HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 September 2008

Kapal besar boleh belayar di Sungai Sitiawan

UTUSAN ONLINE


LUMUT - Pelabuhan Lumut bakal sibuk dengan kemasukan kapal kargo besar sebaik sahaja kerja-kerja mendalamkan Sungai Sitiawan di sini, siap sepenuhnya Oktober depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat berkata, kerja-kerja mendalamkan alur sungai untuk pelayaran dengan kos RM20 juta sedang giat dilaksanakan oleh pihak kontraktor.

''Alur pelayaran sepanjang 3.4 kilometer dengan kedalaman kira-kira lapan meter itu dijangka siap menjelang Oktober depan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat kilang pembuatan pelantar cari gali dan peralatan petroleum, Kencana HL di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan dekat sini hari ini.

Terdahulu, beliau dan rombongan menaiki bot untuk meninjau kerja mendalamkan sungai berkenaan yang dimulakan sejak 7 April lalu.

Turut menyertai rombongan itu ialah Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Lumut, Datuk Kong Cho Ha, Pengerusi Kumpulan Kencana Petroleum, Tan Sri Nik Mohamed Nik Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif Kencana Petroleum Bhd. Datuk Mokhzani Mahathir.

Tee Keat berkata, hasil tinjauan berkenaan mendapati projek mendalamkan sungai telah siap 86 peratus berbanding sasaran asal iaitu 62 peratus sahaja.

''Kontraktor yang dilantik telah menjalankan kerja berkenaan dengan cemerlang dan kita yakin kapal besar boleh menggunakan laluan itu menjelang Oktober depan.

''Berikutan siapnya projek itu nanti, pembangunan di sekitar kawasan Pelabuhan Lumut akan menjadi lebih rancak lagi.

''Ia bakal memudahkan kerja membawa keluar peralatan pelantar cari gali minyak yang ditempah pelanggan termasuk keluaran syarikat Kencana HL,'' .

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementeriannya memerlukan alasan lebih kukuh sebelum keputusan muktamad berhubung projek menaik taraf Lapangan Terbang Ipoh diumumkan.

Pihaknya telah menerima cadangan untuk menaik taraf lapangan terbang berkenaan supaya pesawat yang lebih besar boleh mendarat di situ.

''Kementerian faham dengan apa yang dicadangkan itu, namun memerlukan beberapa lagi alasan yang kukuh berhubung cadangan berkenaan.

''Semua negeri mahu lapangan terbang ada di negeri mereka. Ia satu kemudahan udara yang penting untuk semua.

''Bagaimanapun, kita memerlukan sedikit masa untuk mengkaji setiap cadangan yang dikemukakan itu,'' katanya.

Tiada ulasan: