HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 September 2008

Isteri bekas ADUN Bukit Tambun mati ditikam

MSTAR ONLINE


GEORGE TOWN: Isteri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Lai Chew Hock meninggal dunia selepas ditikam sekurang-kurangnya enam kali dalam kejadian rompakan di rumah mereka di Nibong Tebal malam tadi.

Thor Joo Lee, 46, yang ditikam di abdomen, dada dan bahu meninggal dunia ketika dibawa ke hospital swasta oleh suaminya.

Lai, 44, berkata, beliau berada dalam rumah apabila mendengar isterinya memandu masuk kereta ke rumah selepas pulang dari stesen minyak mereka pukul 11.20 malam.

"Saya kemudian ke balkoni untuk menyambut dia dan saya nampak seorang lelaki yang berbadan besar mengekorinya. Dia kemudian cuba mendapatkan bag tangan tetapi isteri saya cuba melawan," katanya.

"Saya menjerit meminta dia melepaskan isteri saya. Dia kemudian menikam isteri saya dan memanjat keluar pagar rumah dan meninggalkan kawasan rumah dengan motosikal yang ditunggang temannya," kata beliau ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang hari ini.

Dengan perasaan terkejut, Lai berkata, beliau membawa isterinya ke hospital dengan segera.

"Sebaik sahaja tiba di hospital kira-kira sejam kemudian, doktor unit kecemasan mengatakan bahawa isteri saya sudah pun meninggal dunia," katanya.

Ketua Polis Negeri, Asistan Komisioner Datuk Wira Ayub Yaacob yang berada di bilik mayat berkata, kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan kini bertindak memburu kedua-dua lelaki berkenaan.

Tiada ulasan: