HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 September 2008

Bahana "Hantu" Bertakhta Di Hati

A Kadir Jasin


[MUTAKHIR)

Keadaan terdesak dan tidak menentu nampaknya semakin menjadi-jadi dalam Umno sehingga memaksa Majlis Tertinggi yang bermesyuarat khas pagi tadi menangguhkan mesyuarat agung tahunan kepada Mac akan datang. Mesyuarat bahagian berjalan seperti dijadualkan.

Sementara itu, Reuters memetik Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata bahawa jadual peralihan 2010 tidak lagi pasti (no longer firm).]

[Posting Asal]

HANTU yang mengusik Presiden Umno dan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi kini bukan calang-calang hantu. Hantu yang lebih menakutkan daripada jin afrit.

Kalau jin afrit, iblis dan syaitan penawarnya ada. Baca ayat-ayat al-Quran dan beri selawat, kalau doakan kita dimakbulkan, nyahlah mereka.

Lama dulu, ketika menunaikan haji, saya terbaca sebuah buku yang memetik pemikir dan ulama agung Ibnu Taimiyah mengenai jin dan cara manusia berdepan dengan makhluk Allah itu.

Tetapi kalau hantu jembalang, susah sikit. Serapah jampi belum tentu membuatkan mereka lari. Sudahlah kita berdosa guna serapah dan jampi, bakar pula lilin dan kemenyan. Silap-silap rumah dijilat api.

Hantu jembalang itu pula bukan calang-calang hantu jembalang. Bukan satu atau dua tapi banyak tidak terkira dan bermacam pula rupa. Bukan di luar, di dalam pun ada.

Hantu luar tuannya parti-parti pembangkang yang hendak jatuhkan Umno dan Barisan Nasional. Hantu di dalam tempatnya dalam tubuh badan Umno sendiri. Hantu yang makan tuan.

Ada orang percaya hantu jembalang. Ada yang tidak. Tetapi yang paling panjang taringnya dan sangat ditakuti bukanlah hantu yang bergayut di pohon jejawi, tetapi hantu jembalang yang bertakhta di dalam hati.

Inilah agaknya hantu yang benar-benar mengusik dan mengacau Abdullah dan Mohd Najib. Hantu yang menghuni hati mereka adalah ketakutan.

Abdullah takut Mohd Najib belot. Takut penyokong seperti Umno Pulau Pinang dan Kelantan hanya manis di bibir. Takut bahagian-bahagian Umno tidak calonkannya. Dan paling ditakuti adalah mereka mencalonkan Mohd Najib atau Tengku Razaleigh Hamzah.

Mohd Najib juga ada hantu di dalam hatinya. Dia takut Abdullah belot. Takut penyokongnya hilang sabar kerana dia berdolak-dalik. Dan takut Muhyiddin Yassin mencabarnya sebagai Timbalan Presiden.

Kerana ketakutan dan ketidakyakinan inilah, Abdullah dan Mohd Najib tidak habis-habis berkhalwat, duduk rapat-rapat, bermesyuarat dan berpadu erat.

Mesyuarat luar jadual Majlis Tertinggi Umno yang dijadualkan pagi ini – hari Jumaat dan waktu kerja --- boleh dianggap sebagai rentetan kepada ketakutan Abdullah dan Mohd Najib ini.

Dalam mesyuarat MT minggu lalu terdengar suara-suara lantang mempertikaikan kepemimpinan Abdullah dan jadual peralihan kuasa dua saudara pada tahun 2010.

Yang sangat memalukan Abdullah adalah tersebarnya berita itu di alam siber (portal berita dan blog).

Media massa arus perdana pun nampaknya tidak dapat lagi menahan nafsu untuk sama-sama menyiarkan berita seperti itu.

Saya perhatikan semakin banyak komponen media arus perdana yang tidak lagi terikat dan terpaut dengan “official line” (pendirian rasmi) dalam pemberitaan mereka.

Lantas Abdullah bergegas menggerakkan jentera perhubungan Pulau Pinang yang beliau sendiri mempengerusikan dan perhubungan Kelantan yang dipengerusikan oleh penyokong tegarnya Anuar Musa untuk mengikrarkan sokongan dan taat setia.

Nampaknya ikrar mereka dan maklum balas yang diperoleh belum meyakinkan Abdullah bahawa segala-galanya sedang berjalan seperti direncanakan.

Tetapi apakah yang dapat harapkan daripada mesyuarat luar biasa hari ini?

Apakah mesyuarat hari ini akan mengulangi trend mesyuarat minggu lalu? Adakah Mohd Najib akan sekali lagi menyekat ahli daripada berhujah semata-mata untuk membuktikan taat setianya kepada Abdullah?

Adakah Mohd Najib rela berenang dan lemas bersama Abdullah atau dia akan membenarkan ahli memberitahu Abdullah apa yang dia perlu dengar dan bukan apa yang dia suka dengar?

Lantaran itu, tempoh masa yang bermula 9 Oktober ini penting bukan sahaja kepada Abdullah tetapi sama penting bagi Mohd Najib. Kalau Abdullah musykil, Mohd Najib tidak boleh terlalu yakin.

Kalau Umno dan BN menderita pada pilihan raya umum 8 Mac lalu kerana protes terhadap kepemimpinan Abdullah, hal yang serupa tidak mustahil berlaku kepada Mohd Najib kerana dia dilihat sebagai terlalu taasub kepada Abdullah.

Pokok pangkalnya kita kembali kepada janji keselamatan, keamanan dan kemakmuran yang dibuat oleh Abdullah pada pilihan raya umum lalu.

Justeru itu, kita perlu bertanya, bolehkah seorang ketua kerajaan yang dalam ketakutan dan tidak berkeyakinan mentadbir dan menguruskan negara dengan sebaik-baiknya pada saat yang genting seperti sekarang?

Bolehkah Abdullah, dengan kapasiti pengurusan politik dan ekonomi yang tidak menyerlah itu, menangani masalah ekonomi dan keselamatan negara yang semakin mencabar?

Saya menyokong kuat peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah pada tahun 2003 kerana, seperti ramai orang, saya juga termakan diayah mengenai orang baik, orang warak, orang bersih dan anak-cucu ulama.

Tetapi dari awal lagi saya tidak melihat Abdullah sebagai bakal pentadbir ekonomi dan kewangan yang mantap dan mempan.

Justeru, dalam kolum saya “Other Thots” dalam majalah Malaysian Business keluaran 16 November, 2003 (bulan Abdullah menjadi Perdana Menteri) saya menulis:

“Ia pastinya bukan idea yang bernas bagi Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan sepenuh masa buat jangka masa yang lama.

“Pemisahan tugas antara pengurusan politik dan kewangan akan mempertingkatkan kedudukan kita di mata dunia.

“Oleh sebab itu, demi kebaikan negara, seorang yang berkebolehan dan berpengalaman haruslah dilantik memegang jawatan itu.

“Hanya dengan cara itu, Malaysia boleh mengekalkan harapan untuk memimpin negara-negara membangun dalam reformasi sistem kewangan dan perdagangan dunia.”

Kesimpulannya, sama ada Abdullah berundur sekarang atau pada bulan Disember, Jun, Julai dan bila-bila waktu sebelum atau selepasnya bukanlah persoalan.

Persoalannya adalah kedudukan Abdullah mungkin tidak dapat dipertahankan dan diselamatkan lagi. Menyekat demokrasi, memperalatkan undang-undang parti dan negara, mengamalkan politik wang dan peras ugut akan hanya memburukkan keadaan.

Namun ini tidak bermakna bahawa Mohd Najib adalah pengganti yang unggul dan sempurna. Mohd Najib akan selamat dan kita boleh bergantung kepadanya hanya jika dia bersedia mendengar nasihat orang yang pakar dan bersedia ditunjuk ajar.

Selebihnya, masa dan takdir akan menentukan.

Tiada ulasan: