauman pada satu kempen sempena pilihan raya kecil Permatang Pauh bulan lalu.

“ Beliau adalah orang pertama yang menyiarkan laporan berhubung kenyataan (bekas) ketua Umno Bahagian Bukit Bendera (Datuk) Ahmad Ismail yang didakwa berbaur perkauman, maka kami perlu menangani isu ini dengan sebaik-baiknya.

“ Kami tidak mahu apa-apa berlaku terhadap wartawan ini apabila terdapat ancaman terhadap nyawanya,” kata Menteri Dalam Negeri._

Tiada ulasan: